Carian

4 Tips Ajar Anak Berpuasa Ramadan

Ramadan Tiba ~ Ramadan Tiba ~ Marhaban Ya Ramadan.

Alhamdulillah untuk tahun ini kita bertemu lagi dengan Ramadan. Mesti ramai yang memang tak sabar kan? Maklumlah tahun lepas kita berpuasa Ramadan bersama Covid-19 dan sampai ke hari raya masing-masing buat solat raya di rumah sendiri. Satu pengalaman baru kan? MasyaAllah.

Untuk tahun ini, rezeki kita semua dapatlah merasa bazar. Tahun lepas semua dah sakan masak macam-macam jenis resepi untuk berbuka kan? Tahun ini bazar dibuka semula dan solat terawih juga sudah dibenarkan. Merasalah aura terawih berbanding tahun lepas ya.

Bagi yang baru je jumpa blog ni, tahun lepas disebabkan pandemik Covid-19, rasanya dua pertiga Ramadan kami lalui tanpa anak sulung, Wildan. Kisahnya dia balik kampung beberapa sebelum PKP dimulakan pada bulan Mac 2020 dan akhirnya dia terkandas di sana sehinggalah kami datang ambil dia masa bulan Mei 2020. 

Dan tahun ini, Wildan sudahpun masuk darjah satu (7 tahun). Nak pula sekolah sudah berjalan seperti biasa, tipulah kalau tak risau sama ada boleh atau tidak dia berpuasa. Tahun lepas (2020) dia berpuasa dua pertiga Ramadan dengan nenek. Tak ada adiknya yang tak berpuasa. Tahun ini, dengan adik tak puasa, sekolah macam biasa. Fuh, berpeluh maknya berfikir apa cara nak bagi dia tak takut rasa lapar.

Sebenarnya tahun ketiga cubaan mendidik Wildan berpuasa penuh. Aku tak meletakkan harapan yang tinggi memandangkan Wildan masih kecil tetapi aku cuba galakkan dia untuk berpuasa dan merasakan nikmatnya berpuasa.

ajar anak puasa bulan ramadan

Tips ajar anak berpuasa yang aku akan kongsikan adalah lebih kepada dari pengalaman sendiri dan pemerhatian terhadap anak-anak. Aku tak jamin yang tips ini akan menjanjikan yang anak-anak akan boleh berpuasa macam kita orang dewasa, tetapi sekurang-kurangnya adalah idea apa cara nak tarik minat anak-anak untuk berpuasa.

Apa tips-tip untuk ajar anak berpuasa?

1. Buku tentang Ramadan.

Sejak anak-anak kecik lagi, memang aku ada satu buku khas bercerita pasal Ramadan. Impak yang diberikan oleh buku sebenarnya sangat besar terutama bila anak-anak dah pandai membaca dan teruja nak membaca buku. Dalam pasaran sekarang, ada banyak bahan bacaan tentang Ramadan yang sesuai dengan anak-anak. Buku-buku ini bagus untuk jangka masa panjang. Ulang baca setiap kali Ramadan datang sebagai ingatan tujuan dan matlamat kita berpuasa.

Wildan sekarang hampir setiap masa dia nak baca buku sebab dah pandai baca. So, seminggu ke dua minggu sebelum masuk Ramadan aku bagi dia tugasan untuk baca buku pasal berpuasa. Fahamkan dulu apa maksud berpuasa, cara berpuasa, larangan berpuasa. Dengan pembacaan buku sekurang-kurangnya anak-anak dapat gambaran dan pemahaman apa sebenarnya berpuasa dan cara perlaksanaannya. Ini memberikan persiapan mental untuk mereka lalui Ramadan.

Sekarang ni Wildan sangat suka baca komik. Aku pula terjumpa dengan buku komik Siri Bestnya. Siri Bestnya ada keluarkan buku Bestnya Puasa. Sebelum ni memang dah ada buku Bestnya Solat dan Bestnya Doa. Kira tambah koleksi komik Wildan lah. Dia siap tanya selain buku solat, doa dan puasa ada tak siri lain.

komik ajar anak berpuasa

Komik-komik ni korang boleh dapatkan di sini: KOMIK SIRI BESTNYA

2. Aktiviti Dalam Bulan Ramadan

Nak buat aktiviti perlukan bahan dan masa. Dari Wildan umur 2 tahun aku selalu buat aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan bulan Ramadan. Antaranya mewarna dan memasak untuk berbuka.

Zaman sekarang aku perasan ada baaaanyak e-buku atau pun buku-buku yang bagi idea buat aktiviti dengan anak-anak sepanjang Ramadan. Dan tadika anak-anak aku sendiri memang ada bagi satu buku Ramadan yang ada aktiviti untuk sepanjang Ramadan.

Kalau korang buntu nak buat aktiviti macam mana dengan anak-anak sepanjang Ramadan, korang boleh je buat aktiviti berkaitan pendidikan islam. Tak perlu pun sepanjang Ramadan ceritanya Ramadan sahaja. Kita juga tak lah banyak pengetahuan tentang Ramadan.

