Jarang sangat aku nak menulis pasal movie atau drama. Lagi-lagi kalau cerita melayu. Sebab aku tak layan sangat. Banyak sangat fantasi dan tak ada isi, lebih kepada nak puaskan hati rakyat Malaysia. Tapi, untuk drama Nur ni aku terjebak menonton sejak tahun lepas.
Sebenarnya tahun lepas tak layan juga cerita Nur. Yelah, aku memang sebelah malam mana tengok TV dah dengan anak-anak. Nak pula bulan puasa masa tu. Lepas isya' kemas rumah, layan budak-budak dan paksakan tidur. Haha.
Aku jadi tertengok sebab kecoh dekat media sosial pasal netizen mengamuk babak Ustaz Syed Hamadi melanggan pelacur. Masa tu babak tu memang aku tengok dekat rumah Ummi. Tak tahu pula esoknya kecoh netizen marah sebab babak macam tu seolah-olah menghina status ustaz. Adik aku pulak, bersungguh rekomen aku tengok cerita Nur sebab katanya cerita tu padu. Masa tu dah lebih 10 episod bersiaran. Serius rasa malas nak layan, nak kejar lagi.
Memandangkan kecaman netizen sangat heboh, suami ajak aku layan drama Nur. Nak tahu juga part mana yang director menghina status ustaz. Kena tengok dari awal untuk faham karekter ustaz yang tu. Maka kami memang berkejaranlah menonton drama Nur. Haha. Masa tu, almost setiap episod aku rasakan ada mesej yang sangat dalam. Mulut becok bercakap sambil tengok cerita. Kena tengok dengan mata hati, tak boleh tengok dengan emosi. Sebab setiap babak dan dialog ada isinya.
Bila nak keluar Nur 2, aku jadi excitedlah juga sebab ternanti-nantikan mesej yang padu dan padat. Nak pula masa Nur dulu episod terakhir macam fast forward 10 episod. Tiba-tiba dah dua minggu, dah jadi itu, dah jadi ini.
Dalam Nur 2 banyak babak dan dialog yang buatkan aku berfikir. Malah, ada sesetengah dialog buatkan aku bersoal jawab dengan Ummi. Jangan tak tahu setiap kali habis episod, kami sekeluarga berbincang pengajaran dari episod tu.
Ini antara mesej yang aku dapat dalam Nur 2:
1. Hubungan suami isteri bukanlah hubungan tuan dengan hamba.
Ini sah-sah berkenaan hubungan Hamadi dan Aisyah.
Ramai yang bengang akan watak si Aisyah yang taat setia buta tuli pada si suami yang 'makan' luar, makan duit haram dan lebih teruk kaki pukul. Bila buka sosial media, banyaklah yang mengecam watak si Aisyah. Aku pun geram juga mulanya. Tapi aku tahu, orang macam Aisyah dalam dunia realiti ramai.
Berdasarkan perkongsian bekas naqibah aku, seorang peguam, kes begini banyak. Setia kerana takut tak ada pengganti, mindset syurga di bawah tapak kaki suami, kalau minta cerai namanya isteri derhaka, takut akan title janda dan banyak alasan untuk tidak bertindak.
Dalam Islam, hubungan suami isteri adalah hubungan dua hala, perlukan kerjasama. In fact, ada satu babak Ayah Haji berpesan kepada Ustaz Adam, yang untuk menjaga keharmonian rumah tangga suami kena mengalah pada isteri. Bukan semuanya kena turut tapi ada TOLERANSI. Buah fikiran si isteri perlu dipertimbangkan.
2. Mindset yang ditanamkan kepada anak-anak perempuan dalam masyarakat.
"Tempat seorang isteri adalah dengan suaminya, tak kira siapa suaminya" Ini kata Aisyah kepada Mak Hajjah.
Pada aku dialog ni makan dalam. Sebab majoriti dalam masyarakat kita inilah perkara yang dipupuk kepada anak-anak perempuan. Tak kira suami teruk macam mana, jangan buka mulut, tahankan sahaja. Aku ada berbalas komen, siap ada yang cakap budaya merajakan orang lelaki adalah perkara toksik. Orang lelaki langsung tak berbuat apa, habis dari mendidik anak, menjaga hal ehwal rumah semuanya isteri je. Belum lagi ada yang komen, ada suami penagih dadah pun keluarga suruh bertahan!
Alasan paling biasa ialah 'orang lelaki dah penat bekerja'.
Persoalannya, sebagai ketua keluarga, bagi komitmen 100% pada pekerjaan tetapi bagi 0% komitmen pada keluarga?
Dan, ramai wanita takut bergelar janda, sanggup menggadai diri duduk bersama suami yang langsung tak ada hati perut, langsung tak menjalankan amanah. Tergadai maruah, tergadai emosi, tergadai mental.
3. Semua ahli alim tetap seorang manusia yang ada nafsu
Ini realiti yang dibawakan dalam drama Nur 2. Ada beberapa babak yang Juita menggoda Adam sampaikan Adam seolah-olah kalah. Memang ada.
