Carian

Manfaat Coklat Untuk Kesihatan Wanita

Coklat merupakan salah satu manisan yang lazat menjadi kesukaan kebanyakan wanita. Salah seorangnya adalah aku. Dari kecil lagi memang aku gemarkan manisan yang berasal dari biji koko ini. Semakin gelap warnanya, semakin berselera aku untuk menjamah lagi-lagi sebagai kudapan kunyah-kunyah. Ramai yang menganggap manisan koko ini boleh menggemukkan dan tidak sihat tetapi ramai juga tidak tahu sebenarnya manisan koko ini mempunyai manfaat kesihatan untuk para wanita.

manfaat coklat untuk kesihatan wanita

    Sebelum kita kupas lebih lanjut tentang manfaat kesihatan, mari kita kenal dulu dengan jenis-jenis coklat yang ada di dalam pasaran.

    Jenis-jenis Coklat

    Dalam pasaran sedia untuk dimakan (ready-to-eat), lazimnya ada tiga jenis:

    1. Dark chocolate
    2. Milk chocolate
    3. White chocolate

    Perbezaan utama antara ketiga-tiga jenis ini adalah peratusan kandungan koko, susu dan gula di dalam sebatian. Berdasarkan kajian, coklat yang bagus adalah yang mempunyai kandungan koko 70% dan ke atas. Biasanya dikenali sebagai dark chocolate. Lazimnya dark chocolate mempunyai kandungan gula yang lebih rendah berbanding milk chocolate dan white chocolate. Rasanya tidak terlalu manis, tidak juga terlalu pahit. Sedang elok rasa koko, manis dan pahit dalam satu gigitan dark chocolate. Tambahan pula digabungkan dengan kekacang seperti badam, hazelnut dapat membantu memberikan manfaat kesihatan yang lebih baik.

    Selain daripada tiga jenis ready-to-eat chocolate, terdapat beberapa lagi jenis yang ada di pasaran sama untuk tujuan eksklusif, dekorasi dan masakan seperti baking. Untuk entri ini kita fokuskan pada tiga jenis sahaja sebab biasanya yang mudah dijumpa adalah white chocolate, milk chocolate dan dark chocolate.

    Manfaat Semasa Menstruasi

    Hubung kait antara coklat dan wanita, terutama dalam fasa sebelum datang bulan atau premenstrual syndrome (PMS), adalah satu perkara biasa yang diperhatikan dalam kebanyakan budaya. Dalam fasa PMS, perubahan hormon semula jadi yang berlaku dalam sistem peranakan akan menyebabkan perubahan mood atau mood swings pada kebanyakan wanita dan fasa ini adalah fasa wanita mudah marah/terasa ataupun easily irritated. Haa, dalam fasa ini jangan main-main ya. Ada masa perkara kecil boleh jadi besar. 

    Aku sendiri memang ada masa mengidam makanan atau minuman yang berasaskan koko beberapa hari sebelum datang bulan. Malahan, pada beberapa hari pertama datang bulan, comfort food aku adalah yang berasaskan koko. Sebenarnya ada penjelasan dari sudut saintifik kenapa perkara ini berlaku dan ianya berkait rapat dengan membantu perubahan hormon dan mood yang berlaku sepanjang dalam kitaran haid seorang wanita.

    1. Peningkatan Mood

    Dalam manisan koko ini, ada satu sebatian yang boleh membantu merangsang hormon endorfin, iaitu hormon yang dapat memberikan perasaan gembira dan membantu mengurangkan tekanan. Endorfin merupakan salah satu 'feel good hormone' yang menggalakan perasaan gembira dan melegakan kesakitan. Oleh itu, dengan pengambilan coklat, ianya dapat membantu merangsang endorfin dan meredakan mood swings dan memberikan perasaan yang lebih tenang kepada para wanita, terutama ketika dalam fasa PMS.

    2. Kandungan Magnesium

    Semasa mengalami haid atau menstruasi, wanita cenderung mengalami tahap magnesium yang rendah. Kekurangan magnesium boleh membawa kepada gangguan mood dan sekali lagi perasaan mudah marah. Mengidam untuk makan coklat semasa datang bulan merupakan salah satu cara untuk badan seorang wanita mencari magnesium bagi membantu menyeimbangi emosi mereka pada ketika itu. 

    3. Peningkatan Serotonin

    Koko mengandungi triptofan, sejenis asid amino yang membantu rembesan kimia yang dinamakan serotonin di dalam otak. Serotonin adalah sejenis neurotransmiter yang penting untuk mengawal mood dan emosi. Tahap serotonin yang rendah dikaitkan dengan gangguan mood seperti masalah tidur, kegelisahan dan kemurungan.

    manfaat coklat untuk kesihatan wanita
    Gambar dari: rawpixel.com


    Manfaat Keseluruhan Kesihatan Wanita

    daMari kita lihat manfaat daripada manisan yang berasah daripada buah koko ini boleh berikan kepada kesihatan seorang wanita secara keseluruhannya.

