Assalamualamualakum w.b.t
Aku bercerita agar ceritaku ini memberi harapan kepada mereka semua yang ingin berubah. Terutama buat mereka yang sudah putus harapan. Jangan risau, selagi masih ada peluang kita untuk berubah, ambillah peluang itu. Aku juga dahulu hanya budak hingusan yang tidak tahu apa-apa. Aku juga seperti orang lain.
Aku mula mengenali tudung labuh sejak aku melangkah ke usia 13 tahun. Usia yang sangat muda, usia yang masih lagi mentah. Pada ketika itu, aku memilih untuk mendaftar di salah sebuah sekolah agama berhampiran dengan rumahku. Aku memilih untuk mendaftar di sana kerana aku tidak memiliki pilihan yang banyak.
Namun, belajar di sekolah agama tak bermakna kita akan baik. Mungkin ramai yang fikir, kalau dihantar ke sekolah agama, akan berubah menjadi baik. Bukan aku ingin katakan tidak akan menjadi baik jika dihantar ke sekolah agama, tetapi mencari agama itu bukan semata-mata di sekolah agama kerana sekolah hanya mampu menyediakan suasana yang solehah dan pilihan adalah pilihan masing-masing untuk memanfaatkannya atau tidak.
Di sekolah aku memang memakai tudung bulat yang labuh kerana peraturan di dalam buku peraturan sekolah begitu. Di luar sekolah aku masih lagi mengenakan tudung bawal 45. Tahun pertama aku rasa kekok untuk keluar rumah dengan memakai bawal 45. Tahun kedua aku rasakan perkara itu perkara yang biasa. Bukan aku sahaja begitu, ramai lagi kawan-kawanku sebegitu dan sehinggalah aku mencecah ke usia 16 tahun. Aku berpindah ke sebuah sekolah agama lain. Sekolah agama yang jauh lebih ketat peraturannya. Namun, aku masih seperti dulu, keluar rumah dengan bawal 45. Apa yang berbeza, aku akan pastikan tudungku melepasi paras dadaku. Itu prinsip aku pada ketika itu. Dek kerana aku memiliki tubuh yang kecil, aku merasakan tiada masalah jika aku mengenakan tudung bawal 45.
Tahun berlalu dan melangkah ke usia 18 tahun. Aku mendapat tawaran biasiswa tajaan untuk menyambung pelajaran ke luar negara, di Rusia. Pada ketika itu aku tidak terfikir tentang apa yang bakal berlaku pada aku. Aku mendaftar seperti orang lain. Penampilanku juga tiada beza dengan orang lain. Sama sahaja. Namun semua kawan-kawan baruku tahu latar belakang aku. Sekolahku di mana, SPM aku bagaimana. Cuma padaku, semuanya dalam buku teks dan hanya di dalam dewan peperiksaan. Pada ketika itu, aku masih dapat berhubung dengan kawan-kawan sekolahku dan ramai yang berubah secara perlahan-lahan. Namun, aku masih seperti dahulu, malah semakin liar. Aku mula berjinak dengan selendang yang kecil. Mungkin aku masih tidak selesa jika tudungku tidak menutupi dada, aku sentiasa memastikan tudung aku menutupi dada. Pakaian aku pun mula mengecil. Sehinggalah aku menjejakkan kaki di tanah asing ini, Bumi Soviet ini.
Semester yang pertama aku masih sama seperti dulu. Tidak ada beza langsung. Sehinggalah aku diajak untuk menyertai usrah.
Di Bumi Soviet inilah aku belajar menghargai tarbiyyah. Di zaman sekolah dahulu aku rajin menghadiri usrah tetapi bukan kerana aku suka, tetapi aku rasakan semua orang juga menyertainya. Aku tidak merasakan zuq-nya.
Semenjak aku menyertai usrah, aku semakin memahami segala yang pernah aku pelajari dulu. Memahami dengan hati. Itulah penjelasan yang paling ringkas dan tepat. Aku semakin memahami maksud ‘menutup aurat’. Aku semakin memahami maksud ‘labuhkan kain ke paras dada’. Ayat itu aku ketahui semenjak aku berusia 14 tahun lagi. Surah An-Nur, ayat 31. Bukan lagi satu ayat yang asing buatku.
Aku memasang niat untuk memakai tudung labuh, tetapi aku tidak ada keberanian. Iyalah, semua orang mengenali aku seperti mana aku ketika itu. Berubah merupakan satu perkara yang sangat menyeramkan. Aku kuatkan semangat. Aku menelefon jauh ke Malaysia dan meminta tolong Ummi untuk mengepos tudung-tudung labuhku. Tak banyak yang aku miliki. Kebanyakannya tudung bulat yang dipakai masa di sekolah dahulu. Inisiatif lain yang aku ambil ialah membeli tudung secara ‘online’ di internet. Memang memakan kos yang tinggi, tetapi aku rasakan kerana Allah, aku tak rugi apa-apa. Sebelum aku membeli, aku mencari saiz apakah yang bersesuaian dengan aku. Mungkin aku kecil dari segi saiz tubuh badan, namun ketinggian aku tidak boleh aku abaikan. Aku terjumpa tudungnur ini dan mereka memberi garis panduan mengikut ketinggian untuk memilih saiz tudung. Nah, aku temui saiz tudungku. Tudung bidang 60 yang bersesuaian denganku. Kekok. Itulah perasaan aku apabila tudung yang ditempah tiba di hadapanku. Namun, untuk berubah ke arah kebaikan, aku tak akan rugi apa-apa.
Bulan berganti bulan. Sampailah saatnya aku pulang bercuti ke Malaysia. Kekok. Itulah gambaran aku. Mana tidaknya, aku pergi menuntut ilmu di Bumi Soviet, tetapi pulang seperti pergi belajar ke Mesir. Mungkinkah itu yang terlintas di fikiran orang tuaku? Namun, ayahku, Baba, tidak berkata apa apabila dia melihat penampilanku, malah dia sangat berbangga melihat aku. Sudah mula bertudung labuh, berstokin, berpakaian longgar. Katanya, “Ilmu Allah ada dimana-mana, tidak kiralah Kaklong belajar di Mesir atau di Rusia, jangan pernah tinggal untuk cari ilmu Allah. Ilmu duniawi itu tak salah untuk dicari tetapi ilmu Allah jangan kita lupakan”
Semasa bercuti aku berjumpa sahabat karibku. Penampilannya juga sudah berubah. Aku juga takut untuk berjumpa dengannya. Risau dia merasa pelik. Namun, ikatan kasih sayang kami kerana Allah. Saat Allah memberi hidayah kepada aku untuk berubah, saat itulah Dia memberi hidayah kepada sahabat karibku. Benarlah orang kata, kalau kita berubah kerana Allah, Dia akan datangkan orang-orang baik dan soleh kepada kita. Ibu kepada kawanku mempunyai bisnes tempahan untuk menjahit baju dan tudung. Aku gunakan peluang ini untuk meminta tolong kawanku menjahitkan beberapa tudung labuh untukku secara berbayar. Pertama kali aku ingin keluar rumah dengan memakai tudung labuh berjahit di tengah, aku rasa kekok. Namun, aku rasakan biarlah apa pun pandangan orang, yang penting apa yang aku lakukan adalah kerana Allah. Aku tidak rugi. Dan lama-kelamaan aku semakin selesa.
Kini aku hanya selesa untuk memakai tudung bidang 60.
“Berubah itu sangat sukar. Memakan masa yang sangat lama. Namun kuatkan hati kerana Allah. Percaya dengan Dia. InsyaAllah kita tak akan rasa apa-apa kerugian pun”