Carian

7 Idea Untuk Berborak dengan Pasangan

Tarikh 17 Ogos 2018, genap usia perkahwinan kami yang ke-5. Dalam sepanjang 5 tahun berkahwin ni, banyak benda baru yang kami belajar, banyak hati budi yang baru dikenalpasti. 5 tahun ni baru satu perlima dari umur kitorang. Jauh lagi perjalanan dalam dunia rumahtangga ni. Sekarang ni pun dah anak dua. Yang ketiga lambat lagi jangan tanya bila. Sempena ulangtahun perkahwinan yang kelima, aku nak kongsikan sikit pasal topik-topik yang menarik untuk pasangan suami isteri borak. Sebab pada aku, pasangan kita adalah kawan baik kita dunia dan akhirat, insyaAllah. Nama pun best friend, mesti ada sesi pillow talk kan?

"A key to a good marriage is communication"

Pernah dengan frasa ni?
Pada aku secara keseluruhannya, apa jenis hubungan sekalipun memerlukan komunikasi yang baik dan telus.
Hubungan anak dengan mak ayah.
Hubungan dengan kawan-kawan.
Hubungan antara majikan dan pekerja.
Semua jenis hubungan dari yang bukan professional sampailah yang tahap professional.
 


Kami dua-dua jenis suka berborak, dua-dua ada pandangan dan antara satu sama lain tak berat mulut nak bagi pandangan, nasihat, sentapan manja. Bila ada je topik, mesti borak panjang macam dah lama tak jumpa. Kadang-kadang dari satu topik bawa ke topik lain dan boleh meleret berjam-jam. Dan kebiasaannya topik yang kitorang borak jarang susah nak ada penghujung. Mesti tergantung sebab tertidur atau dah sampai destinasi (kalau berborak dalam kereta). Bila ada masa teringat sambung balik yang tergantung tu.

Aku agak susah nak faham bila ada orang kata 'tak tahu nak borak apa dengan suami/isteri'. Bagi kami, tak pernah tak ada topik. Mesti akan ada benda yang diborakkan. Dari sekecil-kecil perkara sampai sebesar-besar isu. Memang akan ada idea masing-masing nak bagi pendapat.

Bila komunikasi kurang dan tak berkualiti, mesej jadi susah ataupun langsung tak sampai. Lepas tu dalam kepala penuh dengan 'expectation' yang pihak sebelah boleh memahami hanya dengan bahasa badan dan bahasa kiasan. Nak pula zaman sekarang ni ramai orang tak layan bahasa kiasan, orang lebih suka pada pendekatan terus (cakap direct). Sebab tu kebanyakan masalah hubungan bila kita berdepan dan bercakap dengan rasional, berbincang insyaAllah boleh jumpa jalan penyelesaian.

Aku bukanlah pakar dalam psikologi ataupun ahli terapi hubungan tapi berdasarkan pembacaan dan pengalaman, memang aku percaya sangat komunikasi dan perbincangan sangat penting lagi-lagi dalam hubungan suami isteri. Sebab kita datang dari keluarga, budaya dan adat yang berbeza dengan pasangan kita. Mungkin ada benda yang tak sama yang perlu kita selaraskan dan seimbangkan. Bukan berharap pasangan kita automatik tahu dengan kuasa telepati atau faham bahasa badan kita.


7 topik berborak dengan pasangan


Kat sini aku bagi idea apa yang boleh dibincangkan/diborakkan dengan pasangan

    1. Bahasa cinta

    Ini kunci paling penting dalam satu-satu perhubungan. Pada aku, wajib bagitahu pasangan kita apa yang membahagiakan kita, bahasa cinta kita dan wajib juga kita tahu bahasa cinta pasangan kita. Give and take.

