Carian

Aktiviti bersama anak sepanjang PKP

Assalamualaikum dan hai!

Awal bulan hari tu, sempat kongsikan resepi yang kami sekeluarga cuba sepanjang PKP yang berlangsung bermula 18 Mac hingga 14 April 2020 (InsyaAllah akan ada versi no 2). Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat duduk beramai-ramai sejak PKP diumumkan. Cumanya, anak aku yang sulung (Wildan) dah selamat balik Kerteh untuk cuti sekolah tempoh hari. Tiba-tiba keluar arahan kawalan pergerakan. Sudahnya tinggallah dia di sana bersama atuk nenek dan makcik pakcik dia. Alhamdulillah juga sebab keluarga mertua dapat berkumpul sekeluarga kecuali adik ipar seorang yang sedang berlaja di Shah Alam.

Dengan teknologi zaman sekarang ni, ada smartphone, ada akses internet, taklah susah sangat untuk berhubung. Hampir sebulan PKP ni, boleh kata setiap harilah bervideo call dengan anak seorang yang ada di Kerteh. Dia sihat, seronok dan baaaanyak aktiviti. Maklumlah ramai yang nak melayan.

Kembali pada tajuk entri kali ni, aku nak kongsikan sedikit aktiviti-aktiviti yang boleh dibuat bersama anak-anak. Mungkin bersesuaian dengan anak-anak yang berumur 6 tahun ke bawah sebab anak aku ni baru 3 tahun lebih. Abangnya pun baru nak masuk 6 tahun. So, kebanyakkan aktiviti memang terhad untuk range umur 6 hingga 3 tahun lah.

aktiviti bersama anak di dalam rumah, indoor games, pkp, mco



Ini antara aktiviti yang aku buat dengan Mukhlis:

1. Congkak Moden
Rumah Ummi memang ada congkak. Dari kami semua kecil sampailah besar memang ada satu ni sahaja congkak klasik. Kata Ummi, congkak ni dia beli masa dia tingkatan 5 masa lawatan ke Kelantan. Memang kami masa kecil rajin main congkak. Sampai gaduh merajuk okay.

Memandangkan Mukhlis masih kecil, tangan pun comel lagi, nak main congkak versi dewasa memang tak lepaslah. Jadinya, aku ubah sikit gaya penggunaan congkak ni. Berbekalkan kad uno, lego dan pompom ball, aku jadikan congkak sebagai satu platform untuk dia kenal nombor, warna dan bentuk.


Macam mana?

Kad UNO boleh digunakan sebagai kad nombor. Guna kad yang ada nombor jelah ya. Dalam UNO ada 4 warna; merah, biru, hijau dan kuning. Dan kebiasaanya lego akan ada 4 warna ni. So, aku letak kad pada setiap lubang congkak dan minta Mukhlis susun lego ikut warna dan nombor yang ada pada kad. Sebenarnya main macam ni jimat nak print. Selain guna lego, aku guna juga pompom ball. Ikut Mukhlis dia suka yang mana.

Sebenarnya, boleh iku kreativiti korang nak buat apa dengan congkak untuk anak-anak kecil. Lubang-lubang pada congkak ni aku rasa sangat sesuai untuk main permainan yang memerlukan anak-anak untuk buat 'sorting' atau penyusunan. Bentuk ke, nombor ke, warna ke.

2. Lego Play
Untuk Lego Play, aku ada satu entri khas yang bercerita pasal cara bermain dengan lego yang kreatif. Boleh buka entri 4 Cara Bermain Lego Sambil Belajar untuk dapatkan PRINTABLE FREE dan idea-idea menarik untuk bermain lego dengan anak.


Memandangkan Mukhlis baru 3 tahun 6 bulan, dia lebih suka main lego dengan susun dan ikut kad yang aku dah print. Dia boleh main lebih dari 10 minit tau sebab dia seronok dapat susun serupa seperti dalam kad. Haha. Untuk yang lain aku tak buat lagi sebab belum sampai level Mukhlis.

3. Shape Recognition
Ini sebenarnya sebahagian daripada silibus e-learning Mukhlis. Sepanjang PKP ni, cikgu-cikgu sekolah diorang akan hantar link video dan lesson plan untuk hari tu. Tak berat pun. Sangat santai dan tiada paksaan. So, kebetulan aku tengah cari idea untuk kenalkan bentuk pada Mukhlis. Dia tahu bentuk tapi tak tahu nama. Hehe.


So, idea cikgu dia adalah bentukkan dengan plastesin tapi aku tak ada plastesin. So, aku print bentuk dan bagi dia sticker. Arahannya mudah, susun sticker ikut garisan pada bentuk. Sebenarnya ini adalah proces 'tracing' tanpa perlu gunakan sebarang pen. Latihan untuk mengasah motor halus anak. Latihan begini yang penting untuk bagi dia kemahiran pegang pensil dan menulis. Selain daripada pakai sticker, aku ada print juga do a dot shape tracing. Mukhlis ni dapat dot marker memang habis satu kertas dia warnakan. Haha.



