Carian

Tips Mengajar Pengurusan Kewangan kepada Anak-Anak

Kebanyakan kemahiran yang ramai orang nampak perlu diajarkan kepada anak-anak adalah kemahiran asas seperti survival skill. Ada satu kemahiran yang penting yang tidak ada di dalam mana-mana buku tetapi merupakan satu kemahiran penting iaitu kemahiran pengurusan kewangan. Sebenarnya ini adalah antara kemahiran yang penting untuk kita ajarkan supaya anak-anak dapat menjalani kehidupan yang lebih baik daripada kita hari ini.

Aku percaya yang ramai dalam kalangan kita sekarang dapat ilmu tentang kewangan sama ada melalui pengalaman atau pun melalui pembacaan daripada buku-buku kewangan yang terkenal. Zaman sebelum tamat pengajian di universiti dulu, suami aku memang baca salah satu buku Robert Kiyosaki. "Rich Dad, Poor Dad". Buku ini adalah titik tolak kami dalam pengurusan kewangan. Bila semakin dewasa, ada banyak lagi tokoh dan bahan bacaan yang lebih mendalam untuk kita teroka dan fahami tentang pengurusan kewangan.

tips mengajar pengurusan kewangan kepada anak-anak

    Bagaimana Mengajar Anak-Anak Tentang Kewangan

    Sebelum meleret, dalam entri kali ini aku nak berkongsi bagaimana kami suami isteri mengajar anak-anak tentang pengurusan kewangan terutama apabila mereka sudah mula masuk ke sekolah rendah. Dengan keadaan ekonomi dan pilihan yang pelbagai pada zaman sekarang, nak tak nak, kita sebagai ibu bapa perlu didik anak-anak dari rumah tentang pengurusan kewangan supaya mereka lebih bijak dan peka dengan hal ehwal kewangan.

    Soalan Menjentik Pemikiran

    Masa awal-awal Wildan masuk sekolah, duit dia mesti habis licin. Kalau bukan habis pada makanan, habis pada mainan. Pernah sekali tu, dia beli satu mainan dan terus buang sebab dia tak faham dan tak tahu cara nak main. Memang rasa nak marah tapi aku bertenang. Marah pun tak guna sebab duit dah habis. Paling-paling esok dia ulang benda yang sama, beli benda yang tak berfaedah lagi. Jadi, aku mabil pendekatan untuk bertanyakan soalan yang membantu dia berfikir. Sesi soal jawab sebenarnya bagus untuk menjentik daya pemikiran anak-anak berbanding arahan atau larangan. 

    Soalan yang aku tanya ringkas dan mudah difahami.

    "Adakah duit yang ada perlu dihabiskan?"

    Mulanya Wildan diam sahaja. Lepas tu barulah dia menjawab "Tak". Maknanya dia sudah mula faham, duit yang ada di tangan tidak semestinya dihabiskan terus. Baki yang ada boleh disimpan.

    Antara masalah anak-anak yang baru mendapat peluang membeli sendiri adalah perasan untuk membeli itu membuak-buak tetapi kemahiran membuat keputusan (decision making skill) pula masih lemah. Sebab tu larangan lebih membuatkan dia lagi nak beli berbanding tak beli. Dia jadi nak tahu kenapa tak boleh beli. Berbeza dengan kita tanya, perlu digunakan ke duit itu, dia akan jadi tertanya pada diri sendiri juga.

    Kalau anak-anak suka sangat beli makanan yang kurang sihat seperti jajan atau aiskrim atau apa-apa yang kita rasa tak perlu dibeli, tanya je soalan begini "Adakah makanan ini sihat?" atau "Adakah makanan ini sesuai untuk dimakan setiap hari?"

    Soalan-soalan begini bagus untuk buat anak-anak berfikir bukan sahaja semasa bersama kita tetapi lama-kelamaan mereka akan mula bertanya pada diri sendiri. Rajinkan tanya setiap hari. Percayalah lama-lama dalam tak sedar inner self anak-anak pun akan bertanya tanpa perlu kita tanya dulu dansecara tak langsung membentuk kemahiran membuat keputusan.


    tips mengajar pengurusan kewangan kepada anak-anak

    Catatan Perbelanjaan

    Sepanjang membesar Ummi aku sangat menekankan bab mencatat duit keluar masuk. Ummi aku dulu siap ajar catat duit keluar masuk guna Excel! Eh dulu memang ada beli Buku Wang Saku untuk kami adik beradik manfaatkan.

    Sekarang dah mula bagitahu anak-anak, terutama Wildan untuk peka dengan duit yang keluar atau mudah kata duit yang dibelanjakan. Belikan satu buku khas untuk dia catat dan simpan. Mencatat kewangan sebenarnya mendidik diri untuk berbelanja dengan cermat. Bila kita dah biasa mencatat, kita akan lebih peka dan lebih sedar masa berbelanja.

    Antara hasil daripada mencatat duit ni aku nampak masa bawa Wildan berbelanja di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) tempoh hari. Kami ada bagi Wildan sekitar 10% daripada duit raya dia untuk dibelanjakan apa-apa yang dia mahukan. Masa itu dia memang dah ada target nak belanja buku di PBAKL. Memang aku nampak, bila nak membeli buku, dia akan mencongak dan teliti dalam memilih buku yang hendak dibeli. Maknanya dia tidak semborono pilih buku tetapi memilih dalam keadaan sedar dan membuat keputusan yang bermaklum (informed decision).

