Carian

Pastikan Kesihatan Mental Terjaga Dengan DASS

Dalam setahun, paling kurang aku akan jawab soalan-soalan DASS. Salah satu sebabnya adalah aku nak tahu tahap tekanan dan emosi aku. Sebenarnya sekitar tahun 2017-2018, aku macam hilang diri sendiri. Hilang keyakinan, malu nak jumpa orang dan paling teruk aku tak tahu macam mana nak keluar daripada tekanan-tekanan yang ada setiap hari. Memang sampai terdetik nak pergi hospital buat pemeriksaan mental sebab kadang-kadang aku menangis seorang diri.

Setiap kali aku jawab soalan-soalan dalam DASS, paling teruk adalah aku dapat warna kuning iaitu mild untuk bahagian stress. Bahagian depression dan anxiety selalu dapat hijau, maknanya normal. Disebabkan keputusan selalunya normal, aku pun belajar untuk urus emosi dan pastikan tahap tekanan aku terkawal. Alhamdulillah sekarang emosi lebih 

DASS

Bagusnya tentang DASS adalah, soal selidiknya ada atas talian. Taip sahaja D-A-S-S, memang akan terus keluar laman web yang terus pergi kepada soal selidik. Mudah bila ada atas talian, bila-bila rasa nak tahu tahap tekanan nak emosi sendiri, boleh terus buat. Walaupun sebenarnya keputusan yang dapat tidak 100% tepat, sekurang-kurangnya kita dapat keep track dengan stress level diri sendiri. Kalau dapat keputusan semua hijau dan masih rasa nak jumpa pakar, sangatlah bagus. Itu lebih baik sebab keputusan daripada soal selidik adalah berdasarkan taburan dan kajian sahaja.

    Apa itu DASS?

    DASS adalah singkatan untuk Depression Anxiety Stress Scales atau dalam bahasa Melayu: Soal Selidik Keprihatinan, Kecemasan, dan Simptom Tekanan.

    Soal selidik ini adalah satu alat penilaian yang direka khas untuk mengukur tahap kesihatan mental seseorang. Dengan menggunakan soal selidik, sebenarnya dapat membantu individu mengenali dan memahami perasaan dan emosi mereka dengan lebih baik. Soal-soalan yang ada terdiri daripada tiga bahagian berkaitan tiga komponen utama yang penting dalam kesihatan mental:

    • Keprihatinan: Menilai tahap perasaan sedih, kehilangan minat, dan rasa tidak puas dalam hidup.
    • Kecemasan: Mengukur tahap perasaan cemas, gelisah, dan keresahan.
    • Simptom Tekanan: Menentukan tahap simptom fizikal seperti keletihan, gangguan tidur, dan perut kembung yang berkaitan dengan tekanan.

    Sekurang-kurangnya, melalui keputusan soal selidik ini, kita dapat maklumat tentang tahap tekanan dan emosi kita dan juga dapat membantu kita mengenali tanda-tanda awal masalah kesihatan mental. Apabila kita kenal tanda-tanda awal masalah kesihatan mental, kita boleh mencari sokongan dan mengamalkan amalan yang baik untuk menjaga kesihatan mental.

    Asal Usul Soal Selidik Keprihatinan, Kecemasan, dan Simptom Tekanan

    DASS pertama kali diterbitkan dalam kertas penyelidikan pada tahun 1995 oleh adik-beradik Lovibond, Dr Michael Lovibond dan Dr Peter Lovibond. Mereka merupakan orang psikologi daripada University of New South Wales, Australia. Dalam kertas penyelidikan ini, mereka menghuraikan kaedah pengukuran dan penggunaan soal selidik ini dalam kajian mengenai kesihatan mental. Sejak penerbitan kertas penyelidikan mereka ini, DASS telah digunakan secara meluas oleh pakar-pakar kesihatan mental dan penyelidik untuk membantu mengukur dan memahami kesihatan mental. Mana tidaknya, soal selidik ini membantu dalam mengenalpasti tanda-tanda masalah kesihatan mental pada peringkat awal dan memberikan panduan dalam pelan rawatan atau intervensi.

