Carian

Latihan stimulasi anak bercakap

Assalamualaikum dan hai!

Baca tajuk pun dah tahu hari ni aku nak cerita pasal apa. Bab masalah lambat percakapan ni sebenarnya kerisauan kebanyakan ibu bapa. Sebab bercakap adalah satu elemen paling penting dalam komunikasi. Kalau proses komunikasi tak berjalan dengan baik, susah nak sampai maklumat dan dua dua pihak (yang bercakap dan yang mendengar) akan cepat kecewa.

Bila ada anak, masa anak boleh bercakap adalah saat yang paling bahagia. Walaupun bila anak tu jadi non stop bercakap, kita rasa bersyukur sebab anak kita boleh luahkan apa yang dia nak. Nak makan apa, nak minum apa, nak pergi mana dan banyak lagi.

Masa Wildan dulu, lebih kurang dua bulan sebelum dia masuk 2 tahun, dia dah boleh bercakap. Masa dia dapat adik (2 tahun 5 bulan) dia boleh express dia sayang adik, boleh panggil nama adik walaupun pelat. Bila Mukhlis membesar, aku ingatkan proses akan sama juga. Tapi, masuk 2 tahun satu perkataan pun tak pernah dengar. Masuk 2 tahun 5 bulan, dia jadi cepat marah sebab apa dia nak semua orang tak faham.
latihan untuk anak bercakap



Hujung bulan Mei 2019 hari tu, aku ada bawa Mukhlis ke Klinik Audiologi UKM di Kuala Lumpur. Aku bawa Mukhlis ke sana sebab bulan Oktober ni dia akan masuk 3 tahun dan masih belum ada satu perkataan yang jelas dia boleh sebut. Malahan, kami sekeluarga susah nak faham kehendak dia sebab dia banyak tunjuk dari cakap. Lama-lama dia stress, kitorang pun stress.

Sebenarnya, masa dia genap 2 tahun (Oktober 2018) aku terasa macam milestone bercakap dia lambat. Bila bagitahu suami, dia kata insyaAllah lambat laun dia akan cakaplah. Lain budak, lain perkembangan. Aku pun sabar dan teruskan buat aktiviti stimulasi dengan Mukhlis.

Bila sampai bulan Mac 2019, aku rasa sangat tak kena. Hampir setiap hari aku google milestone percakapan untuk budak sebaya Mukhlis dan buat checklist untuk kenalpasti dekat mana lagi Mukhlis ni lambat. Semua perkembangan seiring dengan umur dia KECUALI bercakap. Ikut teori, baya Mukhlis (2 tahun lebih) dah boleh gabungkan dua perkataan. Masalahnya Mukhlis satu perkataan pun tak dengar. Asyik menunding jari je.

Sebelum dia masuk 2 tahun lagi aku dah banyakkan aktiviti stimulasi percakapan dan aktiviti untuk kemahiran motor oral (oral motor skill) Mukhlis sebab terasa dia kurang bersuara. Antaranya ialah bermain buih. Aku ada tulis tentang kebaikan bermain buih untuk anak-anak dalam blog ni. Boleh rujuk pada entri >>>Kelebihan bermain buih untuk anak<<<

latihan untuk anak bercakap

Bercerita semua benda memang habit aku. Aktiviti harian kitorang, sambil mandikan dia, sambil pakaikan baju, sambil main. Baca buku pada Mukhlis. Wildan pun banyak juga lah berkomunikasi dengan adiknya. Itu pun kadang-kadang Wildan pun kecewa sebab susah nak faham adiknya yang asyik keluarkan bunyi 'aaa' , 'miii' , 'baa' je. Sampai pernah dia cakap kenapa adik tak cakap. Huhu.

Masuk hujung bulan Mac 2019, Ummi aku jumpa pasal program di Klinik Audiologi UKM. Dia bagi nombor klinik dan aku pun buat panggilan. Aku buat panggilan dalam tengah bulan April. Sayangnya mereka tak buka pendaftaran. Semua pendaftaran mesti dibuat pada 1 haribulan setiap bulan. Jadinya, untuk buat pendaftaran aku kena telefon balik 2 Mei nanti. Dan biasanya, lepas pendaftaran, nama kita akan masuk dalam senarai menunggu (waiting list) selama dalam 3-6 bulan. Nanti pihak klinik yang akan call.

Aku dah redha kalau kena tunggu sampai Mukhlis 3 tahun baru dapat jumpa pakar. Sebab tindakan kitorang pun lambat. So, 2 Mei tu aku telefon tanpa sebarang harapan. Bila telefon, terus diaorang bagitahu ada kosong untuk sesi saringan (screening session) hujung bulan Mei tu. Memang aku terus pilih tarikh dan waktu untuk bawa Mukhlis. Yelah, sesi saringan seterusnya bulan September/Oktober pula. Nak tak nak, aku kena cari jalan untuk lapangkan masa ke sana.

