Carian

Kes Covid di Sekolah Tempat Anak Belajar

 Assalamualaikum dan hai!

Sejak sekolah mula beroperasi, aku rasa kes baru pesakit Covid melibatkan pelajar sekolah semakin meningkat. Dan sebenarnya sekolah yang Wildan pergi juga tidak terkecuali. Maklumlah kami ni duduk di sempadan Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebenarnya masa minggu kedua sekolah mula beroperasi, pada bulan Mac 2021, memang sekolah kebangsaan yang berdekatan sudah memaklumkan ada pelajar yang disahkan positif dan pihak sekolah berkenaan sudah mengambil langkah berjaga-jaga serta memaklumkan kepada sekolah-sekolah yang bedekatan.

Ketika kes positif di sekolah tersebut, aku cuma risaukan kalau-kalau pelajar yang dijangkiti Covid tu sekolah agama di sekolah agama tempat Wildan belajar. Namun pihak sekolah agama menafikan dan memang dibutikan bahawa pelajar terbabit tidak berkait dengan sekolah agama. Masa ni, aku cuma ambil langkah berjaga-jaga dengan sediakan wet tissue antibacterial dan hand sanitizer kepada Wildan.

Selepas sebulan lebih, pada tarikh 19 April 2021, digemparkan pula sekolah kebangsaan tempat Wildan bersekolah ada kes pelajar positif Covid. Dalam group whatsapp bertubi-tubi soalan ibu bapa ajukan kepada pihak sekolah supaya masing-masing dapat buat keputusan tentang kehadiran anak ke sekolah.

Nak dijadikan cerita, walaupun pelajar yang disahkan positif Covid adalah pelajar Tahap 2 yang hadir ke sekolah pada sesi pagi, anak-anak Tahap 1 berkongsi kelas dengan anak-anak Tahap 2 pada sebelah petang. Malahan pula pelajar yang dijangkiti adalah pelajar yang menggunakan kelas sebelah kelas Wildan! Sudah semestinya mereka guna tangga, koridor dan tandas yang sama.

Aku rasa hampir separuh ibu bapa dalan group kelas Whatsapp memaklumkan bahawa mereka akan cutikan anak-anak mereka selama seminggu dan aku tidak terkecuali. Cuma aku tidaklah ambil cuti sampai seminggu. Aku tunggu surat rasmi dari pihak sekolah memaklumkan situasi dan SOP terkini sebelum mula hantar Wildan ke sekolah semula.

Pada 20 April 2021, pihak sekolah keluarkan surat rasmi memaklumkan bahawa kelas yang mempunyai kontak rapat dengan pelajar yang dijangkiti akan mengambil ujian swab oleh pihak Klinik Kesihatan dan mereka tidak akan hadir ke sekolah sehingga tamat tempoh kuarantin kendiri di rumah masing-masing. Sekolah juga memaklumkan sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes pelajar dijangkiti, mereka melakukan proses sanitasi sekolah setiap kali habis sesi pembelajaran. 

Bila pihak sekolah dah keluar surat dan memaklumkan situasi semasa, barulah aku yakin nak hantar semula Wildan ke sekolah. Itupun dengan langkah berjaga-jagalah. Memang risau tetapi aku yakin pihak sekolah juga telah berbuat sehabis baik bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pelajar-pelajar.

Dan minggu ini (26 April 2021) , aku dimaklumkan bahawa sekolah kebangsaan ditutup selama 2 hari atas arahan Jabatan Pendidikan Negeri. Kami juga dimaklumkan oleh pihak sekolah bahawa anak-anak yang mangambil ujian swab semuanya negatif tetapi masih perlu menjalankan kuarantin kendiri sehingga tamat. Alhamdulillah.

Alang-alang bercerita pasal sekolah anak ada kes Covid, aku kongsikan sikit apa langkah-langkah yang aku buat untuk jadi yakin hantar anak ke sekolah.

