Lauk ikan bukanlah sesuatu yang asing bagi kita orang Malaysia yang dikelilingi oleh laut. Bagi aku sekeluarga, anak-anak memang suka makan ikan. Malahan ada masa-masanya mereka sendiri minta pada hari tersebut untuk tidak mahu masakan ayam atau daging. Suami pula membesar di Terengganu, sudah semestinya sukakan makanan laut yang lain seperti kerang, kepah, udang, sotong. Berbeza dengan aku yang membesar di tengah bandar, lauk ayam dan daging merupakan lauk kebiasaan. Jarang-jarang nak merasa makanan laut. Hanya ada acara tertentu baru merasa makanan laut.
Bercakap pasal ikan, sebenarnya ia merupakan salah satu sumber protein untuk diet seharian yang kaya dengan nutrisi penting yang dapat memberi manfaat kesihatan kepada tubuh kita. Ini adalah fakta dan beberapa pakar juga menggalakkan pengambilan diet protein berasaskan ikan. Ini aku senaraikan beberapa manfaat kesihatan berdasarkan kajian.
Manfaat Kesihatan Ikan
Sumber Protein Berkualiti
Badan memerlukan protein untuk pembinaan dan pembaikan tisu, pertumbuhan sel, dan fungsi tubuh yang optimal. Ikan adalah sumber protein yang berkualiti tinggi dengan asid amino yang diperlukan oleh badan. Jangan tak tahu protein daripada makanan laut ini juga boleh membantu dalam menurunkan risiko penyakit jantung. Ia membantu dalam mengurangkan tekanan darah, kadar kolesterol jahat (LDL), dan keradangan dalam arteri.
Asid Lemak Omega-3
Asid lemak omega-3 sangat baik untuk kesihatan jantung dan otak. Omega-3 membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dan mengawal tekanan darah. Malahan, asid lemak omega-3 juga telah dikaitkan dengan peningkatan fungsi kognitif dan kesihatan otak, terutamanya dalam perkembangan kanak-kanak.
Vitamin dan Mineral
Ikan mengandungi pelbagai vitamin seperti vitamin D, vitamin B-kompleks (seperti B2, B3, B6, dan B12), dan mineral seperti selenium dan sodium yang penting untuk fungsi tubuh. Vitamin D memainkan peranan yang penting untuk penyerapan kalsium dan kesihatan tulang yang baik. Ini sangat penting dalam mencegah osteoporosis.
Salah satu ikan yang terkenal di Malaysia dan khasiat-khasiatnya. Sumber gambar : Facebook Pharmaniaga Berhad |
Kenapa Penting Memilih Ikan Segar
Makan ikan memang bagus tetapi perlu diingat bahawa pemilihan ikan yang betul juga penting. Sebaiknya elak ikan yang tinggi merkuri dan pastikan dari sumber yang selamat. Dengan mengambil ikan dalam diet harian, kita boleh meningkatkan kesihatan secara menyeluruh dan menyokong gaya hidup yang lebih sihat.
Kemahiran memilih ikan segar adalah satu kemahiran yang perlu kita tahu sebab kesegaran ikan memainkan peranan penting dalam menjaga rasa, kualiti, dan manfaat kesihatan ikan yang kita makan. Ini adalah beberapa sebab mengapa kesegaran sangat penting:
Kesegaran Menjamin Kualiti Makanan
Ikan yang segar mempunyai rasa yang lebih enak dan tekstur yang lebih baik. Kalau pernah makan di kampung-kampung atau gerai-gerai yang mudah dapat stok makanan laut segar, kemanisan dan keunikan rasa dalam setiap gigitan memang berbeza dengan makanan laut yang tidak berapa segar. Kesegaran juga membuatkan kurang keperluan bahan tambahan yang lain seperti MSG atau ajinomoto dalam masakan kerana isi yang segar mempunyai rasa tersendiri.
Elakkan Risiko Kesihatan
Ikan yang tidak segar merisikokan kesihatan seperti keracunan makanan dan jangkitan bakteria. Ini kerana ia mempunyai kecenderungan kadar oksidasi yang tinggi. Oksidasi yang tinggi boleh merosakkan nutrein dan mempengaruhi rasa dalam isi ikan.
