Carian

Raya CovEid 2021

Raya lagi kita dengan Covid-19. Jadinya kita raya coveid lah ya. Selamat Hari Raya bagi semua yang membaca blog ini. Aku rasa masih belum terlambat kot nak ucapkan selamat hari raya. Maklumlah kita kat Malaysia memang sambut hari raya Aidilfitri sepanjang 30 hari Syawal. Hehe Ada yang dah habis Puasa Enam? Aku masih belum mula lagi. Wildan pun dah mula ajak puasa sekali walaupun sebenarnya puasa Ramadan tempoh hari dia tak cukup 30 hari.

Sebelum mula Ramadan lagi aku dah boleh agak yang tahun ini kita akan beraya sama seperti tahun lepas - raya tahun 2020. Memandangkan jumlah kes Covid-19 yang positif dari hari ke hari masih lagi dengan 4 angka. Bila vaksin sudah mula diberikan kepada frontliners dan fasa rakyat biasa sudahpun bermula, bilangan kes baharu setiap hari masih lagi mencecah 4 angka. Herd community untuk mencegah Covid-19 masih belum kuat. 

Walaupun kita semua boleh dikatakan beraya dalam keadaan PKP, tidak boleh ke mana-mana, aku tengok dalam timeline Facebook dan Instagram tidak kurang meriah seperti hari raya sebelum sebelum ini. Maklumlah ini sahaja cara untuk kita berkomunikasi dengan kawan-kawan dan sanak saudara yang ada.

raya covid-19 tahun 2021

Dengan keadaan berPKP, ada beberapa benda yang buatkan aku sedar tentang tradisi kita beraya di Malaysia. Ada juga tradisi yang biasa aku buat tetapi kini sudah dilupakan dek kerana perubahan zaman dan kehadiran teknologi. Aku tahu aku mungkin 'old school' mahupun 'sentimental' tetapi aku rasa hikmahnya PKP buatkan aku cipta tradisi yang aku akan terapkan dalam diri anak-anak tentang raya.

1. Menghias dan mengemas rumah untuk sambutan raya

Aku tak pasti secara sunnahnya ada atau tidak menghias rumah sempena raya tetapi semestinya mengemas rumah adalah sesuatu yang sangat dituntut dalam Islam. Sejak pertengahan Ramadan, aku memang ada terfikirkan untuk beli kad raya untuk anak-anak pos kepada atuk nenek yang berada di Terengganu. Selain terfikir nak hantar kad raya aku juga terfikir untuk hias rumah dengan dekorasi raya.

Seingat aku sebelum ada Facebook, Whatsaap dan sebagainya ini, aku seringkali hantar kad raya pada kawan-kawan. Dan kad raya yang kawan-kawan kirimkan ada juga yang digunakan sebagai hiasan. Ditampal pada dinding rumah.

raya corona covid-19 2021

So, tahun ni, walaupun tak sempat jumpa dengan kad raya, aku gunakan sampul duit raya yang ada untuk buasa sedikit hiasan sempena raya. Kurang-kurang anak nampak yang raya ini ada sambutan selain daripada berbaju cantik.

2. Membuat biskut raya sendiri

Aku tahu zaman sekarang, zaman serba nak cepat. Kuih raya pun kalau nak mudah memang buat kuih tunjuk sahaja. Namun, seingat memori aku sejak aku kenal bulan puasa, aku ingat mak aku bertungkus lumus buat biskut raya petang-petang. Malah aku jadi tukang tekap biskut raya. Nak pula zaman itu mak aku guna oven yang atas dapur tu! Haha. Memori sungguh la hai.

Dan sejak itu, setiap tahun memang wajib buat biskut raya sendiri. Hatta mak aku sibuk sangat, aku akan buat sendiri juga sebab buat biskut raya dalam bulan Ramadan adalah sesuatu yang bermakna. So, sejak tahun lepas memang aku akan ajak anak-anak buat kuih raya. Yang mudah mudah tak perlu bakar pun. Senang dan kurang risiko. Kalau aku buat sendiri, memang aku buat yang versi bakarlah.

biskut raya corona

Alhamdulillah untuk tahun ni dapat juga buat 3 jenis biskut raya walaupun aku mula masuk dapur untuk buat kuih 5 hari sebelum Raya. Hehe.

3. Berpakaian sebaiknya pada pagi raya.

Salah satu sunnah 1 Syawal ialah memakai pakaian yang terbaik. Pakaian yang terbaik bukan baru. Kalau perlu baru, belilah. Kalau mampu beli baru, dipersilakan. 

