Carian

Realiti Kehidupan Suri Rumah yang Ramai Salah Sangka

Masuk tahun ini, tahun 2023 genap 9 tahun aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Ya, aku adalah seorang pengurus rumah tangga sepenuh masa. Walaupun aku pernah buat kerja sampingan seperti menjadi dropshipper, buat bisnes online, jual kuih, jual makanan frozen, buat content di media sosial, ambil kerja review produk, kerja hakiki aku adalah menguruskan anak-anak dan rumah. Yang lain semua tu hanyalah sampingan sahaja.

realiti suri rumah

    Bermulanya menjadi seorang suri rumah

    Daripada aku kecik, tak pernah terbayang pun nak jadi suri rumah. Mak aku adalah seorang wanita bekerjaya. Cita-cita aku dulu nak kerja di pejabat korporat. Boleh pagi-pagi singgah stabak beli secangkir kopi latte panas sebelum masuk pejabat. Ceh, sampai begitu sekali angan-angannya. Tapi rezeki aku kahwin awal, pada tahun kedua pengajian ijazah sarjana muda. Masa tamat ijazah tu dah ada anak umur setahun. Maka, setelah tamat pengajian, aku ambil keputusan untuk duduk di rumah dengan anak.

    Aku ambil keputusan untuk fokus menjaga dan besarkan anak untuk 2-4 tahun pertama. Bila anak dah mula masuk tadika atau sekolah rendah, mungkin aku akan mula cari kerja. Cumanya tak disangka masa anak nak masuk 2 tahun, mengandung kali kedua. Jadi rancangan 4 tahun, bertambah jadi 6 tahun. Dan dalam masa 6 tahun tu, dengan turun naik emosi aku, perubahan-perubahan yang berlaku sampailah ke hari ini, akhirnya aku perlahan-lahan selesa menguruskan rumah dan anak-anak sendiri secara sepenuh masa.

        Menarik untuk dibaca: Persatuan Suri Rumah Malaysia

    Dalam entri kali ini, aku nak kupas sikitlah antara sangkaan orang ramai tentang seorang suri rumah dengan realiti yang sebenar. Maklumlah, kehidupan dalam rumah ni tak ada orang nak cerita dan tayang sangat di sosial media. Kalau ada pun mesti bertapis. Dan hanya mereka yang lalui yang betul-betul memahami realiti menjadi pengurus rumah tangga sepenuh masa, terutama yang ada anak kecil.


    realiti suri rumah
    Sumber gambar: www.rawlpixel.com


    Rumah Sentiasa Bersih

    Rumah mesti sentiasa bersih dan kemas, kan?

    Realitinya... Aku hanya mampu gelak dengan sangkaan ini. Masa mula-mula aku jadi suri rumah, ini adalah salah satu cita-cita aku. Rumah akan tip top kemas bersih sepanjang masa. Awal-awal dulu, aku cuba sedaya upaya aku. Aku buat jadual rutin mengemas harian. Aku cuba pastikan aku kemas setiap sudut rumah, setiap ruang yang ada, hampir setiap hari. Tak sampai tiga empat bulan, aku kecundang. Salah satu sebabnya, selain mengemas rumah, aku perlu layan anak. Anak pula masih menyusu, makanan pun aku perlu sediakan. Belum campur lagi basuh baju, jemur baju, lipat baju, kemas luar rumah, siram pokok. Tak menang tangan sebenarnya.

    Bila anak makin membesar, cabarannya laaaaagi hebat. Kita kemas elok, tak sampai lima minit habis semuanya. Memang rasa nak menangis sebab rumah tak sempat nak nampak bersih dan kemas. 

    Dulu aku cuba pastikan rumah kemas dan bersih pada ketika suami sampai di rumah. Tapi selalu tak boleh. Sampai aku menangis dekat suami. Akhirnya suami bersuara 'rumah sepah tu biasalah, kan ada anak-anak kecik. Lagipun rumah ada orang tinggal, takkan 24 jam bersih tak ada kotor?'. Pada masa itu aku sedar, kemas rumah ni sekadar semampunya. Pastikan selesa dan sejuk mata memandang. Tak perlu sampai menyusahkan diri sendiri. 

    Masa Lapang

    Mesti ada banyak masa lapang kan?

    Realitinya.... Masa anak-anak aku kecil, aku tak sempat sangat nak melayan drama ke apa. Ada melayan, itupun waktu suami ada kat rumah, masa anak-anak dah tidur. Selebihnya, aku dengan hal-hal rumah. Tambahan lagi aku ada buat kerja-kerja sampingan. Memang tak sempat mana nak melayan drama. Kalau melayan, terbazir masa dan aku juga yang menyesal.

    Kenapa tak ada masa lapang? Ye lah, siapa yang nak masak, kemas baju, jemur baju, lipat baju, sapu lantai, siram pokok, vacuum rumah, basuh pinggan, beli barang dapur kalau bukan suri rumah. Lagi-lagi kalau ada anak kecik. Nak susukan anak, suap anak makan, cuci lampin anak, basuh berak, tidurkan anak. Selalunya jadi macam tak cukup tidur pun ada.

    Ini aku yang anak dua. Boleh bayangkan tidak kalau yang anak berderet selang setahun dua? Mana ada kakak abangnya, adiknya, lepastu baby lagi. Fuh, aku sendiri berpeluh membayangkan.