    Dalam buku Dr. Gary Chapman, dia kata manusia ni ada 5 jenis bahasa cinta.
    - Kata-kata (words of affirmation)
    - Masa yang berkualiti (quality time)
    - Hadiah (gifts)
    - Sentuhan (touch)
    - Pertolongan (act of kindness)

    Ada orang bila dapat hadiah dia gembira dan rasa disayangi dan dibuat macam tu pada pasangan dia tapi pasangan dia sebenarnya lebih sukakan masa bersama berbanding hadiah. Nampak tak berlaku sedikit 'miss communication'. Kebanyakkan orang rasakan benda ni tak perlu bagitahu. "Faham-faham sendiri". Susah kalau nak faham-faham sendiri sebab cara orang tu dibesarkan dan suasana dia sebelum kahwin dengan kita berbeza dengan sejarah kita. Bagitahu secara jujur lebih mudah. Dua-dua pihak juga akan menang.

    Perasan kan sesetengah pasangan yang tak banyak masa bersama tapi boleh ada kasih sayang yang kuat? Mungkin mereka punya bahasa cinta bukan masa yang berkualiti. Mungkin bahasa cinta mereka lebih pada 4 benda lain. Sebab tu sebenarnya penting kita pastikan pasangan kita tahu bahasa cinta kita dan kita pun tahu bahasa cinta pasangan kita. Supaya kita boleh 'feed' cinta dia dengan ramuan yang betul. Baru romantik cara masing-masing.


    2. Matlamat dan cita-cita dalam hidup

    Setiap manusia mesti ada matlamat dan cita-cita.

    Lepas kahwin, kita hidup bukan seorang, kita hidup berdua (bila ada anak of course lagi besar jumlahnya) Bila bagitahu apa yang kita nak, apa yang kita cita-citakan pada pasangan, sekurang-kurangnya pasangan boleh bagi sokongan dan pandangan. Tak naklah kita beria nak kerja sampai pangkat sekian-sekian, tapi pasangan kita sebenarnya nak kita berhenti selepas beberapa tahun.

    Normal je kalau hala tuju hidup kita dan matlamat kita berbeza dengan pasangan tapi benda boleh bawa bincang dan selaraskan. Bincang matlamat dan cita-cita dengan pasangan baik-baik. Nak buat open table ke pillow talk ke sembang barai ke ikutlah keselesaan korang.

    Lagi bagus kalau sama-sama boleh buat 'timeline' dengan 'vision board' untuk saling support dan mendoakan kejayaan pasangan masing-masing.

    Tak ke romantik gitu?

    3. Isu semasa

    Aku rasa, isu semasa adalah antara topik kegemaran kitorang. Isu tengah viral ke, hal ehwal politik ke, memang boleh berborak sakan. Sebab kadang-kadang dalam sambil berborak memang akan terselit diskusi ilmiah, terutama dari suami. Kalau ada benda yang tak disetujui, 'agree to disagree' dengan rasa hormat pada pasangan. Tak perlu nak saling perli ke kritik ke. Normal sebenarnya dalam pasangan suami isteri ada pandangan berbeza. Tapi agak kebudak-budakkan bila kita susah nak 'agree to disagree' sampai tahap bergaduh, bermasam muka atau sampai merajuk bawa diri.

    Bila dah kahwin tidak bermakna kita kena 100% sekepala dan sependapat dengan pasangan kita. Memang akan ada benda yang kita tak sehaluan dan pada aku kalau benda tu kecik, tak perlu diperbesarkan sampai menjejaskan perkahwinan. 

    4. Luahan perasaan.

    Untuk aku, yang ini sangat-sangat wajib. Lagi-lagi aku sebagai suri rumah, dengan tak banyak kawan yang ada berdekatan dan seorang suka bercakap. Kebanyakan masa, tak berharap sangat suami balas atau bagi pandangan. Cuma nak bagi dia dengar dan tahu apa yang terbuku dalam hati. Kalau dibiarkan terbuku, aku mudah stress dan mula fikir bukan-bukan. So, bila luahkan apa yang terpendam, aku rasa lega. Alhamdulillah suami pula pendengar yang baik. Kadang-kadang ada je jawapan atau pandangan dia yang buatkan aku jadi berfikir.

