Aku yakin, rakyat Malaysia ni memang suka simpan cili padi untuk buat stok kalau-kalau tekak teringin nak makan makanan pedas atau nak buat sambal kicap cili padi ke sambal belacan ke. Maklumlah tekak kita orang Asia ni memang suka yang pedas-pedas. Kalau tak pedas, kurang sikit nikmat nak makan.
Kali ini, aku nak kongsikan cara menyimpan cili supaya tahan lama. Lagi-lagi cili padi atau cili api. Cili padi ni, masa membeli seronok memilih tapi bila menyimpan kadang-kadang hampir separuh jadi cepat rosak atau busuk sebab cara penyimpanan kurang sesuai. Kalau tahu cara menyimpan dengan baik, tidaklah jadi membazir.
Cara Pilih Cili Yang Segar dan Tahan Lama
Aku pernah kongsikan cara-cara untuk pilih cili padi yang segar. Konsep pilih cili, mana-mana cili, sama ada cili merah, cili hijau sampailah ke cili paling kecil menggunakan teknik yang sama. Sebab semuanya jenis cili juga. Beza pada saiz dan tahap kepedasan.
Ringkasan cara-cara memilih cili yang segar dan boleh simpan lama.
- Pilih cili yang tangkainya masih lekat pada cili. Tangkai yang lekat pada cili dan masih kuat menandakan cili masih segar. Cili yang masih ada tangkai biasanya masih pejal dan tidak lembik.
- Pilih cili yang warnanya terang dan berkilat. Contoh cili merah, pilih merah yang terang dan cili hijau, hijaunya terang. Selain daripada warna, cili yang berkilat juga menandakan cili masih segar dan juga pedas.
Gambar dari rawpixel.com |
Sebab itu, selesai membeli cili di kedai, bila balik sahaja rumah, jangan terus simpan cili yang dalam plastik begitu sahaja. Nanti cili berpeluh dan tangkai tadi akan menyebabkan cili jadi mudah rosak. Ini aku kongsikan dua tipas mudah untuk simpan cili supaya tahan lama. Kebiasaannya tips ini sesuai untuk cili padi. Boleh juga untuk cili besar tapi cili besar kurang sikit risiko untuk mudah rosak berbanding cili padi.
Tips Simpan Cili Tahan Lama
Tanggalkan tangkai cili
Tips ni dulu aku skeptikal. Rasa kalau tanggal tangkai tu lagi cepat cili tu rosak. Tapi sebab aku nak cuba, aku cuba juga. Pertama kali aku buat tu, aku perasan cili padi yang aku simpan selepas seminggu masih elok dan segar macam masa mula-mula beli. Gambar yang ada kat bawah ni adalah gambar cili padi yang disimpan ada lebih dua bulan sebab tak teringat dalam bekas ni masih ada cili padi hijau. Nampak macam cili padi baru beli kan?
Cili-cili ni memang dah lebih dua bulan. Tak ingat bulan berapa beli tapi rupanya masih segar. |
Gambar yang ini pula cili yang dibeli dua minggu lepas. Nampak dekat hujung dan pangkal cili yang dekat dengan tangkai dah menghitam, paling-paling hanya tengah cili je yang elok. Kebanyakan cili padi dalam plastik memang sudah lembik dan ada yang dah berkulat terutama pada bahagian tangkai cili. Sangat berbeza dengan cili yang dibuang tangkai. Dah lebih dua bulan tapi masih segar.
Ini memang baru beli dalam tiga minggu. Rupa cili-cili semua hampir sama dengan lebam, lembik dan berkulat. |
Letak tisu dalam bekas simpan cili
Tujuannya nak serap lembapan hasil 'pernafasan' cili di dalam bekas. Tisu ni sangat berguna supaya cili sentiasa kering daripada sebarang lembapan lebihan. Tisu ni takkan basah, dia cuma jadi lembap dan sejuk sahaja. Tisu yang dalam gambar kat atas tu sebenarnya tak pernah tukar pun dari hari pertama letak cili. Dia memang tak jadi basah kuyup ke apa. Dia cuma serap lembapan lebihan sahaja.
Itu sahaja tipsnya. Mudah kan?
Banyak je lagi tips lain aku pernah jumpa. Tapi aku jumpa tips ni dulu sebelum yang lain dan setakat hari ini aku sangat berpuas hati dengan tips ni. Cili padi aku jadi tahan lama dan masih boleh pakai walaupun berbulan terlupa dia ada.
Kalau rasa-rasa baru tahu atau tengah mencari cara untuk simpan cili padi supaya tahan lama, boleh lah cuba cara ni. Bagi aku, aku memang sukakan cara ni dan memang akan ajar orang lain untuk guna tips ni. Sangat mudah.
Resepi Menggunakan Cili Padi
Alang-alang bercerita pasal cili padi, cili api ni, aku nak sharelah resepi yang menggunakan cili padi. Bolehlah masukkan dalam meal planning korang. Barulah masa membeli cili tu nanti dah boleh susun siap-siap nak masak untuk apa dan tidaklah lama sangat simpan cili, terutama cili padi. Lepas ni boleh cuba.
Baca: Biji Ketumbar
thanks share tips. memang cili padi selalu busuk dalam peti 😅 Lepas ni boleh try tips ni.
BalasPadam