Carian

Lawatan Sambil Belajar : Naik MRT dengan anak-anak tadika

Bercakap tentang lawatan sambil belajar, mesti terbayang naik bas lepas tu pergi tempat-tempat yang biasa jadi lawatan macam muzium ke taman ke atau perpustakaan, kan? Lawatan sambil belajar yang dikendalikan oleh pihak Amazing Seed Bandar Tun Hussein Onn sedikit berbeza dan lebih mendekati kemahiran kehidupan anak-anak.

Cikgu bawa naik MRT!

Bagi aku bawa anak murid nak MRT, apatah lagi anak-anak tadika adalah jarang-jarang dibuat oleh kebanyakan tadika. Mungkin atas faktor keselamatan sebenarnya, namun bagi aku lawatan sambil belajar yang begini adalah praktikal dan lebih dekat dengan kehidupan.

Mungkin ada yang terfikir, tak bahaya ke buat lawatan sambil belajar naik pengangkutan awam macam MRT, takut tertinggal ke apa ke kan. Atas faktor begini, pihak Amazing Seed Bandar Tun Hussein Onn membuka ruang kerjasama dengan ibu bapa untuk menjayakan program lawatan sebegini.

Lawatan sambil belajar naik MRT



Satu konsep yang aku sangat suka dengan Amazing Seed adalah bagaimana sekolah memupuk kebersamaan ibu bapa dalam berganding bahu dengan cikgu untuk membantu perkembangan anak-anak tidak kira dari sudut akademik mahupun sudut kemahiran kehidupan. Ini adalah salah satu sebab aku hantar dua-dua Mursyid ke sini. Memang sebelum aku hantar ke sini, benda pertama yang aku bincang dengan pengusaha adalah hala tuju yang aku hajatkan, iaitu berfokuskan kepada kemahiran kehidupan. Dan aku kira, aku dengan pengusaha tadika Amazing Seed Bandar Tun Hussein Onn boleh kata 'sehaluan' dalam bab ini.

Dengan konsep ini, pihak tadika membuka ruang kepada ibubapa untuk terlibat sama dalam aktiviti anak-anak sama ada secara langsung mahupun tidak. Untuk trip naik MRT, cikgu mengalu-alukan ibu bapa yang sudi menjadi volunteer parent untuk ikut serta dalam program. Ini bukanlah kali pertama aku terlibat, ini adalah kali kedua sebenarnya. Pertama kali join adalah pada tahun 2019. Trip melawat Lapangan Terbang Subang.

Penting ke penglibatan ibu bapa dalam program lawatan?

Aku bercakap dari sudut lawatan untuk sekolah tadika (anak-anak umur 4-6 tahun).
Bukan sekolah rendah dan ke atas. Sebab berbeza peringkat umur, berbeza pendekatan.

Bagi aku, penglibatan ibu bapa bermanfaat dari sudut untuk mewujudkan persefahaman dengan cikgu-cikgu. Sebab adakalanya, sebagai ibu bapa, kita lupa yang cikgu anak-anak kita bukan urus anak kita seorang dalam satu masa. Dalam satu masa, mereka ada lebih kurang 15-20 orang anak murid yang pelbagai perangai dan sikap yang perlu diuruskan dengan baik. Berbeza dengan kita yang jadi mak ayah, melayan kerenah anak-anak tidak sampai satu kelas pun ada hari sudah lelah melayan kerenah 2 anak (akulah tu). Persefahaman ini penting untuk kita sebagai ibu bapa tahu bagaimana untuk letak 'expectation' bila kita menghantar anak-anak ke tadika. Adakala, ada sesetengah expectation yang melampau dan bila tak tercapai, habis semua cikgu disalahkan.

Melihatkan cara cikgu-cikgu menguruskan anak-anak sepanjang lawatan, memang aku tabik. Mana tidaknya, kalau aku bawa Mukhlis jalan memang dia akan tak duduk diam. Dia akan berlari ke sana ke mari, buat-buat pandai dan macam-macam lagi. Itu aku bawa Mukhlis, SEORANG. Kalau berdua dengan Wildan, boleh bayangkanlah bagaimana.

Tetapi... bila tengok cikgu-cikgu uruskan, anak-anak semua jadi auto berdisiplin dan mudah dengar kata. Masing-masing tak ada pula berlari ke sana ke mari, atau terlompat-lompat tak nak duduk langsung. Elok masing-masing bawa diri.

Orang akan kata 'alah, anak dengan cikgu lain, dengan mak lain. Biasalah tu.'

Ya, memang ini adalah perkara normal. Cuma bagi aku, inilah saat-saat untuk kita sebagai ibu bapa tengok sendiri cara anak-anak kita bergaul dengan kawan-kawan, cara mereka bawa diri dalam kalangan masyarakat dan tengok sendiri mereka menjadi 'dewasa' dengan cara mereka. Masa inilah kita boleh menilai tahap kepercayaan yang kita ada untuk anak-anak dan melihat sendiri peribadi yang anak-anak kita ada apabila bersama orang selain ahli keluarga.