    Bagitahu pasangan pasal kebimbangan, kerisauan kita supaya dia tahu apa yang bermain di dalam fikiran kita. Bila kita tak cakap apa-apa dan mengharapkan pasangan faham, itu yang menjadi masalah sebab manusia tidak ada kuasa telepati macam Charles Xavier dalam X-Men. Kena jelas perkara ni. Bila pasangan tahu luahan perasaan kita, senang untuk dia faham dan tolong kita. Sebab iiitu penting untuk bagitahu secara jelas tanpa bahasa kiasan berbunga-bunga. Dan waktu untuk meluah pun kena pandai dan sesuai pada masa dan mood. Kalau suami baru balik kerja terus nak cerita benda yang tak best, kesianlah kat dia penat fizikal lagi, ni nak tambah penat telinga dia pula. Cerita benda yang best-best je dulu, biar dia tahu kita gembira.

    Malam sikit atau waktu tengah bertenang cakap elok-elok dan bincang.  Sebaiknya tanya dulu, boleh tak nak cerita. InsyaAllah boleh punya. Satu lagi, nak pasangan dengar kita punya luahan, kita pun kena belajar dengar luahan pasangan. Kalau suami balik kerja nak cerita apa-apa, layan juga dia. Jangan sibuk nak dia dengar kita punya luahan tapi kita tak dengar luahan dia.

    5. Perancangan keluarga, hal ehwal anak-anak

    Ini antara benda paling penting bila dah ada anak (yang belum ada anak, tengah merancang pon boleh je). Sebab lain orang, lain cara dia membesar, lain adat dan budaya, lain pengalaman yang dia lalui. Kebanyakkan kita akan bawa budaya dan cara mak ayah besarkan kita dalam membesarkan anak-anak.

    Masa mengandungkan Wildan, benda pertama yang terlintas di fikiran aku ialah kami berdua membesar dengan suasana dan cara yang berbeza. Memang terus buka mulut pada suami. Kitorang mesti selaraskan supaya tak berlaku mak kata A, ayah kata B. Sebab bila bercelaru, anak akan cepat ikut mana yang dia suka dan jadi berat sebelah. Contoh isu gajet, kami dah bincang dan memang sepakat. Yang biasa kawal mak dia tapi ayah dia pun dah faham. So, bila dengan mak dapat "NO", dengan ayah pun memang akan dapat "NO". So, anak tahu itu peraturannya.

    Pendidikan anak-anak pun perlu dibincang supaya kedua-dua mak dan ayah jelas apa hala tuju yang nak diberikan pada anak. Ada orang mungkin nak fokus pada akademik, ada orang mungkin nak fokus minat anak, ada orang mungkin nak anak jadi hafiz dulu. Benda ni kena bincang dengan pasangan dan capai kata sepakat supaya anak-anak tak menjadi mangsa. InsyaAllah, anak-anak pun semakin besar nanti tak segan nak share apa yang dia minat dan cita-cita dia.

    6. Perancangan ekonomi keluarga

    Dalam bab hal ehwal ekonomi keluarga, pada aku, tak boleh harap satu pihak sahaja yang uruskan. Tak boleh isteri terlalu mengharapkan suami serah duit dan suami tak boleh terlalu mengharapkan isteri sahaja untuk uruskan setiap satu perbelanjaan rumah. Kena ada kerjasama dan perancangan yang baik antara kedua-duanya.

    Kalau rajin buat kira-kira belanjawan rumah, buat simpanan sama-sama dan catit semua perbelanjaan. Masing-masing kena sedia maklum keadaan ekonomi keluarga, lagi-lagi pasal barang keperluan bulanan dan tahunan. Nak ambil takaful bincang, nak beli kereta bincang, nak buat pelaburan bincang, semua yang melibatkan ekonomi rumahtangga perlu dibincang.

    Macam kitorang bulanan memang akan ada masa duduk dan bincang. Kira perbelanjaan bulanan, keep track apa yang perlu dibuat untuk tingkatkan ekonomi. Dia bukanlah buat macam dalam mesyuarat formal. Duduk santai sambil layan anak-anak, buat catatan dan kira-kira. Tak habis buat sambung esoknya. Ikutlah kalau korang nak kena duduk proper, anak-anak tak kacau, pandai-pandailah cari masa dan tempat.

    Pastikan masing-masing tahu masing-masing punya cara belanja, lagi-lagi belanja yang melibatkan rumah tangga. Kalau satu hari salah seorang pergi dulu, dua-dua pihak dah sedia maklum apa yang perlu diutamakan dulu dalam bab harta. Ingat. bab faraid ramai terlepas pandang tau.

