Carian

Drama Review: Perempuan Tanpa Dosa

Aku rasa sebenarnya agak lewat aku update pasal drama kali ini memandangkan drama ni dah hampir seminggu tamat. Aku jarang nak update cerita drama Melayu melainkan aku memang puas hati dengan jalan cerita dan pengajaran yang ada dalam cerita tu. So, seperti yang tertera dekat tajuk, aku nak ceritakan pasal drama dari Astro, Perempuan Tanpa Dosa, lakonan hebat oleh Kamal Adli, Uqasha Senrose, Uyaina Arshad dan Yusuf Bahrin.

Pada awalnya aku memang tak tahu pasal kewujudan cerita ni. Malam-malam aku mana tengok TV sebenarnya. Siang hari pun anak-anak tengok TV dalam 2 ke 3 jam sahaja. Bila aku tengok TV? Entahlah. Aku pun tak tahu. Drama Perempuan Tanpa Dosa ni jadi tertengok sebab ayah aku. Ada satu hari dia tengah tengok, dia ajak sekali kami layan. Dia kata cerita ni menarik perhatian dia. Mengenali ayah aku yang juga jarang nak layan drama, aku pun tengok. Masa tu dah masuk episod 5 ke 6 kot. Tapi masa tu tak mula layan lagi. Tak silap aku mula serius layan masa dah masuk episod 12 atau 14 kot. Dah jauh ke belakang.

Tujuan aku menulis entri kali ini bukanlah nak cerita betapa bestnya cerita drama Perempuan Tanpa Dosa tetapi lebih kepada nak ulaskan apa pengajaraan yang aku dapat dari drama ni. Drama ni memang boleh buatkan orang jadi macam bising depan TV sebab perubahan watak yang sama macam dalam realiti buatkan kita jadi geram. Yang jahat, jahat sangat. Yang jahil, memang jahil. Yang baik, kejap baik kejap tidak. Banyaklah ragam manusia dalam drama ni.

review drama perempuan tanpa dosa

So apa sebenarnya yang aku nak ulaskan daripada cerita Perempuan Tanpa Dosa ni?

1. Manusia jahil masih wujud.

Ini antara fakta yang kita semua selalu nafikan. Kita selalu rasa semua orang tahu apa yang kita tahu. Kemudian kita buat judgement. Menghukum atas kejahilan si pelaku.

Dalam cerita ni watak ni dibawa oleh Lily. Heroin kepada cerita ni. Seorang perempuan yang dibesarkan oleh ayah tanpa seorang ibu. Malangnya, dia tidak merasakan kasih sayang si ayah. Bukan itu sahaja, selok belok agama pun dia tak tahu sangat sebab langsung tidak diberi ilmu tentang agama oleh ayah dia. Lebih teruk, contoh yang ayah dia tunjuk langsung tak ada contoh-contoh berlandaskan agama.

Sampai pertengahan drama, aku memang rasa kesian sangat kat Lily. Terlalu banyak hal agama yang dia tak tahu. Rezeki dia kahwin dengan Rizal (walaupun terpaksa) dia belajar hal agama: solat, ambil wudhu, mengaji. Dia belajar dari asas dengan sungguh-sungguh.

Percaya tak percaya orang macam Lily ni memang ada dalam dunia kita sekarang. Di sekeliling kita ni, memang ada. Cuma kita taknak akui atau pun kita tak pernah jumpa je.

2. Sejahat mana seorang ayah, dia tetap ayah

Ini kisah Dato' Majid. Ayah kepada Lily. Dia memang jahat. Dalam cerita ni jahat ni memang ya Allah, geram juga awal-awal tu. Kaki manipulasi, kaki arak, kaki rasuah. Dan banyaklah kejahatan Dato' Majid ni kalau nak disenaraikan dalam ni. Pendek kata, dialah watak punca cerita ni jadi drama panjang.

Walaupun ayah dia macam tu, Lily ni tetap sayangkan ayah dia. Sayang sangat-sangat. Walaupun ayah dia tak pernah sekali pun cakap baik-baik, tak pernah layan dia baik-baik. Lily asyik kena marah, kena tengking je dengan ayah dia. Tapi dia tetap sayang. Bila ayah dia kena kutuk, dia tetap rasa marah dan nak lindungi ayah dia. Dia tahu ayah dia jahat, tapi dia cakap "Dia tetap ayah I".

