Carian

Cara Buang Ketuat Sendiri

Ketuat adalah masalah kulit yang boleh mendatangkan kejengkelan dan ketidak selesaan kepada kebanyakan orang. Walaupun tidak membahayakan, kewujudannya adalah sangat tidak disenangi dan adakalanya mengganggu kehidupan seharian. Lazimnya ia adalah kawasan kulit keras yang bersaiz kecil dan mudah merebak melalui sentuhan. Untuk membuang atau merawat, ada beberapa tips dan petua yang boleh dibuat di rumah sendiri.

Secara peribadinya, aku tak pernah naik ketuat tapi adik aku selalu ada. Selalunya pada tapak kaki sama ada kawasan tumit atau pada tapak jari kaki. Selain daripada adik aku, anak aku yang kedua, Mukhlis pernah juga naik ketuat pada celah ibu jari kaki kanan pada bahagian tapak. Pada awalnya, rajin hari-hari berusaha untuk buang menggunakan ketip kuku, tapi sampai satu tahap aku pilih untuk gunakan ubat daripada farmasi. Mana tidaknya, hari ini kita dah buang, esoknya masih ada dan tumbuh balik. Wah, memang sangat menjengkelkan!


cara buang ketuat sendiri

    Apa itu ketuat?

    Tahu tak, ketuat adalah masalah kulit yang berbentuk ketumbuhan kecil pada kulit disebabkan oleh virus papiloma manusia ataupun dalam bahasa Inggeris human papillomavirus (HPV). HPV adalah virus yang boleh dijangkiti dan boleh berjangkit melalui sentuhan kulit dengan individu yang dijangkiti ataupun sentuhan dengan permukaan yang telah dipegang oleh individu yang dijangkiti. Virus ini masuk ke dalam kulit melalui luka kecil atau koyakan. Apabila virus ini masuk, dia merangsang pertumbuhan sel-sel secara berlebihan dengan cepat pada lapisan luar kulit, menyebabkan permukaan kulit menjadi keras. Sebab itu ketuat berbentuk kecil dan keras pada permukaan kulit. Adakalanya rupanya berbintik-bintik dan sangat ketara. Virus ini boleh merebak ke seluruh badan, terutamanya pada bahagian kaki atau tangan.

    Untuk pengetahuan, masalah kulit ini tak mengenal usia. Boleh dapat pada orang dewasa, boleh juga dapat pada kanak-kanak. Kanak-kanak lebih mudah mendapat masalah kulit ini sebab sistem imun badan masih lagi sedang berkembang. Selain kanak-kanak, orang yang ada sistem imun yang rendah sangat terdedah kepada HPV lagi-lagi kalau ada luka pada mana-mana permukaan kulit. Oleh itu, sangat penting kalau ada luka atau kecedaraan pada kulit untuk dibersihkan dengan baik.

    ketuat pada kaki
    Gambar dari : insider.com

    Kebanyakan ketuat akan hilang secara semula jadi sama ada cepat atau lambat, tetapi kalau dah sakit, digalakkan untuk merawat dengan kadar segera.

    Cara buang ketuat

    Ada banyak cara untuk merawat masalah kulit ini tanpa perlu pergi ke klinik dahulu. Sangat mudah tetapi perlukan kerajinan dan jangan mudah putus asa sebab prosesnya memang memakan masa. Mari tengok apakah cara-cara untuk buang kulit keras yang ada pada tapak kaki yang menyakitkan.

    1. Gunakan salicylic acid.

    Salicylic acid adalah sejenis cecairan kimia yang menggalakan kitaran kadar penggantian sel kulit (skin cell turnover rate). Dalam kebanyakan produk kecantikan, salicylic acid digunakan sebagai bahan pengelupasan untuk membersihkan pori dan membuang sel kulit mati yang berlebihan. Dalam kes untuk merawat ketuat, fungsi bahan ini bertujuan untuk menggalakan penggantian sel kulit dan membunuh virus yang ada.

    Penggunaan salicylic acid kena cermat sebab bahan ini boleh membawa kepada kekeringan kulit atau kerosakan skin barrier. Banyak produk-produk merawat ketuat di farmasi yang mengandungi salicylic acid. Ikut sahaja arahan yang ada sehingga kawasan kulit keras tadi perlahan-lahan terpisah secara semula jadi daripada kulit. Dan proses ini mungkin memakan masa sekitar 5-7 hari, bergantung kepada kekerapan digunakan.

    Untuk Mukhlis dulu, kami beli Ellgy. Ada 17% salicylic acid. Guna dalam seminggu dan pada hari kelima atau ketujuh, sudah mula nampak kulit yang keras perlahan-lahan terpisah dan boleh terus potong menggunakan ketip kuku. Alhamdulillah sampai ke hari ni, dah tak ada naik yang baru.