    Keperluan Menjaga Kesihatan Mental

    Kesihatan mental adalah aspek penting dalam kehidupan kita, lagi-lagi dalam dunia sekarang yang penuh dengan sosial media dan penuh dengan cabaran. Sama seperti kesihatan fizikal, kesihatan mental juga perlu dijaga untuk hidup dengan lebih baik. Kesihatan mental kita sebenarnya merangkumi emosi, pemikiran dan kesejahteraan psikologi. Percaya tak percaya, kesihatan mental yang baik boleh mempengaruhi cara kita berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang, cara kita buat keputusan dan cara kita kawal tekanan apabila berdepan dengan keadaan yang sangat intense. Pendek kata, kesihatan mental memainkan peranan penting dalam hubungan sosial dan produktiviti seseorang.

    Ramai orang masih lagi menganggap kesihatan mental ini tidak penting. Malah, bila bercakap tentang kesihatan mental, mesti dikaitkan dengan agama. Ibaratnya tidak cukup iman jika ada masalah mental. Sedangkan daya ketahanan untuk seseorang menerima tekanan dalam hidup adalah berbeza. Ada orang memang ada daya ketahanannya tinggi dan ada juga yang tidak. Jadi, sangat penting untuk kita terapkan kepentingan dalam menjaga kesihatan mental dan sentiasa pastikan kita semak tekanan dan emosi kita pada paras yang terkawal.

    mitos tentang kesihatan mental
    Gambar dari : Twitter KKM Putrajaya

    Apabila kesihatan mental tidak dijaga, ianya memberi impak secara tidak langsung kepada kehidupan harian kita. Perasan kan, apabila kita dalam keadaan sangat tertekan, sangat sukar untuk kita fokus atau beri perhatian sepenuhnya kepada perkara-perkara yang penting dalam kehidupan kita? Malahan, salah satu tips yang dikongsikan oleh pakar psikologi adalah apabila kita tidak boleh berfungsi atau tidak boleh menjalankan kehidupan dengan normal dalam tempoh tertentu, sangat disarankan untuk terus jumpa pakar untuk pemeriksaan lebih lanjut.

    DASS membantu kita mengukur tahap kesihatan mental dengan cara yang sistematik. Melalui menjawab soalan dalam soal selidik ini, kita dapat:

    • Kenal tanda awal masalah kesihatan mental.
    • Memahami emosi dan perasaan kita dengan lebih mendalam.
    • Memantau perkembangan kesihatan mental dari semasa ke semasa.
    • Memberikan panduan awal tentang tahap kesihatan mental kita.

    Bila Perlu Buat DASS?

    Bila nak kena buat soal selidik DASS adalah bergantung pada individu. Aku sendiri buat setahun sekali. Untuk pastikan tahap tekanan dan kemurungan aku dalam keadaan terkawal. Alhamdulillah, sejak dua menjak ini, aku tak lagi dapat tanda kuning. Secara amnya, pakar menyarankan mereka yang sedang mengalami tekanan atau menghadapi cabaran emosi untuk menjawab soal selidik ini lebih kerap mungkin bagi membantu pemantauan keadaan kesihatan mental. Tidak ada bilangan kekerapan yang spesifik. Boleh sahaja jawab setiap beberapa minggu atau sebulan sekali untuk melihat perubahan tekanan diri sendiri.

            Baca: Cara untuk move on

    Bila Perlu Mencari Bantuan Perubatan?

    Jika keputusan soalan selidik DASS ada menunjukkan tanda-tanda yang membimbangkan atau keputusan yang tidak baik secara konsisten, sebaiknya terus jumpa pakar. Beberapa tanda yang perlu diambil perhatian adalah:

    Tahap Keprihatinan, Kecemasan, atau Simptom Tekanan yang Tinggi: Jika skor melebihi ambang yang ditetapkan dalam soal selidik, ini boleh menjadi petanda bahawa sokongan perubatan diperlukan.

    Gangguan dalam Hidup Harian: Jika perasaan anda mengganggu aktiviti harian, seperti kerja, persekolahan, atau hubungan sosial, adalah tanda bahawa perlu mendapatkan bantuan.

    Pemulihan yang Lambat: Jika anda merasakan bahawa tahap kesihatan mental anda tidak pulih dengan baik walaupun usaha diri, mencari bantuan perubatan adalah penting.

    Soal selidik DASS adalah satu alat yang berguna dalam mengukur tahap kesihatan mental dan memahami emosi dan perasaan kita. Ini adalah langkah pertama dalam merawat diri dengan lebih berkesan. Menjawab soalan DASS secara berkala dan memahami hasilnya adalah salah satu cara yang baik untuk menjaga kesihatan mental diri sendiri. Maknanya kita nak diri kita jadi manusia yang lebih baik dan boleh mengawal emosi dan tekanan.

    Tiada ulasan

    Komen