Carian

Merancang Kewangan untuk Keluarga Bahagia

Dalam tak sedar tak lama lagi, kita akan masuk tahun baru. Biasanya untuk tahun baru orang akan mula tanam azam baru. Maklumlah masuk tahun baru, buka buku barulah katanya. Sebenarnya, azam tahun baru sebegini adalah peluang yang baik bagi kita untuk muhasabah dan renungkan kembali apa yang telah berlaku dan mulakan satu perubahan. Salah satu perkara yang aku rasa aku nak ubah ada untuk merancang kewangan keluarga dengan lebih baik untuk masa depan kami sekeluarga. 

Ini adalah salah satu resolusi terpenting yang aku boleh buat terutama sebagai seorang suri rumah. Dalam entri kali ini, kita tengok kenapa perancangan kewangan adalah kunci kestabilan dan kebahagiaan keluarga, termasuk bagaimana suri rumah juga perlu mahir dalam perancangan kewangan.


perancangan kewangan

Kenapa Perancangan Kewangan Penting?

Mengurangkan Tekanan Kewangan

Walaupun duit bukanlah segala-galanya, zaman sekarang ini semuanya perlukan duit. Malahan, siapa yang berduit mempunyai akses kepada banyak perkara termasuk pendidikan yang terbaik untuk anak-anak. Bukan itu sahaja, masalah kewangan seperti hutang yang banyak atau perbelanjaan yang melebihi bajet boleh menyebabkan hubungan kekeluargan, terutama antara suami dan isteri menjadi tegang.  Oleh itu, perancangan kewangan yang baik membantu mengurangkan tekanan kewangan dalam keluarga. Mengenal pasti matlamat kewangan membantu menyusun bajet yang sesuai.

Salah satu platform atas talian: calculator.me menyediakan Family Budget Planning untuk kita lihat sendiri dan kirakan bajet bulanan supaya perbelanjaan lebih terkawal dan tidak dalam bentuk impulsive.

Pelaburan untuk Masa Depan

Dengan keadaan zaman sekarang, lagi-lagi selepas pandemik melanda, bergantung kepada pendapatan sahaja untuk membuat simpanan adalah mustahil. Kita dapat lihat sendiri kos-kos perbelanjaan semakin meningkat, dengan kadar inflasi tahunan selepas pandemik yang tinggi, nak tak nak kita perlukan alternatif untuk dapatkan pendapatan atau kewangan secara pasif. Salah satu caranya adalah dengan melakukan pelaburan. Pelaburan pula ada dalam banyak bentuk dan platform. Jangan sesekali jatuh dalam perangkap pelaburan penipuan! 

Pelaburan merupakan satu langkah bijak untuk kegunaan pada masa hadapan seperti pendidikan anak-anak ataupun menjadi tabung persaraan. Untuk anak-anak, nak mengharapkan biasiswa atau pinjaman, zaman sekarang ni persaingan antara anak-anak di sekolah sahaja sudah sengit apatah lagi nanti di peringkat universiti. Penyediaan tabung pendidikan anak-anak melalui pelaburan adalah salah satu langkah untuk pastikan kita ada sejumlah wang yang cukup untuk pastikan anak boleh sambung belajar mengikut minat dan keperluan mereka.

Bukan itu sahaja, dapat diperhatikan gaya pemikiran milenial juga sudah berbeza. Dari sudut persaraan, selain berfikir untuk tinggal di mana dan perbelanjaan bulanan, terdapat peningkatan kepada penginapan di rumah orang tua-tua yang menyediakan pelbagai kemudahan dan hospitaliti yang canggih. Kebanyakan golongan milenial sudah melihat rumah persaraan sebagai satu checklist dalam persaraan mereka dan semestinya untuk duduk di rumah persaraan perlukan wang, kan? 

Persediaan Menghadapi Krisis

Apabila kita membuat perancangan kewangan keluarga, salah satu tabung atau dana yang perlu ada adalah tabung kecemasan. Kebanyakan pakar kewangan akan mencadangkan untuk sediakan dana kecemasan selama enam bulan. Namun selepas pandemik baru-baru ini, dikatakan enam bulan sahaja tidak cukup.

Penyediaan tabung kecemasan sangat penting sebab ada masa-masanya kita akan perlukan duit dalam sejumlah yang banyak untuk keadaan-keadaan mendesak seperti kemalangan. Oleh itu, kelebihan merancang kewangan adalah kita bersedia untuk menangani keadaan-keadaan yang mendesak.