    2. Guna 'Duct Tape'

    Tahu tak duct tape yang mana? Selotape tebal warna hitam/biru/merah yang gamnya sangat kuat. Cara ini tak pernah aku cuba tapi konsepnya adalah untuk tutup kawasan kulit keras tadi dan elakkan daripada kulit tersebut dapat oksigen. Bila bekalan oksigen terhalang, kulit keras tadi sukar untuk berkembang dan lama-kelamaan virus akan mati. Selain itu, penggunaan tape ni menggalakan tindak balas imun sebab berlaku keradangan dan perkara ini meransang tindak balas imun setempat.

    Sama juga dengan penggunaan salicylic acid, kaedah duct tape juga perlukan kesabaran sebab bukan sekali guna terus boleh buang keseluruhannya. Dia akan tanggal sedikit demi sedikit sehinggalah akhirnya kesemua kulit keras tadi tanggal daripada kulit.

    Bagi aku, untuk orang yang kental, bolehlah guna kaedah ini sebab kaedah ini sedikit 'brutal' sebab bila nak tanggalkan duct tape terasa sakitnya kulit dan mungkin juga boleh menggundang masalah lain, bergantung pada tahap sensitiviti kulit masing-masing.

    3. Cuka epal (apple cider vinegar)

    Dalam cuka epal ada asid asetik (acetic acid) yang boleh membunuh beberapa jenis bakteria dan virus dan berfungsi hampir sama seperti salicylic acid yang perlahan-lahan menggugurkan kulit keras daripada kulit. Oleh itu, cuka epal ini juga boleh mengeringkan kulit pada penggunaan jangka masa panjang.

    4. Aloe vera

    Aloe vera atau pun pokok lidah buaya juga salah satu bahan dari rumah yang boleh digunakan sebagai rawatan. Aku yakin kebanyakan rumah akan ada pokok lidah buaya sebab pokoknya mudah ditanam dan mudah dijaga.

    Dalam aloe vera, ada kandungan bahan yang boleh melawan HPV. Selain daripada melawan dan membunuh HPV, aloe vera juga mengandungi bahan yang mampu membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit secara semula jadi. Mudah kata, gel daripada aloe vera ini sesuai untuk mengurangkan iritasi, gatal dan keradangan pada kulit. Berbeza dengan salicylic acid dan cuka epal, aloe vera dapat merawat tanpa mengeringkan kulit, malah mampu memastikan kulit kekal lembap dan lembut. Untuk mudah, sapukan aloe vera setiap hari sehingga ketuat hilang. Boleh gunakan dari pokok atau beli sahaja aloe vera gel yang ada di pasaran.

    Masa kami berusaha buang ketuat pada kaki Mukhlis, kami guna dua-dua salicylic acid dan aloe vera gel. Selepas tiga hari guna salicylic acid, memang kulit pada kawasan yang kulit tebal mula mengering dan menggelupas. Maka, kami sapukan aloe vera gel setiap malam sebelum tidur untuk pulihkan masalah kekeringan dan kulit menggelupas. Hasilnya pada hari ketuat tanggal, kulit yang di bawahnya sangat lembut seperti kulit bayi!

    ketuat tanggal
    Gambar dari: siraplimau.com


    Kesemua kaedah merawat adalah kaedah rawatan di rumah. Semuanya memakan masa sekitar seminggu atau dua minggu untuk ketuat betul-betul hilang dan bersih daripada permukaan kulit. Mana-mana rawatan dari rumah memang akan makan masa berbanding jumpa doktor. Dan rawatan sebegini ini sesuai untuk ketuat yang tidak merbahaya dan tidak menyakitkan. 

    Bila perlu jumpa doktor?

    Bila keadaan kulit keras sangat menyakitkan sehingga mengganggu aktiviti seharian dan semua rawatan dari rumah masih tidak dapat membuangnya.

    Pencegahan Ketuat

    Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diberi perhatian untuk elakkan ketuat.

    1. Jaga kebersihan. Pastikan setiap bahagian badan dibersihkan dengan baik.
    2. Kalau ada ketuat, elakkan menggaru, kutil atau apa-apa sahaja yang boleh menyebabkan dia merebak sebab HPV sangat sangat mudah merebak.
    3. Elakkan memakai kasut atau stokin yang basah. HPV memang sukakan kawasan yang lembap.
    4. Basuh tangan dan kaki dengan kadar yang kerap.
    5. Jika ada luka, bersihkan dengan baik untuk elakkan HPV masuk ke dalam luka tersebut.

    Ha... itulah dia serba sedikit cerita pasal ketuat. Walaupun nampak macam taklah merbahaya tapi kalau dibiarkan tak dirawat, boleh juga membahayakan. Oleh itu sila pastikan kita dan anak-anak jaga kebersihan dengan baik untuk elakkan jangkitan kuman atau virus yang tak diingini.

    Semoga bermantfaat!

    Tiada ulasan

    Komen