Pada hari saringan (31 Mei 2019), clinician temuduga kitorang yang ibu bapa dulu. Bertanya apa concern kami, kenapa terdetik nak datang buat saringan, pernah tak check tempat lain. Ada juga dia tanya kalau ada keturunan yang ada masalah percakapan. Macam aku, adik aku memang OKU dan ada beberapa masalah lain antaranya 'speech delay'.

latihan untuk anak bercakap

Lepas dah temuduga kitorang, dia assess Mukhlis dengan cara bermain dan berkomunikasi. Dia tanya soalan, minta barang, bagi puzzle, minta Mukhlis sebut. Kitaorang tak boleh campur tangan, tengok sahaja. Kira sepenuhnya dia berkomunikasi dengan Mukhlis. Memang masa ni sangat ketara Mukhlis punya butir ayat "aaa", "te", "mii", "naa", "baa" je kedengaran. Barang semua satu bunyi je dia bagi. Tapi semua jawapan, betul. Mana warna biru, mana warna kuning, tolong ambilkan sudu. Semua dia bagi barang yang betul. Ajak kemas pun dia tak ada masalah. Dia pun macam enjoy je sebab dapat mainan. Haha.

Hasil saringan tu, clinician bagitahu apa yang kami sebagai ibu bapa boleh buat di rumah untuk terus bagi sokongan dan bantuan untuk Mukhlis bercakap. Kalau ikut checklist, milestone pertuturan Mukhlis bermasalah dari sudut expressive ataupun luahan. Mukhlis sangat bagus dalam mendengar arahan, memahami soalan dan memberi respon. Cuma bila sampai masa dia kena cakap, apa yang keluar kita pun tak faham. Itu sahaja. Walaupun satu je masalah, inilah yang stress sebab bila kita tak faham, dia frust dan jadinya mengamuk.

Selang sebulan lepas saringan pertama, kami dipanggil untuk saringan kedua. Masa saringan kedua  dia tanya progress dalam pertuturan Mukhlis. Pada aku, selepas sebulan buat saringan pertama memang ada penambahbaikkan. Banyak sikit dengar butir mulut dia walaupun maish banyak tak faham. Betterlah dari dulu dia tunjuk je kerja.

Panjang-panjang aku cerita aku nak kongsikan sikit apa cara pendekatan untuk anak speech delay, kalau masalah anak-anak sama seperti Mukhlis (responsive bagus, expressive kurang)

1. Teruskan berborak dengan anak. Jangan cepat frust walaupun dia langsung tak ajuk dan bagi sebarang respon.

2. Tegur anak tengah buat apa. Kita tanya, kita juga jawab. Nampak macam kelakar tapi sebenarnya memberi perkataan untuk anak sebut dan faham apa yang dia tengah buat.

3. Teknik sabotaj. Teknik ni kita tutup peluang dia berdikari. Macam Mukhlis, dia dah pandai nak ambil makanan sendiri, bila lapar memang dia boleh panjat untuk dapatkan makanan. So, kami buang 'accessability' tu. Nak tak nak dia kena cakap. Masa ni lah latih dia untuk sebut. Tapi jangan sampai dia naik jemu dan mula tantrum.

4. Ikut rentak dia. Contoh masa baca buku, ikutlah plot cerita yang dia nak. Ke depan ke belakang ke. Ikut sahaja. Kita teruskan bercerita gambar-gambar dalam buku. Biar dia nak duduk tengok buku dan telinga dengar.

5. Ulang perkataan ikut kebolehan anak. Akhir-akhir ni Mukhlis dah boleh sebut dua suku kata walaupun putus-putus. Dulu lagi laaaa, satu je. Langsung tak faham. Sekarang kami dah jumpa trick untuk bagi dia ikut perkataan dua suku kata.

P/S: aku bukan pakar. apa-apa pun pastikan merujuk pakar dulu. anak lambat cakap terus bawa jumpa. jangan ikut bulat-bulat tips ni, takut kondisi dan masalah berbeza.

InsyaAllah bulan September ni juga akan mula sesi terapi secara intensive untuk Mukhlis. Ya Allah dah lah masa tu juga insyaAllah aku akan daftar sebagai pelajar, sibuk macam-macam. Harapnya dapatlah bagi fokus pada perkembangan Mukhlis dan hadir terapi.

Bagi korang yang mula risaukan masalah perkembangan percakapan anak korang, mungkin boleh cuba datang ke saringan Klinik Audiologi UKM ni, lagi-lagi yang duduk berdekatan kawasan Kuala Lumpur. Pendaftaran bukan kakitangan kerajaan cuma RM50. Tak tahu pula kalau kerja kerajaan berapa cajnya. Untuk terapi pun tak mahal, tak cecah ratusan pun. Tapi perlu sabar sikit dari sudut menunggu lah.

klinik audiologi ukm


Korang boleh tengok highlights instagram aku pasal Mukhlis Speech ni. InsyaAllah, dari masa ke masa aku akan update pasal progress Mukhlis dan apa yang kami sekeluarga buat untuk bantu dia bercakap selain daripada pergi terapi.

Thanks sudi baca cerita pasal Mukhlis.
By the way, siapa yang ada pengalaman, sudi-sudikanlah share tips dan kata-kata semangat. Mana tahu serba serbi dapat membantu aku dan parents lain yang struggle dengan anak speech delay.

Tiada ulasan

Komen