Ada juga aku baca komen dekat media sosial marahkan ustaz Adam. 'Ustaz Adam sama je dengan Hamadi!'
Sejujurnya, mindset masyarakat kita ustaz atau ahli alim ni tak bernafsu. Lupa mereka juga manusia, bukan malaikat. Bezanya, mereka ada ilmu dan mujahadah melawan nafsu mungkin lagi hebat. Kita tak nampak.
4. Jangan tengok apa yang orang lain ada
Kalau perasan, watak Juita ni penuh hasad dengki. Bila flashback pun, nampak Juita ni tak puas hati sebab Nur asyik dapat benda-benda yang baik sahaja. Dia membandingkan dan mempersoalkan asyik Nur je dapat yang baik. Pada mata Juita, Nur tak susah. Nak keluar dari lembah hina, dapat. Nak suami yang baik, rezeki suami seorang ustaz.
Sedangkan Juita tak tahu kesungguhan Nur berusaha mengubah hidupnya, tak pernah berhenti meminta pada Allah walaupun nampak tak dijawab, diherdik mak sendiri, dijual mak sendiri kerana percayakan Allah.
Orang macam ni ramai. Nak pula sekarang semua benda kita upload dekat media sosial. Lama sikit kita spend masa, mula terdetik rasa 'senangnya hidup dia'. Sedangkan di balik tabir tu kita tak tahu langsung kesusahan orang. Yelah, siapa nak tayang hidup dia susah kan?
5. Kita tak nampak sisi lain seseorang dalam realiti.
Macam mana orang ramai marahkan sangat Juita dan ke'bodoh'an Nur yang percaya Juita, orang ramai lupa akan realiti sebenar.
Dalam drama, kita nampak semua sisi Juita. Dia bohong kata kena halau, dia bohong kata Adam nak tackle dia. Dia pura-pura baik dengan Nur pun kita nampak. Kita marahkan Nur sebab Nur buta. Memang Nur buta sebab dia tak nampak kebohongan Juita tu. Realitinya, kita dengan kawan-kawan sekeliling pun bukan kita tahu kalau dia buat tak elok pada kita kan? Kalau ada orang datang cerita, ada kita nak terus percaya?
Ini benda realiti. Orang macam Nur sangat banyak. Percaya kawan punya pasal, perkahwinan sendiri berkecai. Ada okay. Bukan tak ada.
![]() |
Barisan pelakon cerita Nur |
Sepanjang tengok Nur 2, aku paling emosi saat Hamadi bagitahu Aisyah "Nanti dekat neraka isteri-isteri derhaka macam awak nilah diheret". Pada ketika itu, memang rasa nak baling benda dah. Pandai-pandai dia nak kata Aisyah derhaka. Dia tak sedar yang dia derhaka pada Aisyah. Mengutuk Aisyah mandul, merendah-rendahkan Aisyah, tak jaga aib Aisyah depan orang (marah dengan kata cerca depan orang).
Untuk Nur 2 ni, endingnya aku tak berapa puas hati juga dari sudut garis masa cerita. Tiba-tiba Juita kantoi, Madi dibunuh, Aisyah dalam penjara, Nur dengan Adam pindah, Datuk Tajuddin muncul. Dah siap dalam satu episod. Macam fast forward juga. Tapi taklah macam Nur dulu, memang fast forward sangat. Haha. Penamatnya bagus, cuma berkejaran masa.
Aku mungkin puas hati kalau satu episod satu masalah selesai. Kira ada details sikit, ada dialog dan intisari sikitlah. Ending ni ramai puas hati sebab Madi akhirnya lenyap, Juita ditangkap. Ala-ala happy endinglah juga kan. Biasalah, inilah yang orang mahukan. Pengakhiran yang memuaskan hati. Hero dan heroin bangkit dan menang.
So, bagi yang tak tengok Nur atau Nur 2, korang tak ketinggalan pun. Tak rugi apa-apa. Tapi pada pendapat aku secara peribadi, ini antara drama Melayu yang buatkan aku duduk terpacak dan berfikir. Dah lama tak layan drama Melayu pun. Siapa yang belum tengok, aku nasihatkan tengok dengan akal. Cuba fikirkan mesej yang hendak disampaikan. Kalau nak tengok sekadar hiburan, korang akan emosi sebab watak-watak semua tak macam superhero tiba-tiba berubah dan yang jahat sangat menganggu jiwa penonton. Haha. Jalan cerita pun ada yang dijangka, ada tak dijangka.
Bagi yang dah tengok, cuba share sikit apa yang korang dapat dari cerita Nur 2 ni.
Nur 1 tak pernah miss tengok. Nur 2 je memang banyak miss. Tenfok dalam tiga empat episod je
BalasPadamKalau rajin nak tengok balik secara online, boleh je tengok. Hehe. Kalau tak tengok pun it's okay je.
Padam