Carian

Menjahilkan diri depan jodoh yang tak pasti

Assalamualaikum dan hai

Jarang jarang aku nak menulis entri berkaitan dengan benda-benda yang tengah viral ataupun hangat diperkatakan di media sosial.

Bagi yang memahami tajuk entri yang ditulis, tahniah. Bagi yang tidak memahami mungkin boleh cari sendiri di Google untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu yang tengah tular dan masih panas ini. 

Kenapa isu viral kali ini aku tulis sebuah entri?
Sebab aku rasa entri ini sangat relevan untuk kekal lama. Ianya berkaitan mencari jodoh. Lebih tepat bagaimana untuk mencari jodoh.

Selepas hampir 24 jam aku membaca kupasan yang berbeza-beza di pelbagai platform seperti Facebook, Twitter dan Instagram, aku akan kumpulkan secara keseluruhan pandangan dan pendapat aku mengenai isu menjahilkan diri.

Apa isu yang panas sebenarnya?

Isunya bermula dengan sebuah video berdurasi kurang daripada 60 saat dengan tajuk 'Kenapa Wanita Lambat Jodoh?'

Yang buat video pun, pergi letak tajuk bukan main minta kena kecam. Tapi sebenarnya pada aku konten atau isi kandungan video tersebut yang lebih menarik perhatian.

"Orang laki-laki suka perempuan lembut-lembut, high estrogen, mengharapkan perlu ditolong, biarlah macam bodoh-bodoh sikit, kan boleh la? Pada siapa yang lambat jodoh tengok karakter anda bagaimana"

 

Aku akan ulas berdasarkan beberapa sudut pandang aku.

1. Dari sudut sebagai seorang isteri.

Aku secara jelas memahami konteks yang disampaikan. Sangat jelas. Bila dah jadi isteri memang perbuatan minta tolong pada suami, seolah-olah tak pandai dianggap comel atau pun istilah mudah faham waktu bermanja dengan suami. Sesekali kita buat-buat tak tahu dan kita minta tolong suami. 

Dan ini sebenarnya sebagai seorang isteri tanda kita hormat pada seorang suami.

Seorang isteri memberi hormat kepada suami yang sewajarnya seorang ketua, tempat meminta pendapat lebih bernas, seorang yang lebih rasional dan mampu berfikir dengan jelas. Suami semestinya seorang yang selayaknya diberikan hormat, selagi mana dia tidak melanggar syara.

Ini aku faham dengan jelas. Sebab memang salah satu cara untuk menguatkan kasih sayang sesama suami isteri adalah dengan bermanja-manja. Ikutlah cara masing-masing nak bermanja yang macam mana. Malah sebenarnya bukan isteri je nak bermanja, suami pun ada masa nak bermanja. Itu dah topik dalam alam perkahwinan.

Konteks ini hanya terpakai bagi pasangan yang berkahwin ya!

2. Dari sudut sebagai seorang wanita

Aku kurang bersetuju dengan konteks perlu nampak lemah atau vulnerable depan seorang lelaki. Apatah lelaki yang tak ada ikatan apa-apa. Suami bukan, adik beradik bukan, saudara mara pun bukan. Jodoh pun belum pasti. 

Apa yang dimaksudkan dengan 'vulnerable' dalam konteks di sini?

Nampak sisi kelemahan kita dengan sengaja. DENGAN SENGAJA. Bermakna benda yang boleh buat sendiri dengan kapasiti sendiri, sengaja dinampakkan tak mampu. 

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pandangan ini sebab aku baca juga ramai bersetuju bahawa sebagai seorang perempuan kita kena kurangkan jadi berdikari.

Aku hidup bujang tak lama sebab aku kahwin awal tetapi aku sempat merasa hidup berdikari sendirian di negara orang tanpa ibu bapa. Dan aku bersyukur sepanjang kami bertunang, tunang aku bagi ruang untuk aku berdikari, buat keputusan sendiri, jadi diri aku yang sebenar. Dia sikit tak kacau hidup aku selepas kami bertunang. Malah dia bagi aku nasihat untuk berhenti merasakan dia suami sebab kami masih lagi bertunang. Kahwin pun belum lagi tentu.

Bagi aku yang membesar sebagai anak sulung dan juga diajar oleh mak untuk berdikari, benda yang kita boleh buat sendiri seelok-eloknya buat sendiri. Mak aku juga ajar, dengan lelaki terutama lelaki yang tak dikenali, jangan nampak mudah didekati. Bahasa kasarnya, jangan nampak murah.

Aku pasti ramai kurang setuju dengan perkataan nampak murah, sebab ianya kasar. Dan perkataan nampak jangan mudah didekati juga menakutkan, kan? Hakikatnya orang perempuan sebaik mana jaga diri, dia tetap dijadikan mangsa.

3. Dari sudut sebagai seorang manusia

Bagi aku, tak perlu ubah diri jadi orang lain demi cinta. Kalau dah suka, berterus terang dan tunggu keputusannya bagaimana. Hatta nak mengorat sekalipun biar ikut cara yang Islam dah ajar. Tak perlu sampai buang karakter diri, sampai jadi berlakon.

Benar, ada lelaki yang suka bila melihat wanita seperti 'damsel in distress'. Ada juga yang lebih suka wanita yang punya pendirian sendiri. Namun, ada juga yang suka wanita yang boleh dikawal dan dibodohkan.

Dan sebenarnya wanita juga adalah ciri-ciri yang mereka cari. Wanita berhak memilih dengan lelaki bagaimana yang mereka ingin bersama. Bukan hanya lelaki yang boleh memilih. Kita sama-sama manusia.