    7. Menasihati antara satu sama lain.

    Banyak pasangan tak berani nak tegur kesalahan pasangan masing-masing, terutamanya isteri nak tegur suami. Takut derhaka.

    Bukannya derhaka bila kita cuba nasihatkan suami.
    Bukannya derhaka bila kita tak ikut arahan suami yang salah.
    Bukannya derhaka bila kita tegur kesalahan suami.

    Dia terasa menegur tu macam derhaka sebab takut suami terasa hati dengan teguran isteri. Tapi kalau benda baik pun takut nak tegur, macam mana sesebuah keluarga tu nak jadi keluarga islami yang baik? Sebab apa-apa pun, ketua memainkan peranan yang besar. Dan menjadi ketua tak bermaksud 100% sentiasa betul. Bila ada silap itulah fungsi si isteri. Untuk ingatkan balik, tolong nasihatkan, tolong pastikan rumah tangga pada jalan yang lurus.

    Bab menasihati pasangan tak perlu pun mengherdik, memperli, menghina pasangan. Banyak cara berhikmah untuk tegur pasangan. Agak-agak takut nak cakap, tunjuk contoh. Kalau tunjuk contoh rasa tak berkesan, tanyakan pasangan kenapa tak suka buat amalan begini-begini. Ataupun bagitahu pasangan apa yang kita rasa dia buat salah. Cakap secara direct tapi dengan nada yang baik. Proses ini hanya kita dengan pasangan. Mudah.

    Aku tak nafikan ada orang jenis baran, susah bila pasangan tegur, terus 'defensive' wall dia tinggi. Aku pun tak pasti apa pendekatan terbaik melainkan doa pada Allah sebab sepanjang perkahwinan kitorang, bab menasihati ni kami berdua memang sangat terbuka.

    Dah habis dah bercerita panjang. Ada 7 benda boleh diborakkan dengan pasangan. Sebenarnya ada je lagi benda lain selain 7 yang aku ceritakan ni. Ikutlah kreativiti korang nak borak apa. Kalau tak pandai berborak atau segan, cuba dulu buka satu topik. Borak perlahan-lahan. Macam masa zaman bercinta dulu. Jadi kawan baik to each other. InsyaAllah boleh sangat. Takkan masa bercinta boleh, lepas kahwin tak boleh pulak?

    Aku memang pelik sangat bila ada orang kata 'tak ada benda nak borak dengan suami/isteri'. Sebab macam mana nak kemudi sebuah keluarga dengan pemikiran ketua dan pembantu yang berbeza? Topik yang nak diborakkan mestikah pasal benda yang kita minat sahaja? Macam suami suka bola, memang nak kena topik bola je ke? Isteri minat memasak, topik mesti pasal resepi je ke? Banyak lagi benda yang boleh diborakkan secara santai selain dari minat kita untuk kebaikan dan keharmonian keluarga.

    Para isteri belajar mendengar cerita suami.
    Para suami belajar ringakan mulut bercerita.

    Para isteri rajinkan diri ambil tahu minat suami, kerja suami.
    Para suami rajinkan diri bantu isteri, explain benda isteri tak faham.

    Kahwin ni ibarat sebuah masjid. Kalau ahli dalamnya tak saling bertegur sapa, tak saling perbaiki, macam mana masjid tu nak cantik?

    Harapnya entri ni mampu membantu korang.
    Have fun loving and fall in love with your spouse every single day.

    Sekian.

    12 ulasan

    1. Rasanya kamilah pasangan yang tak berapa banyak bercakap. Memang susah sangatlah nak sembang suka2 ni kecuali kalau betul2 excited. Tapi bahasa cinta tu memang almost all the time :D

      BalasPadam
      Balasan
      1. Wah! Betul-betul. Bila bahasa cinta tu selalu borak, insyaAllah dah bagus dah sebab senang nak saling memahami.

        Padam
    2. Komunikasi dalam hubungan suami isteri ni sangat penting kan. Ia juga rapatkan hubungan.