Pengajaran besar buat semua orang sebenarnya. Tanpa ayah, tanpa ibu, kita tak lahir. Kasih sayang yang Lily pamerkan dalam drama ni nak ajar yang kita kena sayang juga pada mak ayah kita walaupun mereka jahat. Dan pada masa yang sama doakan untuk mereka. Ini yang Lily buat selepas ayah dia meninggal. Dia minta orang ajarkan sesuatu supaya dia boleh tolong ayah dia yang dah meninggal. Sedih sebenarnya babak ni, sebab walaupun ayah dia tak pernah baik dengan dia, tetapi dia tetap sayangkan ayah dan dia nak sangat sangat tolong ayah dia.

3. Sebaik-baik manusia, sekeping hati tetap boleh berbolak balik

Antara watak yang aku paling kesian adalah watak Usu Sakinah. Serius sedih sangat tengok watak dia. Dahlah sebatang kara, tinggal dengan mak angkat, mak angkat meninggal, nak kahwin dengan abang angkat tak jadi.

Usu ni wataknya seorang yang alim. Ramai lah jejaka kampung yang berkenan dia. Awal drama, mak angkat dia nak kahwinkan dia dengan abang angkat dia, Rizal. Ada sesuatu yang berlaku, Rizal pergi KL, kena pula kahwin dengan Lily! Kenapa boleh jadi berbelit macam ni? Kalau belum tengok, sila tengok

Lepas dia kata dia redha dengan perkahwinan Lily dan Rizal, entah macam mana hati dia macam taknak lepaskan. Dia jadi kasar dengan Lily, dia siap pasang cita-cita nak jadi isteri kedua dengan memburukkan Lily pada Rizal.

Penghujungnya dia sedar kesilapan dia dan dia memang move on. 

Tapi pengajaran kat sini ialah, semua orang ada masa turun naiknya. Hatta yang paling baik sekali. Sebab kita semua manusia biasa. So, bila kita tahu ada orang yang baik buat salah atau kesilapan kecil, jangan terus menghukum. Sedarlah, dia juga manusia. Bukan malaikat. 

4. Orang sudah pergi, jangan diungkit kesalahan/dosa dia.

Ini yang berlaku pada Dato' Majid lepas dia meninggal. Sebelum dia meninggal dia sempat bertaubat dan berbaik dengan Lily. Tapi sebab kejahatan Dato' Majid dah diketahui satu dunia, ada yang bercerita membawang kisah dia. Lily terdengar pula orang bercerita yang tak baik tentang ayah dia.

Salah satu dialog yang Lily cakap "Korang semua ni memang akan masuk syurga, kan?" buatkan aku rasa tersentak. Satu pengajaran yang kita selalu lupa. Betul, si mati ada dosa dan kesalahan. Tapi tugas menghukum bukan tugas kita. Ambil pengajaran dari hidup dia dan jangan ungkit dosa dia. Itu urusan dia dengan Tuhan.

5. Orang perempuan, kalau dicantikkan akhlaknya, akan jadi Perempuan Tanpa Dosa

Haaaa, disinilah yang sebenarnya datang tajuk Perempuan Tanpa Dosa. Satu bait kata-kata Rizal pada Dato' Majid masa Dato' Majid mengherdik anak sendiri, Lily. Dan disebabkan ayat inilah yang membuatkan Rizal terperangkap kena paksa kahwin dengan Lily. Gitu lah lebih kurang.

Sebenarnya sepanjang aku tengok cerita ni, banyak lagi pengajaran yang aku dapat. Bagus drama dari Micheal Ang kali ni. Banyak intipati dan tamparan. Bagi yang belum tengok, bolehlah tengok. Boleh tahan juga jalan cerita dia.

Setakat itu sahaja pasal drama Perempuan Tanpa Dosa.

Ada yang layan tak drama ni?
Macam mana perasaan korang sepanjang tengok drama ni?
Turun naik tak? Hehe.

Kalau sudi, sharelah sikit apa yang korang dapat dari drama ni.

Terima kasih sudi baca!


Baca juga: Menjelang Magrib

Tiada ulasan

Komen