Benarkan wanita yang berdikari sukar didekati lelaki?

Aku tak kata betul dan aku tak kata salah. Seperti yang aku tulis di atas, kita semua ada pilihan nak pilih pasangan hidup kita yang bagaimana. Kita nak pilih pasangan yang boleh sama-sama bergandingan bahu untuk membina keluarga atau kita nak pasangan yang boleh kita kawal ataupun kita nak pasangan yang menjadi satu bebanan. Pilih je.

Masyarakat kita melihat wanita yang berdikari, bekerjaya dan yang mempunyai kapasiti kewangan sebagai wanita yang tidak memerlukan lelaki dalam hidup mereka(?)

Bukan itu sahaja, ada aku baca yang mengatakan bahawa wanita yang inteleknya lebih pandai suka merendahkan lelaki yang lebih rendah daripada mereka(?)

Betul ke semua ni?

Pertama sekali, didikan masyarakat kita melihat wanita sebagai seorang yang seharusnya duduk di rumah membesarkan anak-anak, menjaga hal ehwal kebajikan keluarga, malah ibarat seorang hamba kepada suami yang tidak diberi ruang untuk memberi pendapat. Aku tak kata semua, tapi majoriti melihatnya begini. Aku dibesarkan dengan mindset begini. 

Namun ramai tak sedar, sebelum budaya wanita bekerjaya di pejabat korporat, budaya wanita bekerjaya ni sebenarnya sudah lama. Zaman dulu kita ada Mak Bidan Hujung Kampung, MakJah Tukang Jahit, MakNab Nasi Lemak, Kedai Runcit MakPeah yang diuruskan oleh wanita. Mereka juga merupakan isteri kepada seseorang. Cumanya pada ketika itu, tak ada 'nama glamor' untuk pekerjaan mereka dan skop pekerjaan mereka adalah untuk masyarakat setempat.

Ini membuktikan sebenarnya, ada sahaja sesetengah keluarga yang meletakkan kedudukan isteri bukan sekadar wanita yang duduk di rumah dan perlu 100% mendengar kata tanpa peluang bersuara. Suami isteri sama-sama mempunyai kerjaya untuk membantu ekonomi keluarga.

Yang kedua, aku sendiri tidak pernah perlekehkan mana-mana manusia baik lelaki mahupun wanita yang dikatakan kurang intelek. Secara statisknya, aku masih belum jumpa lagi adakah memang kebanyakan wanita yang tinggi intelek memang jenis memperlekehkan orang lelaki? 

Perlu diingat, budaya memperlekehkan orang ini tak semestinya dilakukan oleh orang wanita, tetapi juga lelaki. Kenapa bila orang lelaki buat ianya bukan satu masalah? Apa sebab kaum lelaki dibenarkan untuk memperlekehkan intelek orang lain? Hanya sebab mereka adalah lelaki?

Geram ni. Geram. Asyik asyik yang salah orang perempuan.

Pada aku, kalau terasa diperlekeh hanya kerana seorang wanita mampu selesaikan masalah dan beri pendapat yang bernas, itu cumalah perasaan. Adakah wanita tadi datang dan berbisik 'aku lagi pandai dari kau, kau tu apa ada'. Ada ke dia cakap begitu? Kalau sekadar perasan dan agak-agak, itu hanyalah sangkaan. Bukan fakta.

Sebenarnya, sesetengah wanita dia mencari suami bukan sebab dia nak bergantung tetapi dia perlukan pasangan hidup. Untuk duduk di sebelahnya, memahami isi hati dia, melihat sisi gelap dirinya, untuk menerima dirinya seadanya. Dan semua ini dia boleh buat bila dia jumpa seseorang yang dia betul betul percaya mampu.

Dan lelaki yang sebenar-benar lelaki, sepatutnya seorang lelaki yang memahami keperluan wanita dan menghormati wanita sebagaimana mereka juga seorang manusia. Bukan sibuk nak 'take control' wanita atau nak kena nampak 'lebih berkuasa' daripada wanita. Hormat itu akan hadir secara semula jadi.


Barang diingat, hormat bukan sesuatu untuk dituntut dirayu tetapi sesuatu yang diberikan secara suka rela atas dasar percaya, ikhlas, dan ihsan.


Kita pilihlah kita nak pasangan yang bagaimana dan bentuklah diri kita mengikut pasangan yang kita cari. Nak mudah, kita suka orang yang bagaimana? Jadilah diri itu. Bentuk dulu diri kita. Hakikatnya dalam perkahwinan memerlukan persefahaman dan persekufuan.

Isu jodoh atau tidak, itu kerja Tuhan. Bukan kita yang tentukan punca cepat ke lambat jumpa jodoh.





3 ulasan

  1. Setuju! It's ok buat buat bodoh kannn?

    BalasPadam
  2. isu panas kan minggu ni.
    kak pip mmg x suka buat bodoh2 ni.
    kalau tak boleh buat, mmg straight cakap x boleh buat, dan mmg akan minta tolong kat husband. husband pun jenis yang memahami.
    jodoh lambat cepat tu setuju sgt mmg urusan Tuhan.

    BalasPadam
  3. Isu panas...kita patut faham,, jodoh maut semua ditangan tuhan.. kadang bukan buat2 bodo.. tp dah ada pasangan nii.. kenalah berganding bahu.. time sorang buat cara sorang kan.. tak reti buat apa pun susah time sorang2.. sebab pasangan kita bukan selalu dgn kita..

    BalasPadam

Komen