Memupuk Anak-Anak Celik Kewangan

Apabila kita sebagai ibu bapa mula membuat perancangan kewangan, secara tidak langsung ianya menjadi contoh kepada anak-anak. Contoh ini membentuk anak-anak yang celik kewangan. Kalau diperhatikan, ilmu tentang pengurusan kewangan tidak ada disentuh dalam mana-mana peringkat pendidikan formal daripada sekolah rendah hinggalah universiti. Betul tak?

Aku sendiri, celik kewangan pun sebab daripada mula tinggal di asrama mak sudah bagi template financial budget. Kena belajar disiplin untuk pastikan catat setiap perbelanjaan yang ada. Kemudian masuk zaman universiti nak pergi berjalan pusing Europe dengan kawan-kawan, buat budget seawal tiga empat bulan sebelum berjalan sebab nak buat simpanan jangka pendek dan nak pastikan kehidupan seharian masih mampu gunakan duit yang ada. Pendek kata, proses pembelajaran urus duit adalah berdasarkan pengalaman.

Walaupun cara nak urus duit adalah berdasarkan pengalaman, tak semestinya anak-anak harus lalui benda yang sama. Sebaiknya kita sebagai ibu ayah menjadi contoh mengurus wang dan perbelanjaan dengan anak. Beri tunjuk ajar dan disiplinkan anak-anak untuk catat perbelanjaan mereka.

perancangan kewangan keluarga
Image by rawpixel.com


Langkah-Langkah Meningkatkan Perancangan Kewangan Keluarga

1. Buat Matlamat Kewangan Keluarga

Dalam sebarang perancanga, perkara paling penting adalah tetapkan atau kenal pasti dulu matlamat perancangan yang dibuat. Dalam entri ini kita bercerita tentang kewangan. Maknanya untuk memulakan perancangan kewangan, tetapkan dulu apa matlamat yang hendak dicapai dengan perancangan ini. Untuk matlamat kewangan, mungkin ada matlamat jangka masa pendek dan ada yang jangka masa panjang.

Contoh matlamat jangka pendek adalah untuk pergi bercuti bersama keluarga ataupun persediaan untuk Hari Raya. Ini semua perancangan dalam tempoh dalam 6-12 bulan.

Contoh matlamat jangka panjang adalah yuran pengajian anak-anak, merancang untuk persaraan. Ini semua perancangan dalam tempoh 5-10 tahun ataupun mungkin 15-20 tahun akan datang. Nampak macam lambat lagi nak sampai tetapi kalau buat perancangan kewangan lebih awal, kita jadi lebih bersedia dengan apa-apa perkara yang tidak diingini.

2. Bajet yang Realistik

Apabila membuat bajet kewangan, pastikan kita tahu 'cash flow' ataupun aliran duit yang keluar dan masuk setiap bulan. Dalam sebulan, kita akan dapat gaji. Kemudian kita akan bayar hutang piutang yang ada, berbelanja barang keperluan dan bayar bil-bil yang perlu. Dalam buat bajet, perkara-perkara ini perlu kita catat supaya kita tahu jumlah tetap yang akan keluar setiap bulan. Bila kita buat bajet, selitkan juga perbelanjaan yang tidak tetap seperti makan di luar, keluar membeli belah atau menonton wayang. Ini untuk pastikan kita tahu ada kesediaan atau allocation sejumlah wang dan kita akan berhati-hati untuk pastikan tidak berlebihan.

Dalam membuat bajet, kita perlu jelas target perbelanjaan yang wajib, perbelanjaan yang tidak wajib dan juga simpanan. Ada satu rukun yang diperkenalkan oleh Elizabeth Warren yang dinamakan 50/30/20 yang diajarkan untuk kita gunakan duit pendapatan. 50% dari gaji adalah untuk perkara wajib, 20% adalah untuk simpanan 30% adalah untuk perkara-perkara yang tidak wajib. Rukun ini tidak wajib untuk diikuti tetapi dia satu cara pengurusan gaji yang lebih jelas dan terperinci. Sekurang-kurangnya boleh menjadi garis panduan.

3. Simpanan Bulanan

Lanjutan daripada cerita di atas, simpanan setiap bulan sebaik-baiknya dibuat. Dalam buku "The Richest Man In Babylon" ada mengajarkan sekurang-kurangnya pastikan simpan 10% daripada pendapatan setiap bulan. Ini sekurang-kurangnya. Mungkin berbeza dengan rukun Elizabeth Warren tetapi nampak sesuai untuk kebanyakan orang sebab paling kurang hanya 10% daripada gaji dijadikan wang simpanan.

Nak buat simpanan berkala sebenarnya tak susah, tetapi susah untuk dimulakan. Kalau boleh kita tak nak duduk dalam kitaran, gaji masuk, bayar semua perkara dan seminggu sebelum gaji banyak duit sudah habis dan tak sempat menyimpan. Dan kitaran ini berulanglah bertahun-tahun dan akhirnya simpanan kita tak banyak mana.

