Carian

Hari Pertama Tahun 1 Sesi 2021

 Assalamualaikum dan hai!

Wah, dah seminggu rupanya sekolah untuk anak-anak tahun 1 bermula. Bagi yang memang rajin membaca blog ni, pastinya korang tahukan, anak sulung aku tahun ni (2021) masuk tahun 1. Ayat biasa orang cakap 'rasa macam semalam kecik je'. Tapi itulah hakikatnya. Dari lahir kita jaga dan besarkan, dan kali ini dia akan menghadap realiti sendirian.

Setakat seminggu sekolah ni, tak banyak cerita sangat pun. Tapi boleh lah nak kongsikan dan coretkan sebagai satu memori bersekolah pada musim pandemik Covid-19. Maklumlah, disebabkan pandemik dan PKP, norma kita tidak lagi sama seperti dahulu. Nak masuk sekolah pun SOP bukan main panjang. Kira sesi persekolahan tahun 2021 mungkin menjadi sebahagian sejarah sebagaimana sesi persekolahan 2020 yang menjadi kenangan kita semua.

Jomlah aku kongsikan apa peristiwa-peristiwa menarik yang berlaku pada minggu pertama persekolahan bagi sesi tahun 2021.

Aku hantar Wildan sekolah agama pada sebelah pagi dan sekolah kebangsaan pada sebelah petang. 

Kelas pagi bermula jam 7.40 pagi. Wildan memang dah tahu yang dia akan sekolah pagi. Dia siap pesan untuk kejutkan dia jam 6 pagi. Uish, semangat bangun pagi hari tu memang lain macam. Senang nak kejut dia. Tanya je nak pergi sekolah ke tak, terus dia bangun dan masuk tandas. Dalam masa seminggu ni, masuk hari ketiga keempat (Rabuh, Khamis) semangat dia mula mendatar. Haha. Penat agaknya sebab pertama kali sekolah dari pagi sampai petang. Tadika dulu kan sampai tengahari je.

Memandangkan kita masih lagi berdepan dengan situasi Covid-19 dan PKP, pihak sekolah dah bagitahu dari awal bahawa ibu bapa tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah pada hari pertama. Memang sampai pagar sekolah dan selebihnya pihak sekolah yang akan uruskan. Cikgu pun ada stesen-stesen, ada yang jadi 'tembak' anak-anak murid untuk check suhu. Ada yang check murid ni pergi kelas mana. 

Bagi ibu bapa yang anak masuk tahun 1, memang sedikit risau sebab memang hantar anak depan pagar sahaja. Kami sebagai mak ayah bukan risau apa. Risau dengan anak tak tahu kelas kat mana, tandas kat mana, nak sesuaikan diri dengan suasana baru, tak tahu jumpa kawan lama ke tidak. Tak lupa juga masuk tahun 1 nilah bermulanya pendidikan secara tak langsung tentang kewangan. Dapat pegang duit belanja. Haaa, aku dulu belanja RM2. Baki RM1 masuk tabung. Apalah yang aku beli pagi petang dengan RM1 tu eh? Haha.

Selain risau tentang bagaimana anak-anak nak urus diri di tempat baru, mak ayah juga nak berkenalan dengan mak ayah kawan-kawan anak dia kan. Maklumlah hari pertama tulah boleh kenal siapa anak siapa. Kalau ada rezeki jumpa balik kawan lama. Ini sekarang, mak ayah siapa yang mana satu pun kita tak tahu. Tengok nombor dan profile picture dalam Whatsapp je. 

Sesi pagi Wildan habis jam 10.40 pagi. Masa datang nak jemput dia, masyaAllah manusia sangat ramai. Maklumlah hari pertama sekolah. Memang mak ayah semua turun padang. Yang mana memang jemput sendiri, yang mana upah van untuk hantar anak balik rumah. Hari pertama, memang mak ayah akan kenalkan dulu anak-anak dengan van yang mereka patut naik. Berderet kot van. Berbeza dengan zaman aku, van sekolah tidak banyak macam sekarang.

Sampai je kat rumah, aku sempat masak dan sediakan bekal untuk Wildan. Dalam kalut-kalut tu tak sedar masa berlalu, tengok jam dah dekat pukul 12. Nak kena keluar balik pergi jemput Mukhlis dari tadika pula. Untuk makluman, tadika mula beroperasi sejak 20 Januari lagi, so rutin Mukhlis ni bukanlah rutin baru. Kira tak lah terasa penat mana.