    1. Kesihatan Jantung

    Kandungan flavonoid di dalam dark chocolate mampu mempertingkatan fungsi aliran salur darah, mengurangkan tekanan darah dan merendahkan risiko sakit jantung. Beberapa kajian telah dijalankan dan didapati pengambilan dark chocolate secara sederhana dapat merendahkan risiko masalah kesihatan jantung dalam kalangan wanita.

    2. Membantu prestasi otak

    Selain daripada memberikan manfaat kepada kesihatan jantung, flavonoids juga membantu meningkatkan fungsi kognitif, iaitu fungsi otak. Flavonoids membantu meningkatkan aliran salur darah kepada otak seterusnya membantu meningkatkan memori, fokus dan fungsi kognitif secara keseluruhannya. Ianya sangat membantu bagi wanita kerana wanita sentiasa bertarung dalam melaksanakan pelbagai tanggungjawab dalam satu masa, antaranya suri rumah.

    3. Kandungan Antioksida yang Tinggi

    Antioksida berpotensi untuk membantu memperlahankan proses penuaan dan menggalakan kesihatan kulit. Ini kerana antioksida membantu melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel dalam badan. Radikal bebas merupakan salah satu penyebab kepada penyakit kanser dan juga yang mempercepatkan proses penuaan badan. Ada kajian yang membuktikan bahawa koko dan dark chocolate mempunyai kapasiti antioksidan (ORAC) yang lebih tinggi daripada buah kranberi, acai beri dan juga beri biru!

    4. Mengurangkan Tekanan

    Wanita cenderung terdedah kepada tekanan sama ada di rumah mahupun di tempat kerja. Dengan pengambilan makanan berasaskan koko seperti dark chocolate, dapat menggalakan hormon-hormon yang membantu kawalan tekanan dan kesihatan emosi secara keseluruhan.

    5. Keseimbangan Hormon

    Wanita dan perubahan hormon tidak dapat dipisahkan. Kehidupan seorang wanita berkitar kepada kitaran haid yang melibatkan beberapa hormon. Perubahan-perubahan hormon yang berlaku memberi kesan terhadap mood dan emosi wanita. Kandungan dalam koko dapat membantu keseimbangan hormon sekaligus membantu mood dan emosi.

    manfaat coklat untuk wanita
    Gambar dari : rawpixels.com

    Perlu diberi perhatian bahawa manfaat-manfaat ini berkaitan dengan pengambilan dark chocolate berkualiti tinggi yang mengandungi gula tambahan yang sangat sedikit secara sederhana. Walaupun banyak kajian menunjukkan manfaat kesihatan, adalah penting untuk menjaga diet yang seimbang, rujuk dengan pakar kesihatan dan amalkan pengambilan secara sederhana demi keseluruhan kesihatan wanita.

    Tips Memilih Coklat

    Beberapa faktor perlu diambil kira semasa memilih coklat. Ini adalah beberapa tips mudah untuk membuat pilihan, lagi-lagi yang baru nak mula ambil dark chocolate.

    1. Peratusan koko

    Sebaiknya pilih peratusan koko yang lebih tinggi daripada 50% kerana manfaat kesihatan adalah lebih banyak. Kalau ikutkan, sekurang-kurangnya koko 70%, tetapi jika baru nak mencuba dark chocolate, boleh cuba dulu koko 50% untuk rasa dulu kadar pahit dan manis. Ada sesetengah orang, peratusan koko 70% adalah terlalu pahit. Bagi aku pula, 70% adalah sedang elok dan aku lebih suka jika kandungan koko 80%.

    2. Kandungan campuran

    Untuk dapatkan manfaat kesihatan yang terbaik, elakkan kandungan yang mempunyai tambahan bahan seperti gula dan pengawet yang berlebihan. Kadang-kadang, kandungan koko sudah bagus tetapi kerana kandungan gula yang tinggi membantutkan manfaat kesihatan dan membawa kepada kemudaratan.

    3. Pensijilan

    Bagi yang beragama Islam, pensijilan Halal adalah sangat penting dari sudut hukum dan kebersihan. Selain itu pensijilian sijil organik juga memberikan maklumat cara penanaman dan pemprosesan yang berkualiti tinggi.

    Faktor-faktor pemilihan ini sebenarnya adalah untuk pastikan pemilihan coklat yang berkualiti dan untuk dapatkan manfaat koko yang sebaiknya.

    Semoga bermanfaat!

    1 ulasan

    1. Coklat memang sedap and banyak kelebihan. Tapi tak boleh terlalu kerap makan.

      BalasPadam

    Komen