Semua sedia maklum tentang berita mengenai inflasi dan kemelesetan ekonomi menjelang tahun 2023 pasca Covid-19. Mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas surutnya pandemik Covid-19, dan mungkin juga ada yang tidak.
Walaupun dengan berita kemelesetan ekonomi buat tahun 2023, harga rumah dijangka akan meningkat dalam keadaan kos perniagaan sedang meningkat ini. Dalam sebuah artikel PropertyGuru, kos rumah dicatat meningkat sebanyak 17% secara purata dalam enam bulan pertama tahun 2022 (Januari - Jun). Bukan itu sahaja, kajian oleh MIDF mencatat bahawa pinjaman bagi bulan Ogos menunjukkan permintaan untuk hartanah tidak terjejas walaupun berlaku kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Ini menunjukkan pembelian hartanah masih berlangsung seperti biasa malah masih mendapat permintaan tidak kira apa pun yang sedang berlaku dalam keadaan ekonomi semasa.
Maka timbul persoalan, adakah wajar untuk membeli rumah dalam tahun 2022-2023?
Atau adakah lebih baik tunggu dan buat simpanan untuk waktu kecemasan seperti suasana pandemik Covid-19 tempoh hari?
Dalam keadaan pasca Covid-19 ramai yang fokus pada keadaan untuk bangkit semula. Peniaga-peniaga mula bangkit dengan perniagaan masing-masing terutama yang terkesan teruk dengan pandemik tempoh hari. Mereka yang baru mendirikan rumah tangga dalam musim pandemik sudah mula mencari kediaman sendiri untuk membina keluarga sendiri.