Manfaat Kesihatan yang Lebih Optimum
Kita sedia maklum akan khasiat dan manfaat daripada ikan dan kesegaran dapat memastikan bahawa kita mendapat manfaat kesihatan maksimum daripadanya, termasuk asid lemak omega-3, vitamin, dan mineral yang penting untuk tubuh badan.
Nampak kan kenapa perlu ada kemahiran memilih yang segar?
Sekarang, mari aku kongsikan tips mudah untuk pilih ikan segar di pasaraya. Sebenarnya tidak susah mana dan sangat mudah untuk ingat. InsyaAllah dengan tips ini esok lusa nak pergi pasaraya dah boleh pilih dengan yakin.
Sumber : www.rawpixel.com |
Tips Memilih Ikan Segar
Mata yang Jernih
Salah satu cara paling mudah dan cepat untuk melihat kesegaran adalah pada matanya. Mata yang segar akan kelihatan berkilat dan bersih jernih, bukannya kabur atau keruh autpun berdarah ataupun terkeluar. Ini sangat mudah kalau ikan jenis bersaiz besar sebab sekali pandang dah terus nampak. Tetapi sebenarnya tengok pada mata sahaj tak cukup. Ada beberapa tips lain yang perlu diambil kira untuk pastikan kita dapat yang memang segar dan elok.
Kulit yang Licin
Untuk tips ini, memang kena pegang sendiri ikan. Ikutlah nak pakai sarung tangan boleh, nak pakai alas seperti plastik pun boleh. Asalkan dapat pegang sendiri tekstur kulit. Kulit ikan yang segar akan terasa licin dan berkilauan. Bila dah ada bintik-bintik atau nampak sisiknya seperti kering, ada kemungkinan ianya sudah tidak sesegar mana.
Bau Laut, Bukan Hanyir
Ada beza sebenarnya antara bau laut dengan bau hanyir. Ikan yang segar, bau hanyirnya tidak kuat atau tak berbau hanyir tetapi ada bau laut. Bila sudah ada bau hanyir, maknanya sudah kurang segar atau sudah terlalu lama dalam suhu bilik.
Masalah bila ada bau adalah pada ketika nak memasak nanti. Kalau masakan tak mampu buang hanyir, memang akan susah untuk dimakan. Aku memang pernah sekali masak ikan yang bau hanyir kuat. Disebabkan tak mahu membazir, masak juga ikan tersebut. Masa makan, memang tak boleh nak telan, sebab bau tadi bukan setakat pada bau, malah pada ikan juga ada rasa.
Badan yang keras atau pejal
Tips ini juga memerlukan kita pegang sendiri. Pegang sahaja ya, jangan dipicit! Masa mula-mula mak aku ajar tips ni, dia tunjuk sendiri cara pegang dan cara rasa kepejalan ikan segar. Sejak dah belajar tips ni, memang ini perkara pertama aku buat sebab ini tips paling mudah dan cepat. Dekat mana nak rasa kepejalannya? Pada bahagian insang sebab disini ada banyak orang-organ penting. Kalau kawasan ini dah lembik atau nampak terkeluar isi, berkemungkinan hanyir ikan akan merebak pada isi juga.
Itulah dia empat tips untuk pilih ikan. Ringkas sahaja.
Aku bagi sifir mudah - mata, badan, kulit dan bau. Perhatikan empat perkara sahaja. Tips ni memang terpakai untuk semua jenis ikan-ikan yang ada.
Idea Masakan Ikan
Dah beli ikan mestilah nak idea resepi mudahkan?
Cara masak ikan ada banyak cara. Berbeza dengan ayam, ikan sangat mudah masak dan memakan masa yang lama. Ini beberapa idea masakan untuk ikan.
1. Sup Ikan
2. Ikan Goreng
3. Ikan Bakar
4. Ikan Masak Tiga Rasa
Baca: daun kesum
Dalam menggabungkan ikan dalam diet harian kita, adalah penting untuk mengambil kira pemilihan ikan yang betul, manfaat kesihatan yang ia bawa, dan cara memasak yang sesuai untuk mengekalkan nutrisi dan rasa yang terbaik. Dengan panduan ini, diharapkan korang dapat menikmati ikan segar yang menyihatkan dan lazat dalam pelbagai hidangan harian.
Tiada ulasan
Komen