Sebenarnya part yang paling kelam kabut adalah, antara selepas ambil Mukhlis dan nak hantar Wildan sekolah sebab aku cuma ada jarak masa dalam 45 minit untuk pastikan Wildan makan tengahari dan siap untuk ke sekolah kebangsaan. Sesi sekolah kebangsaan bermula jam 1.15 tengahari. Sebaiknya sampailah sekolah jam 1 tengahari. 

Hari pertama okay lagi, sampai dalam pukul 1. Hari kedua dah mula kelam kabut. Hari ketiga, cikgu sekolah pesan kat aku 'esok hantar anak jam 1 ya, puan'. Rupanya hari Rabu tu aku sampai jam 1.17 tengahari. Kalau ada pengawas, memang sah nama Wildan akan dicatat. Mentang-mentang rumah dekat dengan sekolah. 

Sepanjang seminggu persekolahan ni, aku rasa hari pertama paling serabut. Mungkin sebab pihak sekolah masih belum dapat mengagak cara pengurusan anak-anak dan mak ayah semuanya ramai yang risaukan keadaan anak-anak.

Tahu tak, hari pertama sekolah aku keluar awal 30 minit dari rumah. Padahal sekolah cuma jarak 5 minit. Itu pun, aku tengok manusia sikit punya ramai. Manusia ramai dah satu masalah, depan sekolah sampai jadi jem. Memang jem, kereta tak bergerak tau! 

Melihatkan ramainya manusia dekat tempat menunggu, aku tak berani nak datang dekat. Maka aku pun tunggulah dari jauh. Ramai juga yang tak mendekati pondok menunggu. Serius masa ni dalam hati aku macam rasa tak puas hati. Sebabnya aku tengok ada kalangan mak ayah ni macam lupa SOP. Dekat pondok menunggu tu, walaupun mak ayah berdiri dari jauh tapi dalam keramaian manusia, dengan tak jaga jaraknya, uish seram.

Selepas hampir 30 minit tunggu aku dengar pula cikgu sekolah sebut 'Sekarang Tahun 2'. Dengan je dia sebut tahun 2, aku terus terfikir, mana anak aku. Aku pun tunggu orang kat pondok menunggu berkurang baru datang dekat. Aku ni bukannya tinggi, jadi kena jengket jengket nak tengok anak ada ke tak. Nampaklah kelibat Wildan. Muka dia monyok. Dia tak kenal sangat kawan, so dia memang diam tak bercakap apa.

Wildan datang je kat aku, aku tanya berapa lama dah dia tunggu. Rupanya memang dah 30 minitlah dia menunggu.

Malam tu, dalam group whatsapp ibu bapa tahun 1, ramai yang bising dengan apa yang berlaku petang tadi. Dengan keadaan traffic sangat teruk dan SOP yang tidak dipatuhi. Semua jadi risau sebab kita masih belum bebas pandemik malah masih sedang berlawan dengan pandemik ni. Dan atas komen-komen yang diberikan, pihak sekolah buat satu aliran pergerakan untuk anak-anak keluar dan kurangkan kesesakan mak ayah. Alhamdulillah satu inisiatif dan buah fikiran yang bagus. Jadi aku taklah lama menunggu dan Wildan taklah kecewa mak sampai lambat.

Sepanjang seminggu persekolahan ni, aku masih mencari jalan supaya sistem aku menjemput Wildan menjadi lancar. Jenuh juga nak parking jauh dari sekolah dan pergi ambil Wildan depan pagar. Dekat sekolah agama, aku pesan siap-siap supaya Wildan menunggu di pondok menunggu van. Mudah. Dekat sekolah kebangsaan aku nak suruh dia tunggu dekat pondok jaga, tapi buat masa sekarang cikgu dah buat satu ailran pergerakan. So, memang kena parking jauh dan berjalan jemput Wildan.

Minggu depan anak-anak darjah 3 pula masuk. Aku rasa minggu depan lebih kurang macam minggu pertama sebab darjah 3 baru nak masuk sekolah berbanding darjah 1 dan darjah 2 yang sudah mula adapt dan tahu pergerakan dan pergaulan di sekolah.

Haaa, gitulah pengalaman minggu pertama sekolah anak darjah satu dalam suasana pandemik dan PKP. Kita tengok pula minggu kedua bagaimana dengan pertambahan bilangan pelajar.

Korang yang membaca ni, ada anak yang baru masuk darjah 1?
So far macam mana sekolah, okay tak?

Apa-apapun terima kasih kerana sudi baca dan jangan segan-segan untuk bagi komen. Nak bagi tips untuk ibu pertama kali anak sekolah pun boleh. Sis masih belajar dan cuba untuk survive dalam parenting. 


Tiada ulasan

Komen