Selepas pandemik melanda, aku perasan fesyen-fesyen sudah berubah. Kalau dulu kita cuma ada baju sukan khas untuk bersukan, baju untuk masuk hutan ada baju khas untuk masuk hutan. Selepas pandemik, orang sudah mula buat gabungan gaya antara aktiviti dan santai semakin meluas sekarang ni, antaranya 'athleisure'. Dan sekarang buat pertama kalinya aku dengar perkataan 'Urban Explorer' masa datang ke sebuah majlis pelancaran jenama STADS di AEON Cheras Selatan yang berlangsung pada 23 Jun 2024 baru-baru ini.
Fesyen Urban Explorer oleh STADS ini merupakan sebuah kolaborasi khas AEON dengan seorang pereka fesyen dari Indonesia, khusus untuk pelanggan AEON yang sukakan gaya peneroka tetapi santai serta mahukan rekaan dan pakaian yang praktikal bukan sahaja untuk masuk hutan atau ke sungai malah untuk pakaian harian.
Apa itu URBAN EXPLORER?
Kalau taip di Google tentang makna "Urban Explorer", maksud yang diberikan adalah mereka yang suka untuk meneroka bangunan-bangunan atau tinggalan manusia yang sudah lama ditinggalkan. Bukanlah mencari benda mistik tetapi memang meneroka bangunan lama mungkin untuk inspirasi ataupun minat untuk menelaah. Ini yang kita faham melalui Google. Daripada Google juga boleh cari 'urban explorer clothing'. Kalau dilihat kebanyakan fesyen-fesyennya adalah fesyen peneroka, dengan jaket kalis air, vest yang ada banyak poket, sesuai untuk masuk hutan atau pergi berkhemah.
Urban explorer yang digunakan kali ini tidak merujuk sepenuhnya mereka yang pergi meneroka bangunan-bangunan yang ditinggalkan, tetapi merujuk kepada anak-anak muda yang gemar meneroka bandar. Bahasa mudah, kita panggil mereka sebagai peneroka bandar.
Apa konsep rekaan pakaian STADS?
STADS membawakan rekaan yang menepati jiwa peneroka tetapi masih sesuai untuk dipakai buat acara-acara selain meneroka seperti bergaya santai mahupun untuk bersukan. Slogan untuk jenama STADS adalah 'All Purpose Wear' atau Pakaian Serbaguna. Rekaan-rekaannya tidak spesifik hanya untuk peneroka tetapi untuk mereka yang sukakan pakaian berbentuk praktikal, mudah diubah suai dan material sesuai bagi negara Nusantara.
Bagi yang tidak tahu, pereka fesyen STADS, Miptah Alfarizhi merupakan pereka fesyen muda dari Indonesia. Beliau sangat kreatif dalam menghasilkan rekaan yang mempunyai gabungan warna yang menarik serta rekaan yang praktikal dan 'mind blowing'. Menekankan konsep praktikaliti dan mudah diubah suai, beberapa rekaan baju STADS boleh dijadikan bag atau mudah kata mudah untuk dipaketkan untuk dibawa berjalan. Malahan material yang digunakan juga berkualiti tinggi sesuai untuk cuaca panas mahupun sejuk.
Sebenarnya majlis yang aku hadiri merupakan majlis pelancaran untuk keluaran rekaan STADS Vol. 2 yang bakal keluar pada Julai 2024, di kesemuan cawangan AEON. Maknanya mereka sudah pun keluarkan STADS Vol. 1!
Majlis Pelancaran STADS Vol.2
Bukan satu majlis pelancaran jenama fesyen kalau tidak ada acara runaway oleh model-model untuk menggayakan rekaan-rekaan baru. Jadi semasa majlis pelancaran, kami yang hadir termasuk pelanggan-pelanggan di AEON Cheras Selatan berpeluang untuk menyaksikan secara langsung model-model menggayakan rekaan STADS Vol.2 yang semuanya memang cantik dan menarik perhatian.
Selain sesi runaway, sesi temu bual bersama Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran, Low Ngai Yuen dan Pereka Fesyen STADS, Miptah Alfarizhi. Dalam sesi temubual, Miptah Alfarizhi menjelaskan kehadiran Vol.2 kali ini adalah untuk memenuhi permintaan para wanita yang sukakan rekaan urban explorer. Selain itu, rekaan Vol.1 berfokuskan kepada tona warna 'earth' atau tanah seperti warna oren bata, warna hijau daun, manakala rekaan Vol.2 berfokuskan kepada tona warna terang, lebih menyerlah dan menarik perhatian.
Cuba perhatikan pakaian yang dikenakan oleh Low Ngai Yuen dan Miptah Alfarizhi serta pengacara majlis dalam gambar di bawah. Kalau perasan, mereka sedang memakai koleksi STADS Vol.2 ya. Malah, Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran sendiri memberikan testimoni secara jujur tentang jaket yang sedang dipakainya. Walaupun pertama kali mengenakan jaket ini, beliau sangat sukakan keselesaan material dan rekaan jaket tersebut. Katanya dia memakai sejak dari pagi dan masih berasa selesa mahupun cuaca panas.
Dari kiri, Ketua Pegawai Perdagangan dan Pemasaran, Low Ngai Yuen, Pereka Fesyen STADS, Miptah AlFarizhi. |
T-Shirt dan Vest STADS
Rezeki datang majlis kali ini, aku dapat menang sehelai t-shirt STADS yang bernilai sekitar RM79 (kalau tak silap). Dengar harga macam mahal, kan? Tetapi harganya sepadan dengan kualiti. Kain tebal tetapi masih sejuk dan tak mudah berpeluh. Selesa ya buat pakai harian. Selain menang t-shirt, aku juga dapat kit daripada AEON. Dalam kit ada satu vest daripada STADS. Asalnya aku tak rasa pun aku perlukan vest itu, tapi bila aku tengok dan cuba gayakan di rumah, nampak gaya aku boleh manfaatkan vest ini sepenuhnya. Vest STADS ni bukan sebarang vest. Boleh lipat jadi beg, boleh ditebalikkan (reversible) dan paling penting menepati konsep explorer, BANYAK POKET! Siapa tak suka baju yang poket, kan?
Kalau berminat nak dapatkan rekaan Urban Explorer STADS, boleh cari di cawangan-cawangan AEON yang berdekatan. Untuk STADS Vol.2, akan mula berada di pusta-pusat AEON bermula Julai 2024 nanti ya!
Siapa yang pertama kali dengar fesyen urban explorer? Cantik tak rekaan baju-baju dia pada mata korang?
Tiada ulasan
Komen