Contohnya, masa Wildan 4 tahun dulu, aku buat satu minggu satu rukun Islam. Kira minggu pertama aku ajarkan dia tentang 5 rukun Islam. Maknanya sepanjang Ramadan aku ajarkan Wildan tentang Rukun Islam. Korang boleh variasikan mengikut apa yang korang boleh ajarkan pada anak-anak.

Tahun ini, aku belikan Wildan satu Jurnal Ramadan terus. Jurnal ni sesuai untuk anak-anak berusia 6 hingga 9 tahun. Senang sikit dengan Jurnal ni sebab dah ada aktiviti setiap hari. Selain dapat belajar tentang Ramadan, dapat juga luangkan masa lupa tentang perut yang lapar.

jurnal ramadan untuk kanak-kanak

(Jurnal Ramadan ini sebenarnya keluaran untuk tahun 2021. Kalau nak cari, boleh cari 'Jurnal Ramadan' di Shopee atau Lazada).

3. Ajarkan anak ganjaran jangka masa panjang.

Benda ini aku baru praktikkan. Wildan baru masuk darjah satu dan baru mula nak serius berpuasa. Aku bagi dia pilihan.

  1. Puasa setengah hari: makan apa yang ada di rumah.
  2. Puasa sepenuhnya: aku belikan kuih pilihan dia untuk berbuka.

Kemudian, aku bagi dia pilih. Aku tak paksa mana-mana pilihan. Selepas 10 minit, dia buat keputusan untuk berpuasa. Aku tanya sampai 3 kali dan dia tekad nak puasa. Ada juga hari yang dia mengalah. Dia rela makan sahaja tanpa meminta sebab tak tahan. Itu tak apa. Pilihan di tangan dia. Dia yang kena fikirkan sendiri.

Benda ni juga sebenarnya memupuk anak-anak tentang konsep dosa dan pahala. Sebagai seorang Muslim, kita semua percaya adanya perhitungan dosa dan pahala serta balasan neraka dan ganjaran syurga. Sebenarnya konsep puasa ni nak bagi anak-anak faham yang dalam Islam, kita akan diberi ganjaran dalam bentuk jangka masa panjang.

4. Ajarkan anak urus penat dan lelah sepanjang berpuasa

Bila Wildan kata dia nak puasa, aku pun bagitahu dia cara-cara untuk dia uruskan diri bila dia rasa penat atau lelah masa kat sekolah. Aku bagitahu dia untuk cuci muka dan basahkan sedikit kepala. Maklumlah sekolah tengahari ni mencabar dengan cuaca yang panas terik. Silap hari bulan boleh kena heat stroke. Dahlah dengan penat sekolah dari pagi sampai ke petang. Uish. 

Selain daripada pesan bagaimana nak kurangkan penat dan lelah, aku pesan juga supaya dia cepat cepat maklumkan pada guru jika dia memang tak larat. Cuma setakat dia pergi sekolah, dia tak pernah lagi bagitahu cikgu untuk berbuka. Biasanya bertahan sampai ke rumah tetapi bila dah sampai rumah, nampak pula adik sedap mengunyah di dapur, mulalah dia goyah. 


ajar anak puasa bulan ramadan

Setakat ini, itulah dia 4 tips ajar anak berpuasa. Dan ikutkan Wildan belum ada hari yang dia berjaya penuh dari Subuh ke Maghrib. Pasti kecundang sama ada waktu Zohor atau lagi sejam nak berbuka. Aku tak kisah sangat sebab dia berjaya tahan selama itu pun satu kejayaan.

Aku dulu start berpuasa sejak umur 5 tahun, itupun tak penuh 30 hari. Aku rasa aku mula puasa penuh umur 7 tahun juga. Rasanyalah aku pun tak ingat sangat. Yang aku ingat, aku enjoy buat biskut raya petang-petang dengan mak. Dan sahur paling gempak masa kecik dulu adalah koko crunch dengan susu. Dengan sahur itu aku boleh bertahan dari Subuh sampai Maghrib, aku rasa kira powerlah juga. 

Mak aku dari kecik dia tak paksa puasa pun. Dia cuma bagitahu yang puasa ni banyak ganjaran yang kita dapat. Dan aku gunakan approach yang sama dia buat pada anak-anak juga. 

ajar anak puasa bulan ramadan


Buat ibu-ibu yang baru nak ajar anak berpuasa, jangan stress stress tau kalau anak tak larat. Itu normal. Yang penting anak ada memori yang indah-indah tentang Ramadan yang buatkan mereka menantikan Ramadan dengan penuh keterujaan. Biar mereka faham erti Ramadan berbanding rasa terpaksa.

Terima kasih sudi baca dan semoga bermanfaat!

Baca: Amalan Zikir Anak Menghadapi Peperiksaan

Tiada ulasan

Komen