Carian

Persediaan Membeli Rumah Pasca Covid-19 (Tahun 2022-2023)

Semua sedia maklum tentang berita mengenai inflasi dan kemelesetan ekonomi menjelang tahun 2023 pasca Covid-19. Mungkin ada dalam kalangan kita yang dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas surutnya pandemik Covid-19, dan mungkin juga ada yang tidak.

Walaupun dengan berita kemelesetan ekonomi buat tahun 2023, harga rumah dijangka akan meningkat dalam keadaan kos perniagaan sedang meningkat ini. Dalam sebuah artikel PropertyGuru, kos rumah dicatat meningkat sebanyak 17% secara purata dalam enam bulan pertama tahun 2022 (Januari - Jun). Bukan itu sahaja, kajian oleh MIDF mencatat bahawa pinjaman bagi bulan Ogos menunjukkan permintaan untuk hartanah tidak terjejas walaupun berlaku kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). 

Ini menunjukkan pembelian hartanah masih berlangsung seperti biasa malah masih mendapat permintaan tidak kira apa pun yang sedang berlaku dalam keadaan ekonomi semasa.

Maka timbul persoalan, adakah wajar untuk membeli rumah dalam tahun 2022-2023?

beli rumah tahun 2022 2023

Atau adakah lebih baik tunggu dan buat simpanan untuk waktu kecemasan seperti suasana pandemik Covid-19 tempoh hari?

Dalam keadaan pasca Covid-19 ramai yang fokus pada keadaan untuk bangkit semula. Peniaga-peniaga mula bangkit dengan perniagaan masing-masing terutama yang terkesan teruk dengan pandemik tempoh hari. Mereka yang baru mendirikan rumah tangga dalam musim pandemik sudah mula mencari kediaman sendiri untuk membina keluarga sendiri.

Sebenarnya, bab beli hartanah, sukar untuk dijelaskan bilakah masa yang sesuai sebab ianya tertakluk pada kewangan dan pengurusan masing-masing.

Kalau nak tahu, menurut IQI Global, ada kenaikan sebanyak 75% bagi pengecualian duti setem bagi rumah bernilai RM500k hingga RM 1 Juta (dalam Bajet 2023). Ini adalah satu langkah untuk membantu pembeli rumah dan industri perumahan.

Pengasas bersama merangkap ketua pegawai eksekutif kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari mengatakan penjimatan RM15,000 pada pembelian RM750,000 akan memberi manfaat kepada pembeli rumah. Pasaran perumahan akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap rumah bernilai sekitar RM500k hingga RM1 juta.

Malah dalam artikel TheMoney.Co menyarankan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai untuk membeli hartanah sebagai rejim kadar faedah, yang terendah dalam 20 tahun, bermakna halangan yang lebih rendah kepada pembiayaan. Di samping itu, pembeli rumah pertama kali boleh mendapat sehingga maksimum 90% margin pinjaman.

Apa persediaan untuk membeli rumah buat tahun 2022-2023?

1. Semak Kelayakan dan Kemampuan Pinjaman.

Ini sangat penting sebab pembelian rumah bukan belian dengan sekali bayaran. Perlukan bayaran ansuran bulanan. Maka penting untuk tahu sama ada dari sudut kewangan kita layak dan mampu atau tidak untuk membeli rumah.

Boleh buat kira-kira dengan kalkulator hartanah untuk kira berapa bayaran bulanan ansuran untuk nilai sesebuah hartanah. Bukan itu sahaja, penting juga untuk buat kira-kira berdasakan gaji bulanan supaya kita tahu kemampuan untuk buat bayaran bulanan nanti.

Kalau rasa dengan kewangan sendiri tak layak dan tak mampu, boleh juga buat kira-kira kelayakan dengan pasangan. Dalam kalkulator hartanah, pengiraan kelayakan bersama pasangan (atau buat joint loan) pun ada supaya mudah buat kira-kira dan bajet berapa nilai rumah yang boleh dibeli.

Semua ini penting untuk kita merancang kewangan kita apabila sudah membeli rumah nanti.

mortgage calculator affordability


2. Rekod kewangan yang bersih

Selain daripada kira-kira kelayakan dan kemampuan, ambil kira juga komitmen sedia ada sebagai satu rekod yang baik untuk dinilai oleh institusi kewangan. Rekod yang baik ini sangat penting supaya pihak bank dapat melihat disiplin dan kemampuan untuk bayaran ansuran.

Oleh itu, lihat pada komitmen sedia ada seperti kad kredit, pinjaman kereta, pinjaman peribadi dan lain-lain. Pastikan dibayar pada waktu yang ditetapkan tanpa culas sebagai bukti disiplin dan bebas tunggakan. Ini penting kerana jika ada tunggakan, terutama lebih sebulan, ianya akan memberi kesan kepada keputusan lulus atau tidak permohonan pinjaman.

Ini termasuk hutang PTPTN atau biasiswa yang menaja pengajian kita. Perlu semak semula sama ada kita ada tunggakan atau tidak. Semak nama dalam laporan CCRIS untuk lihat skor kewangan sebelum memohon pinjaman.

3. Sediakan dokumentasi yang lengkap.

Banyak blog yang menjelaskan tentang dokumen yang perlu kita sediakan sebelum memohon pinjaman. Salah satunya boleh rujuk pada blog https://arifhussin.com/panduan-dan-cara-beli-rumah/
Memang lengkap dia cerita semuanya dari A sampai Z.

Dokumen yang lengkap sangat penting untuk memudahkan urusan permohonan. Kalau tak lengkap, mungkin akan memakan masa dan kemungkinan juga akan ditolak. Kalau pun berniat nak beli lagi dua tiga tahun, pastikan ada senarai semak dan sediakan awal-awal. Pastikan kemas kini setiap 3-6 bulan. Baru mudah untuk buat keputusan dan permohonan.

4. Sediakan Wang Untuk Bayar Kos Beli Rumah

Jangan ingat dokumen dah lengkap, rekod cantik dah boleh terus beli rumah. Kena ingat proses beli rumah ini panjang. Selain daripada dokumen dan rekod, kita kena sediakan wang untuk bayar kos tertentu dalam urusan pembelian rumah.

Antara kos yang terlibat adalah deposit, kos guaman dan duti setem serta kos lain-lain seperti MRTT, perjanjian pinjaman dan penilaian rumah. Ini yang perlu kita kumpul duit dan buat perancangan awal untuk sediakan duit bagi kos-kos ini.

Dalam kalkulator hartanah, boleh juga buat pengiraan bayaran ansuran berpandukan deposit semasa membeli rumah. Ya, kita boleh sahaja bayar deposit mengikut kemampuan (boleh lebih dari nilai minimum). Senang bila dah ada kalkulator begini, senang untuk kita rancang kewangan terutama melibatkan pembelian hartanah.

mortgage calculator


Kalau rasa-rasa dah bersedia nak beli rumah untuk tahun 2022-2023, bolehlah mula mengkaji kawasan dan melawat sendiri rumah idaman. Kemudian buat keputusan secara waras, jangan ikut emosi. Beli rumah, beli rumah juga tapi jangan lupa lihat pada facts and figure sebelum buat keputusan supaya belian rumah itu berbaloi dan berpadanan dengan kemampuan kita.

Semoga bermanfaat!






Tiada ulasan

Komen