Sepanjang hampir 10 tahun menjadi suri rumah sepenuh masa, ini pertama kali aku menyertai satu konvensyen untuk sekumpulan wanita bergelar suri rumah. Sejak aku jadi ahli Persatuan Suri Rumah Rahmah, banyak pengalaman yang buatkan aku terinspirasi untuk jadi lebih baik dari sebelum ni. Dan untuk tahun ini, memang aku sengaja memaksa diri untuk 'all out' memberikan segala sumbang bakti tenaga dan masa untuk satu acara dwi-tahunan SRR, Konvensyen Suri Rumah. Dan ini sebenarnya pertama kali aku sertai KONSURI, bukan sekadar sebagai peserta tetapi juga sebagai ahli jawatankuasa.
Apa Itu KONSURI 2025?
KONSURI atau nama penuhnya Konvensyen Suri Rumah merupakan sebuah acara dwi-tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Suri Rumah Rahmah. Persatuan Suri Rumah Rahmah adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membawakan satu visi dan misi yang jelas untuk membantu suri-suri rumah berpendidikan di Malaysia. Dan aku sendiri merupakan salah seorang ahli persatuan dan sekarang sebahagian ahli jawatankuasa.
Untuk pengetahuan, ini bukanlah KONSURI yang pertama tetapi KONSURI yang keempat tau! KONSURI yang pertama berlangsung pada tahun 2018, kemudian tahun 2020 dan sebelum ini pada tahun 2023. Jangan tak tahu, semua acara ini dikendalikan sepenuhnya oleh para suri-suri rumah sendiri. Dari suri untuk semua.Tahun ini KONSURI membawa tema "Memperkasa Pemberdayaan Suri Lestari". Bunyinya sahaja nampak sangat-sangat 'empowering' dan hasilnya aku rasa sangat-sangat memberangsangkan!
Kenapa Suri Perlu Pergi KONSURI?
Sudah semestinya untuk menambah ilmu baru dan menjadi suri rumah yang lebih baik! Sesi-sesi yang berlangsung sepanjang KONSURI pada aku sangat padat dengan perbincangan ilmiah dengan topik-topik yang sangat dengan hari kami para suri rumah. Bayangkan dari pagi sampai ke petang, banyak perkara-perkara bemanfaat yang dibincangkan sekitar isu berkaitan suri rumah.
Pada sebelah pagi, ada sesi Sembang Suri, yang mana perbincangan antara wakil Suri dan juga pakar dalam bidang. Ada empat segmen: ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sosial. Wakil-wakil Suri yang naik ke atas pentas pula bukan calang-calang suri ya. Mereka adalah suri-suri yang terlibat dengan penghasilan Buku Panduan Istimewa Suri Rumah Malaysia melalui Focus Discussion Group (FGD). Buku ini pun memang dilancarkan di KONSURI pagi itu.
Kalau perasan, empat segmen untuk Sembang Suri ni sangat sangat dekat dengan suri rumah. Sebab sebagai suri rumah, inilah empat perkara yang sentiasa menjadi 'mental load' yang tak pernah berhenti bermain di dalam kepala. Kerisauan tentang ekonomi keluarga, kebimbangan terhadapan perkembangan pendidikan anak-anak, penjagaan kesihatan seluruh keluarga dan pada masa yang sama kita juga ingin juga seimbangkan kehidupan sosial selain daripada keluarga kita. Nampak tak segmen-segmen ini sangat relevan dengan suri rumah?
Pada sesi sebelah petang pula, ada sesi forum dengan panel-panel yang hebat. Ada Lin Ariffin daripada Zayan.fm selaku moderator. KONSURI bawakan Ustazah Norhafizah Musa, Mamatiyah dan Ustaz Syaari sebagai panelist. Sesi forum sangat-sangat interaktif dan memberikan kesan yang mendalam. Masih terngiang-ngiang pesanan ustaz, "Bukan suri rumah je, tapi suri rumah TAU". Walaupun panel-panel dan moderator adalah wanita berkerjaya (tolaklah ustaz, kan), mereka sangat-sangat meraikan para suri rumah dan memberikan pandangan yang sangat menjentik akal fikiran kami. Akhir sesi forum membuatkan aku bertanya pada diri sendiri:
"Suri rumah bagaimana yang aku ingin jadi sebenarnya?"