4. Buat Pelaburan yang Bijak

Zaman sekarang, salah satu cara untuk buat duit 'bekerja' untuk kita adalah dengan buat pelaburan. Pelaburan bukanlah memberi pulangan yang awal ya. Pelaburan ini sangat sesuai untuk tempoh jangka masa panjang. Buat pelaburan juga perlu ada ilmu sebab ada aset-aset yang ada juga ada jenis-jenisnya. Dalam buat pelaburan sebaiknya kita adakan dua jenis aset. Satu aset mudah lebur (mudah dijual semula) dan satu lagi aset yang pulangan besar tetapi susah dilebur.

Contoh aset mudah lebur adalah membeli emas atau sertai mana-mana platform pelaburan yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia. Contoh aset yang pulangan besar tetapi susah dilebur adalah hartanah. 

5. Urus Hutang Dengan Baik

Bercakap hutang, kita sekarang hidup dalam dunia dengan khidmat Buy Now Pay Later. Konsep ini hampir sama dengan penggunaan kad kredit sebenarnya. Beli dulu barang, bayarannya bulan-bulan dengan sejumlah yang dipersetujui sehinggalah langsai ke semuanya.

Nak menggunakan khidmat BNPL tidak menjadi masalah jika kita memang disiplin bab pengurusan duit. Kebanyakan orang, gunakan khidmat BNPL dengan sakan waktu duit tengah banyak, tak buat kira-kira dan perancangan dengan baik, kemudian tersepit dengan hutang yang banyak.Tak semua barang yang dibeli kena guna Buy Now Pay Later. Sebelum membeli menggunakan khidmat sebegini, buat dahulu timbang tara kelebihan dan kekurangan sebab ada barang memang sangat berbaloi dan sesuai dibeli melalui BNPL dan ada barang adalah lebih baik dibeli dengan bayaran penuh terus. Untuk ini, kita yang membeli perlu bijak membuat keputusan.

Hutang-hutang yang kita ada, kita perlu urus dengan baik dari sudut pembayarannya. Ada satu teknik bayar hutang dinamakan Snowball teknik. Boleh google dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan teknik snowball dan cara perlaksanaan dalam membayar hutang-hutang yang ada. 

Hidup bila berhutang kita perlu berhati-hati dan pastikan semuanya dibayar dengan baik. Lagi-lagi hutang dengan bank. Taknak sampai masuk senarai hitam CCRIS atau CTOS. Jadi masalah besar nanti. Hutang jangan bawa main-main. Sebaiknya elak berhutang.

6. Sediakan Tabung Kecemasan

Salah satu tabung kecemasan untuk kegunaan waktu-waktu yang mendesak. Kalau boleh, asingkan dalam satu akaun bank yang lain dan jangan disatukan dengan akaun bank yang digunakan untuk perbelanjaan harian. Dikhuatiri bercampur dan akhirnya tak dapat dikesan atau disimpan secara disiplin.

Tabung kecemasan ni pula, jangan digunakan sesuka hati untuk kehendak. Tujuan tabung kecemasan adalah untuk menampung perbelanjaan yang tidak ada dalam bajet dan perbelanjaan tersebut perlu digunakan dalam jumlah yang besar. Ini perlu jelas supaya kita disiplin dan tekad dalam membuat tabung kecemasan.

Untuk membuat perancangan kewangan dengan lebih terperinci dan teratur, boleh cuba platform calculator.me. Dalam laman web ini, semua jenis kalkulator kewangan disediakan dari perancangan bajet sehinggalah perancangan untuk persaraan, siap termasuk bajet untuk yuran universiti anak tau!

calculator.me
Laman web calculator.me


Ada satu akaun instagram yang menarik perhatian aku tentang pengurusan wang. Selain berkongsi tentang pengurusan wang, diorang juga ada jual planner untuk buat bajet, urus duit dengan lebih teratur. Boleh follow instagram thecashflowedit. Perkongsian mereka sangat bermanfaat dan sangat praktikal untuk dipraktikkan oleh kita semua.

Merancang kewangan untuk keluarga adalah keputusan bijak yang membawa kestabilan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Dengan perancangan kewangan yang baik, kita dapat menghadapi masa depan dengan yakin dan meningkatkan kualiti kehidupan keluarga secara keseluruhan.

Jom, usahakan untuk capai azam tahun baru ini dan membawa keluarga kita ke arah kestabilan kewangan yang lebih baik!


Tiada ulasan

Komen