      Nice tips dear

      donefollow #73

      BalasPadam
    3. Hmmm sy seorng suri rumah. Suami saya tk suka share kt sy apa yg dia blnjakan. Loan apa dia ambil. Investment apa dia nk buat. Dan dia seorang penagih dadah. So sy tk thula klau dadah tu punca dia tk suka share apa yg dia blnjakan. Dia pun tk thu yg sy thu dia beli dadah. So maybe dia nk hide. N kami sush sngt nk berborak sama2. Sbb dia busy lyn kwn2 penagih cam dia brmain video games. To be honest, sy rindu dia sngt2 wlaupun dia kt sbelh sy je.

      BalasPadam
      Balasan
      1. Allahu. Saya tak boleh nak bayangkan perasaan sis. Dari jauh saya hanya mampu doakan supaya kehidupan sis bersama suami Allah tolong supaya menjadi lebih baik. InsyaAllah, semoga Allah memberi suami sis hidayah.

        Padam
    4. Sy la isteri yg xpandai nak borak dgn suami.. Masa suami pergi kerja mcm2 dlm kepala nak cerita masa dia balik kerja tp bila die smpai rumah jd mcm iysh nak cite ke xnak.. Sbb tkot xdpt respon yg kite nak.. Xtau masa sesuai ke x.. Sbb tu siap google cara nak borak dgn suami.. Tolong doakan sy berani borak dgn suami ikot tips sis ye..

      BalasPadam
      Balasan
      1. Saya tak tahu sis baca atau tidak reply saya. Tapi saya bagi tips sikit.
        1. Buang sebarang expectation respon dari suami. Sbb bila expect dia nak dgr, kita yang frust bila tak capai expectation tu.
        2. Kita takkan jumpa masa yang sesuai. Kena cuba create situati atau pancing perbualan. Sama ada kita tanya dulu suami atau kita mulakan dengan 'saya nak cerita sikit'. Ikut selesa.
        3. Kenal mood suami. Ini sebenarnya proses pembelajaran utk sis dan suami. Saya pun bukan terus tahu, belajar dari masa ke masa. Tgk mood suami, dan cerita masa mood dia okay. Bercerita dgn nada yang baik-baik.
        4. Kalau baru nak mula, start perlahan-lahan.

        Saya doakan sis berjaya dan semoga tips ini dapat mengeratkan hubungan sis dan suami.

        Padam
    5. Saya dari dulu duk berckp..suami x dgr..last last dia curang sbb kelemahan dan keburukan saya...skrg saya byj diam sbb x tahu nak borak apa....MCM org asing...takut dia menyampah dgr saya ckp...sdgkan dia x suka...jadi kesimpulannya....ckp banyak pun x guna

      BalasPadam
      Balasan
      1. Saya secara peribadi tak dapat nak beri ulasan lanjut dalam situasi awak.

        Isu bercakap atau tidak, bukan isu utama. Dalam perhubungan saya percaya perlu ada komunikasi.
        Komunikasi yang saya maksudkan bukanlah bercakap sahaja.
        Perlu ada telinga dan hati yg sudi mendengar dengan teliti dan memahami.
        Perlu ada suara yang meluahkan untuk kebaikan bersama, bercerita perkara yang memberi bahagia antara keduanya.

        Kuncinya, dua-dua pihak memainkan peranan.

        Saya boleh bayangkan situasi awak yang suami tidak memberi perhatian. Dia tidak 'berada' di tempat sepatutnya, hanya badannya di situ, telinganya, otaknya, tidak disitu.

        Bagi saya bercakap tidak perlu banyak dan tidak juga tidak perlu bercakap. Yang penting tahu apa yang masing-masing perlukan.

        Saya doakan hubungan awak dan suami semakin baik dan saya doakan awak berdua diberikan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

        Padam
    6. Komunikasi memang sangat penting dalam apa sahaja perhubungan.

      BalasPadam
    7. Ya, kena yang boleh bawak bincang tu baguslah...Kadang jumpa yang tak boleh langsung bawak bincang..Stress!

      BalasPadam
    8. Jangan pandang remeh soal komunikasi dalam perhubungan. Seringlah berkomunikasi secara telus dengan pasangan kita ye.

      BalasPadam

    Komen