    Hidup Tak Maju

    Mesti hidup duduk takat itu sahaja, kan?

    Ramai orang ingat hidup suri rumah sunyi, tak ramai kawan tapi realitinya tidak. Dengan zaman teknologi sekarang, ramai yang boleh upgrade diri, teruskan perbaiki diri dan mencari benda-benda baru untuk dicuba. Sekarang ni dari rumah juga boleh menjana pendapatan. Tinggal nak buat ke tak nak sahaja.

    Sebenarnya banyak kemahiran-kemahiran yang boleh diasah dalam masa menguruskan rumah dan anak-anak. Contoh nya, bab pengurusan masa untuk bahagikan masa bila nak melayan anak, bila nak masak, bila nak kemas rumah, bila nak pergi beli barang. Selain tu, kemahiran memasak pun boleh diasah. Kalau dulu hanya pandai masak nasi goreng satu jenis sahaja, dalam masa di rumah, macam-macam resepi boleh dicuba dan diperbaiki dari sudut masa persiapan dan rasa. Ini baru kemahiran dalam rumah.

    Berdasarkan pengalaman aku, ruang masa yang aku ada sepanjang menguruskan rumah ini adalah ruang untuk aku rapatkan diri dengan Allah. Aku cuba untuk buat amalan-amalan sunat seperti solat sunat sebelum dan selepas solat. Baca buku-buku ilmiah sama ada jenis motivasi atau yang mendekatkan diri dengan Allah. Bagi aku, ini adalah rezeki yang Allah bagi untuk aku jadi manusia lebih baik. Lain orang, lain rezekinya.

    Bergantung Pada Suami

    Mesti tunggu sahaja duit yang suami bagi, kan?

    Suami aku suka aku berdikari. Dia tak kisah kalau aku nak cari pendapatan sendiri. Yang penting aku tak abaikan tanggungjawab aku. Bagi aku, maksud bergantung pada suami adalah apabila kehendak si isteri (kehendak yang diluar kemampuan suami) menjadi beban pada suami. Kalau sampai bil air api, rumah kita juga nak kena bayar, nanti suami jadi naik lemak. Sebab hal kewangan rumah dan anak-anak sepatutnya memang dibawah tanggungan suami. Tak salah nak membantu, tapi jangan sampai semuanya kita bayar sampai suami naik lemak.

    Setiap bulan ada juga pendapatan walaupun jumlahnya tak tetap. Cukup untuk beli benda-benda yang aku rasa tak perlu minta pada suami. Benda-benda yang aku rasa aku kena bayar sendiri.

    Aku ada terjumpa satu akaun instagram lakibini.duitdairy yang mana pemegang akaun tersebut adalah seorang suri rumah dan beliau berkongsi cara bagaimana sebagai seorang suri rumah boleh membuat simpanan dan mengurus kewangan rumahtangga dengan bijak. Perkongsian beliau memang sangat menarik dan menginspirasikan.

    Rutin Harian Sama

    Mesti bosan dengan rutin harian yang ulang-ulang sama, kan?

    Haaaa.... ini realiti ramai orang tak tahu. Rutin harian kami sebenarnya agak fleksibel. Cuma rutin dengan anak-anak mungkin sama seperti hantar ambil ke sekolah, masak tengahari. Kebanyakan rutin lain adalah fleksibel dan kami boleh susun nak buat apa dulu kemudian apa. Mungkin ada setengah orang lebih sukakan rutin yang sama, pun tak ada masalah.

    Sejak menjadi pengurus rumahtangga, ini adalah ruang aku kembangkan kemahiran memasak. Dari dulu masak ambil masa setengah jam ke satu jam, sekarang aku boleh siap memasak dalam masa 15-20 minit. Kalau dulu mula-mula kemas rumah ambil masa berjam-jam, sekarang aku dah pandai untuk bahagikan ruang masa untuk diselitkan kemas bahagian ini dulu, kemudian yang sana pula. Ini semua kemahiran berasaskan pengalaman dan try and error.  

    Rutin harian aku memang berbeza. Sebab ada hari aku perlu pos barang, ada hari aku perlu siapkan kerja-kerja dari client, ada hari aku nak fokus pada diri aku, ada hari aku perlu pergi beli barang dapur, ada hari aku perlu ke sekolah anak, ada hari tak disangka anak sakit. So, siapa kata rutin kami ulang-ulang rutin yang sama?

    Akhir kata

    Perjalanan dan rezeki kita tak sama. Ada orang rezeki dia pada kerjaya dan ada orang pada ruang dia menjadi suri rumah sepenuh masa. Entri aku berdasarkan pengalaman aku selama 10 tahun tanpa sebarang pengalaman bekerja. Orang yang pernah bekerja dan bertukar menjadi suri rumah mungkin berbeza pengalaman. 

    Apa-apa pun, sebagai isteri dan ibu, kita semua buat keputusan untuk keluarga kita dan yang lebih tahu keperluan dan solusi dalam rumah tangga kita adalah kita. Orang luar boleh bagi komen dan cadangan, tapi yang melalui dan merasainya adalah isi rumah itu.

    Tiada ulasan

    Komen