3 Ilmu Baru daripada KONSURI 2025
1. Nilai Diri Suri Bukan Pada Gaji
Ustazah Hafizah Musa ada menyebut semasa sesi forum "Suri rumah bukan tidak bekerja. Mereka bekerja tanpa slip gaji, tapi impaknya sampai akhirat, insyaAllah."
Masa ni, memang terasa di hati sangat-sangat. Betullah, memang bila jadi suri rumah, kita ni tak bawa pulang duit kepada keluarga. Yang kita bagi adalah sumbangan tenaga, masa dan ilmu dengan sepenuh hati. Selalu sangat sebenarnya terbandingkan diri sediri dengan orang yang nampak 'hebat' tetapi lupa apa yang kita sedang lakukan juga sebenarnya hebat. Suri rumah sedang membina generasi. Itu bukan kerja mudah!
2. Komuniti Adalah Kekuatan
Sepanjang jadi suri rumah, selepas fasa burn out dan perlahan-lahan dapat fokus pada diri, aku selalu rasa aku tak perlu join mana-mana kumpulan atau komuniti suri rumah. Sampailah satu hari aku tergerak hati untuk mendaftar jadi ahli SRR. Sejujurnya, selepas menjadi ahli, baaaaaanyak perubahan yang berlaku pada diri aku. Rupanya aku sebenarnya memerlukan komuniti yang sama frekuensi. Bukan sekadar untuk berkumpul tetapi untuk menyembuhkan diri sendiri. Sebenarnya aku perlukan rasa 'I'm not alone' untuk jadi lebih tenang dan kurang membandingkan diri.
3. Ilmu itu Nafas Baru
Ramai orang menganggap menjadi suri rumah tidak memerlukan ilmu. Fahaman itu salah! Dalam KONSURI sangat banyak ilmu baru yang dipelajari, baik semasa program berlangsung mahupun sepanjang mengendalikan program ini. Macam aku, selain dapat ilmu baru, aku dapat juga 'unlock' satu kemahiran baru melalui penglibatan sebagai ahli jawatankuasa KONSURI. Ilmu-ilmu baru sebenarnya memberikan nafas dan rasa 'refreshing' kepada suri rumah. Menerusi ilmu juga suri-suri dapat memberikan yang terbaik kepada keluarga masing-masing. InsyaAllah
Perasaan Selepas KONSURI
Demam KONSURI ni sebenarnya lama. Hatta semasa sedang menaip blog ini, rasa macam baru pergi semalam sedangkan sudah seminggu berlalu. Nampak tak kesegaran yang ada selepas KONSURI? Acara ini walaupun berlaku dua tahun sekali, impaknya sebenarnya besar buat seorang suri rumah. Kami dapat berjumpa dengan orang baru, berkenalan dengan orang baru, belajar ilmu baru dan paling penting kami dapat membawa pula satu pengalaman baru.
Selepas KONSURI, aku ada post pengalaman dan perasaan aku melalui Facebook dalam beberapa posting. Boleh tengok sendiri di sini:
1. PASCA KONSURI 1
2. PASCA KONSURI 2
3. PASCA KONSURI 3
Buat suri-suri rumah yang baru menginjak ke dunia suri rumah dan sedang mencari 'support system', saya sangat sarankan untuk join ahli SRR. Bayaran hanya sekali seumur hidup. Ada bermacam program dan kemuncaknya memang KONSURI. Kadang-kadang memang kita rasa seperti kita okay dan tak perlukan sebarang bantuan, tapi percayalah disaat kita masuk komuniti SRR, kita akan rasa berbeza dan lebih bersemangat untuk menjadi suri rumah.
InsyaAllah next KONSURI adalah tahun 2027. Nak tahu macam mana seronoknya berada dalam SRR, daftar sekarang.

Tiada ulasan
Komen