Untuk trip naik MRT ini, anak-anak dibawa ke MRT dengan bantuan beberapa orang volunteer parents. Kemudian mereka naik MRT dari Stesen Bandar Tun Hussein Onn sampailah ke Stesen Stadium Kajang. Tiba di Stesen Stadium Kajang, anak-anak dibawa untuk makan tengahari di Sate Kajang Hj Samuri. Selesai menjamu selera, anak-anak pulang ke tadika dengan menaiki MRT. Jumlah masa perjalanan adalah sekitar 3-4 jam.

Lawatan sambil belajar naik MRT
Ini adalah aktiviti semasa menunggu. Masa ni, ada cikgu yang uruskan anak-anak ke tandas. Ada juga ibu bapa yang tolong tengokkan anak-anak supaya mereka duduk dalam lingkungan bersama pihak tadika.

Apa kelebihan buat lawatan sambil belajar seperti ini?

1. Melatih anak-anak untuk berdisiplin di kawasan awam.

Kebiasaannya anak-anak kecil, usia sekitar 6 tahun dan ke bawah, masih kurang jelas akan situasi dan keadaan di kawasan awam. Pada mereka semua benda adalah baru dan perlu diterokai. Bila buat trip sebegini, mereka melihat sendiri dan belajar secara langsung apakah adab-adab dan tingkah laku yang sewajarnya mereka bawa. 

2. Memperkenalkan kepada pengangkutan awam

Walaupun ada serba serbi kekurangan khidmat pengangkutan awam di Malaysia, tidak dinafikan ada pengangkutan yang bagus seperti MRT. Penggunaan pengangkutan awam sebenarnya membentuk disiplin menepati masa. Anak-anak akan tahu, nak naik pengangkutan awam, tidak boleh ikut sukahati sebab ia digunakan oleh orang ramai dan sudah ada jadual. Maka, mereka perlu tepati perkara ini dan mereka perlu hormat kepada masa orang lain.

3. Melatih anak-anak rasa tanggungjawab

Ini salah satu point yang aku rasa penting. Untuk memastikan anak-anak semua terjaga, cikgu buat sistem 'pasangan', yang mana cikgu akan pasangkan seorang anak umur 6 tahun dengan anak umur 5 tahun atau 4 tahun. Kira ada abang/kakak yang perlu jaga seorang adik. Bagi anak-anak yang sudah 6 tahun, semestinya mereka sudah serba serbi jelas bila cikgu serahkan seorang adik untuk dijaga, mereka akan cuba sehabis baik untuk amanah yang diberikan. Lagipula anak-anak ini hati mereka masih suci dan murni. Setiap tugas yang diberikan mereka akan ambil berat untuk laksanakan dengan baik. Peribadi sebeginilah yang penting untuk dipupuk dan dikekalkan sehingga dewasa.

4. Membentuk peribadi Muslim dalam kehidupan seharian

Dalam perjalanan, cikgu-cikgu sentiasa ingatkan anak-anak untuk membaca doa dalam setiap aktiviti yang mereka buat. Nak naik kereta ada doa, nak mula masuk train pun ada doa, nak makan ada doa. Ini adalah praktikal untuk apa yang mereka belajar. Doa yang mudah-mudah dan ringkas untuk mereka amalkan dalam kehidupan seharian. Malah, untuk lawatan sambil belajar ini, mereka buat sendiri apa yang mereka belajar di tadika. Mereka tahu, apa yang mereka belajar di tadika bukanlah untuk di tadika sahaja tetapi untuk kehidupan seharian.

Lawatan sambil belajar naik MRT
Wajah anak-anak separa kepenatan sambil menunggu MRT sampai.


Ini adalah antara intipati yang aku dapat. Semua ni aku ulas dari pemerhatian sahaja. Bukan cikgu-cikgu yang bagitahu pun. Biasanya lawatan sambil belajar ini adalah momen anak-anak ini keluar dari kelas dan melihat sendiri keadaan di luar dan sebenarnya ini adalah ruang untuk mereka sendiri melihat peribadi dan tingkah laku manusia di alam realiti.

Kalau korang sebagai ibu bapa, jika diberi kesempatan dan memang ada kesempatan, nak tak kalau dapat jadi volunteer parent terutama untuk aktiviti lawatan sekolah anak-anak?

Dan, apa pandangan korang tentang idea lawatan sambil belajar dengan membawa anak-anak naik pengangkutan awam?

Nanti komen ya. Nak tahu juga apa pendapat orang lain.


Tiada ulasan

Komen