Tahun ini tahun kedua aku gunakan baju sedia ada sebagai raya. Salah satu sebab kenapa aku memilih untuk pakai baju yang sedia ada adalah aku ada banyak baju yang cantik cantik yang baru dipakai sekali atau dua sahaja. Aku pula badan tak banyak beza sejak 10 tahun yang lalu. Jadinya, baik pakai sahaja baju yang sedia ada. Anak-anak dan suami semestinya beli baju baru. Anak-anak memang setiap tahun dah naik satu atau dua saiz. Suami pula sejak PKP ni saiz baju dah bertukar abjad. So, kena cari yang selesa dipakailah.

4. Menikmati juadah raya seadanya

Aku rasa setiap tahun, dua hari raya yang pertama jadual makan akan berterabur. Sebab makanan raya sangat banyak. Ada lemang, ada ketupat, ada rendang, ada soto, ada sate, ada lontong, eh macam-macam lagi.

Walaupun raya tak boleh ke mana-mana, aku ada dua mak. Bermakna aku ada dua jenis rendang. Tak lupa juga ada mak cik yang duduk kurang 5 minit dari rumah. Tengahari raya pertama, makcik aku hantar makanan raya. Ada 3 jenis makanan berbeza kut. Bila ditambah dengan makanan raya yang kami masak sendiri, memang penuhlah dapur sebenarnya. Meriah juga walaupun tak ke mana-mana.

Dan disebabkan ada pelbagai pilihan makanan ni, mak aku memang ajar dari kecik yang hari raya ni kita menikmati makanan. Jangan banyak komplen atau memilih. Sebabnya orang lain tak merasa makanan seperti kita. Jadinya apa yang ada makanlah dan habiskan. Elakkan membazir.

Baca juga: Resepi Rendang Hitam

5. Menunaikan solat raya

Percaya atau tidak, sehingga aku berumur 12 tahun, aku ingatkan solat raya hanyalah untuk orang lelaki. Sebab bila aku balik kampung masa kecik-kecik dulu, pagi raya tu makcik-makcik semua sibuk dekat dapur menyiapkan makanan dan menyusun kuih dalam balang. Lepas tu orang lelaki akan pergi solat raya beramai-ramai. Masa aku belajar pasal solat raya terus aku tanya pada mak, dan tahun itulah tahun pertama aku merasakan sendiri pergi ke surau untuk solat raya.

Namun, dengan keadaan sekarang surau dan masjid dah buat bilangan jemaah yang dibenarkan untuk hadir bagi menunaikan solat sunat. Dan tahun lepas masing-masing sedia jelas akan cara menunaikan solat sunat raya di rumah. Maka, tahun ini kami solat secara berjemaah untuk solat sunat raya. Anak-anak aku ikut sekali dan secara tak langsung mereka belajar yang menyambut raya bukan sekadar baju cantik dan makan sedap. Ada ibadah sunnah juga.

Hikmah di sebalik 2 tahun berturut raya dalam PKP sebenarnya ada hikmahnya. Sebab dalam Islam sambutan Raya Aidilfitri sebenarnya hanyalah pada 1 Syawal. Perasan kan masing-masing masuk raya ketiga dan keempat sudah mula bekerja secara atas talian, terutama mereka yang dalam industri pemakanan.

Aku masih rindukan gaya raya sebelum wabak Covid-19 melanda. Pada masa yang sama aku jadi tertanya bila keadaan dah pulih nanti, kita kekok tak dengan saudara mara yang hampir 2 tahun tak berjumpa. Walaupun 2 tahun. tetapi norma baharu yang kita ada ni macam buatkan kita rasa lamanya lahai tak jumpa orang kampung.

Apa-apa pun aku harapkan semoga cepat-cepat negara kita kembali pulih. Tengok bilangan kes baru dan kematian mutakhir ni sangat membimbangkan. Buat yang kempunan nak pergi beraya, mohon bersabar dan janganlah langgar SOP ya. 

Terima kasih buat yang sudi baca entri raya walaupun raya tahun ni biasa sahaja. 

1 ulasan

  1. wah rajinnya buat kuih raya. Baru je start semalam puasa enam. Baru sehari. insyaAllah akan cuba habiskan sebelum syawal tamat.
    Happy CovEid!

    BalasPadam

Komen