1. Soal selidik dengan guru atau pihak sekolah berkenaan pelajar yang dijangkiti serta kontak rapat mereka

Soal selidik ni maksudnya tanyalah kelas pelajar tu di mana bila dapat tahu dan berpunca dari mana. Selain tu tanyalah juga dia sekolah sesi pagi atau petang di mana. Manalah tahu rupanya sesi pagi dan petang dia sama dengan anak kita.

Selain tu, ken juga tanya pasal kontak rapat pelajar yang dijangkiti. Dalam kes sekolah ni, satu kelas dia sebab mereka dah duduk bersama hampir setiap hari untuk menjalani sesi pembelajaran. Memang pada tarikh sekolah umum ada pelajar yang positif Covid, sekolah juga umumkan satu kelas tersebut dicutikan dan perlu mengambil ujian swab. Anak-anak ini kena kuarantin kendiri di rumah.

2. Tanyakan langkah-langkah keselamatan pihak sekolah

Masa mula-mula kecoh berita ada pelajar positif Covid, memang ada parents yang tanya dalam group sama ada sekolah ada buat sanitasi atau tidak. Siap ada yang minta tarikh. Ini semua nampak macam alahai mengadanya nak ambil tahu tapi bagi aku maklumat tarikh sanitasi dan kekerapan sanitasi dilakukan adalah sangat penting untuk kita buat keputusan sama ada selamat atau tidak untuk anak kita datang sekolah.

3. Tunggu surat atau pengumuman rasmi pihak sekolah

Aku jenis suka pengumuman dalam bentuk surat dari pihak sekolah. Tidak kiralah dalam bentuk PDF ke gambar ke, maklumat yang ada logo sekolah serta ditandatangani oleh pentadbir sekolah lebih tepat berbanding maklumat yang disampaikan dalam group yang kita tahu sama ada dia cikgu atau ibubapa. Dalam group whatsapp ada semua mak ayah, tak sempat juga kita nak save satu satu nombor, kan? 

4. Sediakan wet tissue jenis antibacterial dan juga hand sanitizer kepada anak

Bila kita dah yakin untuk hantar semula anak ke sekolah, kita kena sediakan 'perisai' supaya anak-anak dapat jaga diri mereka. Sebenarnya wet tissue dan juga hand sanitizer ni memang pihak sekolah dah inform untuk ibu bapa sediakan sebelum sekolah dibuka pada 1 Mac tempoh hari lagi. Sebagai peringatan juga untuk kita beringat bahawa dua benda ni penting sebagai langkah pencegahan.

Sejak pandemik ni melanda, pendidikan anak-anak menjadi satu perjudian. Tak semua orang mampu untuk homeschool anak sendiri. Aku adalah salah satu daripadanya. Aku boleh buat homeschool secara separuh masa sebab aku sendiri ada komitmen pada Master degree aku, pada business kecil-kecilan aku. Tak lupa juga anak-anak juga tak semuanya boleh belajar dengan mak ayah sendiri, masih perlukan campur tangan orang luar, cikgu atau pendidik yang lebih pakar untuk mengajar mereka.

Masa aku nak cutikan Wildan sebab ada kes tempoh hari memang aku berbelah bagi juga. Tapi aku fikir keselamatan dan kesihatan dia. Itu yang penting dulu. Pastikan dia sihat dan selamat. InsyaAllah untuk pendidikan ni, Wildan ni jenis boleh belajar sendiri. Setakat kerja sekolah dua hari tertinggal aku rasa tak ada masalah. Kalau dia sakit. lagi susah untuk dia belajar. So, memang aku utamakan keselamatan dia dulu.

Aku perasan akhir-akhir ni kes Covid dari sekolah sudah mula meningkat. Malah ada kluster pusat pendidikan setempat berdekatan dengan rumah aku. Huhu. Aku tak nak tunding jari pada sesiapa sebab masalah takkan selesai. Yang penting kita semua kena jalankan tanggungjawab kita patuhi SOP dan amalkan norma baru dengan sebaiknya.

Korang yang ada anak sekolah macam mana setakat hari ni? Masih selamat?

Aku harap cepatlah berakhir pandemik dan semoga kita semua dilindungi dan diberikan kesihatan yang baik.


Terima kasih sudi baca!



Tiada ulasan

Komen