    Simpankan Duit Raya/Pemberian

    Masa anak-anak kecik, setiap duit raya atau duit pemberian memang kami yang simpan. Sejak Wildan dah masuk 10 tahun, aku rasa dia sudah layak untuk pegang sedikit dan mengurus sendiri duit dia. Salah satu sebabnya dia sudah mula faham tentang nilai duit dan kebanyakan masa beraya orang akan bagi duit kepada dia. Bukan itu je, dia juga lebih sedar tentang jumlah wang yang ada. 

    Bila dah begini, aku terangkan secara ringkas tentang simpanan di bank atau mana-mana agensi kewangan seperti Tabung Haji kepada Wildan. Aku maklumkan supaya dia tahu, semua duit yang dia dapat disimpan di tempat yang lebih selamat untuk kegunaan 5-10 tahun ke hadapan. Kiranya mengajar menabung tetapi melalui simpanan bank. Alhamdulillah Wildan memang faham. Sebab itu kami boleh buat persetujuan dengan dia bagi 10% daripada jumlah duit raya untuk dia berbelanja.


    Sumber: time.com

    Keperluan vs Kehendak

    Kemahiran ini aku belajar bila aku dah dewasa, selepas berkahwin dan selepas bertahun-tahun menguruskan kewangan keluarga. Konsep ni suami aku yang kenalkan masa kami awal-awal kahwin. Kebanyakan orang kadang-kadang tak boleh nak bezakan antara perkara kehendak dan keperluan. Oleh sebab itulah, ramai yang mudah terjerat dengan hutang piutang yang boleh membankrapkan diri.

    Jadi macam mana aku ajar anak-anak untuk fikirkan tentang keperluan dan kehendak?

    Untuk anak-anak nak mengajarkan tentang keperluan dan kehendak memerlukan kreativiti kita dalam merangka soalan-soalan setiap kali kita membeli belah bersama anak-anak. Sebagai contoh, ada satu hari Mukhlis beli pensel yang agak unik di kedai buku sekolah. Harga pensel tu tak mahal, dalam RM1.50 (?). Pensel tu sangat jelas adalah satu kehendak. Jadi aku tanya pada Mukhlis 'Apa fungsi pensel ni?'. Dia jawab fungsinya untuk menulis. Aku tanya lagi 'Pensel yang sedia ada dalam bekas pensel tak boleh menulis ke?'. Mukhlis sedar yang pensel biasa pun memadai. Dia bagi senyum kambing je. Aku tanya juga kenapa dia beli dan dia cuma kata 'Muci nak beli'. Masa itu aku terangkan, pensel unik tu adalah satu kehendak, tidak ada pun tak jadi masalah. Dia faham. Tapi dia masih guna pensel tersebut.

    Cuba teka apa jadi pada pensel yang dibelinya sebulan kemudian?

    Sudah tidak wujud dan bila ditanya, dia sendiri tidak tahu pensel tersebut di mana. Memang nak marah tapi kadang-kadang benda-benda begini, susah untuk kita marah sebab itu adalah sebahagian daripada proses belajar tentang kehidupan.

    Permainan Pengurusan Kewangan

    permainan pengurusan kewangan untuk kanak-kanak

    Kalau nak tahu, aku ada terjumpa satu laman web yang sangat bagus untuk ajarkan anak-anak tentang kewangan. 

    mortgagecalculator.org

    Laman web ni sebenarnya bukan hanya permainan berkaitan dengan pengurusan kewangan tetapi ada juga fungsi-fungsi lain yang melibatkan pengurusan kewangan. Dalam entri ini aku cuma nak tekankan pasal permainan pengurusan kewangan. Aku dah cuba sendiri beberapa permainan dan aku rasa sangat bagus untuk belajar secara praktikal tentang pengurusan kewangan di sini.


    Antara permainan yang berkaitan dengan kewangan adalah :

    • Permainan perbankan - dalam bahagian ini permainan membawakan simulasi aktiviti perbankan yang asas seperti membuka akaun bank dan membuat transaksi di bank.
    • Permainan pelaburan - Permainan yang ringkas dan menyeronokkan ini membawa asas-asas pelaburan seperti simpanan, stok dan menunjukkan bagaimana nilai wang meningkat mengikut masa.
    • Permainan pembajetan - kemahiran pembajetan juga antara kemahiran dalam pengurusan kewangan yang penting. Permainan ini boleh mengajar tentang kepentingan membuat anggaran dan bajet untuk simpanan dan perbelanjaan.
    • Permainan membeli-belah - dalam permainan ini, anak-anak boleh belajar untuk membuat keputusan semasa membeli dan memahami nilai wang semasa membuat pembelian dan keputusan.
    Ini antara permainan yang menarik untuk mengajar pengurusan kewangan.

    Bagi aku, membentuk dan mengajar anak-anak tentang pengurusan kewangan memang seronok. Salah satu sebabnya adalah kewangan merupakan satu perkara yang kita perlu hadapi setiap hari dan realitinya dalam kehidupan sekarang kita perlu bijak mengurus dan merancang kewangan. Paling aku puas hati adalah bila aku dapat tengok depan mata sendiri bagaimana anak-anak aku mampu untuk buat keputusan pembelian tanpa perlu aku masuk campur.

    Walaupun anak-anak aku masih kecil, aku rasa pengurusan kewangan ni aku kena kenalkan awal supaya anak-anak aku tak mengulang kesilaopan yang aku buat semasa aku membesar. Biar dia buat silap awal-awal dan belajar untuk hidup yang lebih baik.

    Apa tips korang untuk ajar dan didik anak pasal kewangan ni? Cuba kongsikan dalam komen. Mana tahu boleh menjadi inspirasi kepada ibu bapa yang lain.

    Tiada ulasan

    Komen