4. Printables
Aku dan printables memang tidak pernah berpisah.Hehe. Aku memang suka download banyak printables yang praktikal untuk anak-anak. Nak buat sendiri, kadang memang tak ada masa, tak ada idea. Cuma kebanyakan sumber printables adalah dari negara Amerika yang mana budaya dan silibus pendidikan agak berbeza. Kena pandai pilih-pilih sikitlah. InsyaAllah, doakan aku boleh buat printables walaupun sibuk ni.

Dengan Mukhlis, aku banyak cari printable untuk mewarna, kenal abjad, kenal nombor dan kenal bentuk. Biasa dia memang seronok tunggu depan printer kertas keluar. Dan ada masanya dia merayu rayu minta.


Dekat mana aku cari?

Boleh cari dekat Pinterest. Ada banyak. Sangat banyak.

Selain itu aku ada juga mendaftar di website-website yang menyediakan silibus dan sumber pendidikan. Antaranya TeachersPayTeachers dan Education.com. Ada duit lebih, aku beli printable. Kebanyakkannya aku beli yang FREE je. Dan ada satu website yang menyediakan baaaanyak printable untuk anak-anak prasekolah.

Boleh check kat website-website di atas dan tengoklah mana yang sesuai dengan korang.

5. Sandplay
Ini antara permainan yang mencabar keimanan. Haha. Anak-anak memang suka main pasir. Aku ada pasir kinetik. Hanya hari tertentu sahaja main pasir dibenarkan. Yelah, main pasir ni sebenarnya bersepah dan perlukan pengawasan dari orang tua. Kalau tidak, uish! Habis satu rumah dikerjakannya. Dah pernah kena dah sekali.

Dengan sandplay juga boleh ikut kreativiti masing-masing. Pentingnya bermain pasir ni sebenarnya untuk sensori anak-anak. Bawah kulit kita ada banyak sensori dan anak-anak kecil sangat perlukan stimulasi seperti bermain air dan pasir. Benda-benda ni akan beri ransangan pada otak mereka. nak cerita panjang, aku taklah pakar tapi ini perkembangan sensori memang sangat penting untuk 6 tahun pertama anak-anak.


So, antara cara aku bermain dengan Mukhlis ialah main cari huruf. Tanam huruf dalam pasir, sediakan kad atau satu borang huruf di sebelah dulang pasir. Biar anak cari dan suruh dia padankan dengan huruf. Anak tak kenal huruf, jangan risau. Inilah masanya kita nak kenalkan huruf. Mukhlis banyak dah kenal sikit-sikit. So, bila pilih tu dia boleh sebut huruf apa. Selain huruf, boleh juga nombor dan bentuk.

Korang boleh je jadi kreatif untuk main pasir ni dengan anak-anak. Aku pun dapat idea dari Pinterest. So, siapa tak ada aplikasi Pinterest, boleh download sekarang!

6. Board Games
Permainan klasik yang dilupakan sejak ada tablet dan smartphone. Aku geledah stor rumah semata-mata mencari board games yang ada. Masa kami membesar, board games yang mengisi hujung minggu kami. Main saidina lah, main sahibba lah, main dam ular, ludo dan banyak lagi. Selain board games, kad-kad seperti kad Happy Family, Old Maid dan Snap pun kami main.

Kebetulan di rumah Ummi ada Scrabble Junior. Sangat bangus untuk ajar anak-anak perkataan baru dan bermain secara seronok.

Scrabble Junior ni ada dua bahagian, satu bahagian mudah dan satu lagi susah sikit. Yang mudah adalah dah siap tulis semua perkataan. Anak-anak tinggal bentukkan semula perkataan tersebut dengan huruf yang mereka ada. Yang satu lagi, sama seperti Scrabble biasa, papannya kosong dan perlu bentuk sendiri perkataan. Satu lagi yang menariknya, Scrabble Junior gunakan abjad kecil sebab anak-anak sepatutnya berkenalan dengan abjad kecil. Yelah, antara abjad besar dan abjad kecil kita lagi banyak melihat abjad kecil, kan?


Dengan Mukhlis, boleh main Scrabble Junior sahajalah. Board Games yang lain susah bagi dia. Dia cuma tengok sahaja. Tapi dia seronok tengok kami main!

Sebenarnya bermacam lagi aktiviti yang boleh dibuat sepanjang PKP dan apa yang aku tulis semuanya aktiviti dalam rumah. Petang-petang ada juga aku ajak Mukhlis main dalam laman rumah. Main bola, main basikal dan terkini aku terfikir nak ajar dia main lompat tali. Terus teringat pasal lompat getah! Nostalgik sungguh! InsyaAllah untuk aktiviti luar rumah yang sesuai untuk bermain hanya di laman rumah akan aku kongsikan dalam entri lain.

Sekian itu sahaja cerita hari ini.
Terima kasih sudi membaca!

Korang yang ada anak, apa lagi aktiviti yang korang buat dengan anak-anak?
Kongsikan sikit di ruangan komen.

1 ulasan

Komen