Carian

Pertama Kali Menyediakan Anak Untuk UPKK

Tahun ini merupakan antara tahun yang mendebarkan aku. Walaupun aku sebenarnya bukan 'exam-oriented' tetapi peperiksaan memang salah satu penilaian kefahaman yang tak dinafikan sangat-sangat berguna untuk sesetengah manusia. Dan bercakap tentang tentang peperiksaan, apa yang membuatkan aku berdebar sikit tahun 2025 ni adalah kerana Wildan bakal menduduki peperiksaan UPKK. Sejujurnya, aku memang tidak berapa cakna sebelum ini sebab aku anggap ianya periksa biasa. Namun bila aku tahu kepentingan dan kelebihan UPKK untuk pendidikan peringkat menengah dan juga long term learning, aku perlahan-lahan ambil berat pasal UPKK.

persediaan upkk 2025 bersama fly high education centre

Masa pendaftaran sekolah agama awal tahun haritu, salah satu perkara wajib yang perlu beli untuk Tahun 5 adalah buku Nota Padat UPKK. Jadi masa tu aku tanya ustazah yang in charge tentang keperluan buku tersebut sebab buku ni lebih kepada buku revision merangkumi tahun 3, 4 & 5 untuk mata pelajaran UPKK. Kata ustazah, buku ini memang wajib sebab untuk UPKK, silibus yang digunakan adalah berbeza dengan silibus yang mereka sedang guna di sekolah. Sekolah menggunakan silibus JAIS memandangkan sekolah agama merupakan sekolah di bawah kelolaan JAIS. Dan UPKK bukan di bawah JAIS.

Apa benda UPKK?

UPKK atau Ujian Penilaian Kelas KAFA ialah ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk pelajar Tahun 5 di sekolah KAFA. Tujuan UPKK adalah untuk menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan anak-anak dalam bidang pengajian asas agama Islam. Pendek kata, periksa untuk menilai sejauh mana anak kita dah kuasai ilmu fardu ain sepanjang belajar di KAFA sejak tahun 1. 

Subjek dalam UPKK

Untuk UPKK, ujian bukan sekadar bertulis tetapi ada ujian lisan. Sejak masuk Tahun 5, memang pihak sekolah awal-awal sudah sediakan taklimat tentang program-program berkaitan UPKK seperti kem-kem, kelas-kelas tambahan, garis masa tarikh-tarikh penting penilaian dan peperiksaan. Sekolah sangat-sangat tersusun untuk memastikan anak-anak dapat belajar silibus UPKK. Walaupun sebenarnya subjek UPKK dengan subjek JAIS tak banyak beza, dari sudut silibus ada sedikit perbezaan. Ini adalah subjek-subjek untuk UPKK.

    • Al-Quran (Lisan)
    • Akidah (Bertulis)
    • Sirah (Bertulis)
    • Adab (Bertulis)
    • Jawi dan Khat (Bertulis)
    • Bahasa Arab (Bertulis)
    • Ibadah (Bertulis)
    • Penghayatan Cara Hidup Islam (Pemerhatian & Lisan)
    • Amali Solat (Amali & Lisan)

Kepentingan UPKK

Sebenarnya, selain UPKK ni sebagai penilaian kefahaman asas fardu ain, keputusan yang cemerlang (Mumtaz) boleh membantu membentuk hala tuju pendidikan dan peribadi anak-anak dalam jangka masa panjang. Dari sudut pendidikan, keputusan UPKK merupakan syarat tambahan kepada sekolah-sekolah aliran agama yang berprestij. Antara sekolah-sekolah agama peringkat menengah yang mempunyai syarat UPKK adalah:
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
  • Kelas Aliran Agama (KAA) di Sekolah Menengah Kebangsaan
  • Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
  • Sekolah Tahfiz atau Maahad Integrasi

Bagi aku yang berlatar belakangkan dari sekolah agama menengah, aku sangat-sangat menggalakkan Wildan untuk tidak berhenti belajar subjek agama di peringkat sekolah rendah. Mendalami ilmu agama pada peringkat rendah tidak sama dengan mendalami ilmu agama pada peringkat menengah. Pembelajaran agama bukan setakat untuk fardu ain yang 'surface' tetapi juga untuk dijadikan sebahagian daripada kehidupan. Aku tak mampu nak sediakan kelas-kelas agama di luar waktu sekolah. Jadi adalah lebih baik kalau dia dapat menempatkan diri di mana-mana sekolah agama.


Kelas Tambahan UPKK

Awal-awal dulu, aku rasa aku mampu untuk ajar dia subjek-subjek UPKK. Tapi disebabkan aku sendiri sekarang sedang sambung belajar sambil aktif menjadi ahli jawatankuasa Suri Rumah Rahmah, masa sangat-sangat mencemburui. Lagipun, bila aku yang ajar, ada masanya emosi aku sendiri lama-lama jadi tak stabil. Bila keputusan ujian penggal satu keluar pada bulan Mac tempoh hari, memang aku dah mula risau. Sejak masuk tahap 2, memang aku perasan, prestasi sekolah agama Wildan sedikit merundum walaupun tak teruk. Jadi, aku rasa untuk UPKK aku perlu outsource selain daripada kerah dia buat buku latihan. Dia perlukan kelas untuk ajar cara memahami soalan, cara menjawab soalan.

Oleh disebabkan itu, aku terjumpa kelas UPKK oleh Fly High Education Centre. Walaupun sedikit lambat masuk, September ni baru mula sebenarnya, aku rasa 'better late than never' kan? Untung enroll dengan Fly High Education Centre adalah rakaman disediakan untuk kelas secara online. Jadi bila perlu ulang kaji, buka sahaja rakaman dan belajar. Baru-baru ini aku dapat maklumat dari Wildan, dalam UPKK ada soalan KBAT. Pengajar subjek UPKK, Ustaz Azhari bin Sulaiman Al-Haj memang ada ajar cara menjawab soalan KBAT.

Soalan KBAT untuk ilmu agama sebenarnya penting. Sebab kita bukan hanya nak lahirkan generasi yang bijak agama tetapi juga menjadi golongan mereka yang berfikir. Jadi melalui UPKK aku berharap menjadi titik tolak untuk Wildan menjadi seorang manusia yang lebih baik dan memberi manfaat kepada orang lain.

Kalau ada yang membaca blog ini dalam kalangan ibu ayah yang anak-anaknya bakal menduduki UPKK, Fly High Education Center sudah buka pendaftaran kelas Oktober. Untuk UPKK ada beberapa pilihan kelas yang ibu ayah boleh pilih. Boleh tengok pada poster-poster bawah ni kelas-kelas sepanjang Oktober. Sempat lagi mendaftar sebab kelas bermula 6 Oktober.




Kalau berminat nak masuk kelas, boleh terus hubungi pada nombor-nombor pada poster. 

Tiada ulasan

Komen