Carian

Manfaat Cuti Sekolah Untuk Anak-Anak

Cuti sekolah sebenarnya satu ruang masa untuk anak-anak 'lari' sekejap daripada kesibukan menuntut ilmu. Alah, sama juga seperti kita orang dewasa, anak-anak juga perlukan 'break' daripada segala tekanan dan kesibukan. Bayangkan sepanjang sesi persekolahan, dari pagi awal lagi anak-anak bangun awal, kemudian ada aktiviti selepas sekolah seperti kelas tambahan dan ada pula kerja rumah yang perlu disiapkan, hari sekolah dah seperti maraton. Semuanya berkejaran. Sebab itulah, cuti sekolah adalah penting terutama untuk anak-anak kita yang masih belajar tentang realiti kehidupan. Selain daripada untuk berehat, masa cuti ini juga merupakan satu peluang untuk anak-anak berkembang, belajar, dan berseronok dengan cara yang baru di luar daripada sesi persekolahan

Jarang-jarang orang nak kupas tentang cuti sekolah, kan? Kali ini kita nak kupas sedikit kenapa cuti sekolah adalah perlu untuk perkembangan anak-anak dan bagaimana kita, sebagai ibu bapa, boleh gunakan waktu ini untuk anak-anak belajar, bentuk peribadi dan kembangkan bakat yang mereka ada.

    manfaat_cuti_sekolah

    Rehat dan Pemulihan

    Untuk pengetahuan, anak-anak kecil terutamanya yang berusia 15 tahun ke bawah memerlukan rehat yang secukupnya untuk pertumbuhan dan perkembangan mental dan fizikal yang sihat. Cuti sekolah adalah peluang kepada anak-anak untuk dapatkan tidur yang cukup. Waktu cuti merupakan waktu yang terbaik untuk mereka 'slow down' daripada kesibukan sepanjang sesi persekolahan dan pada masa yang sama dapat kurangkan tekanan emosi yang mereka hadapi di sekolah. Nampak macam anak-anak tak ada tekanan emosi, tetapi mereka juga manusia seperti kita yang dewasa. Lagi-lagi dengan zaman sekarang yang ada sosial media, anak-anak sangat rapuh dari sudut emosi jika tidak diberikan rehat yang cukup dan 'break' daripada kawan-kawan di sekolah.

    recharge masa cuti sekolah
    Sumber gambar: www.rawpixel.com

    Ini juga waktu untuk anak-anak 'recharge' atau kumpulkan semula tenaga-tenaga yang sudah mereka gunakan sepanjang sesi persekolahan. Bayangkanlah masa sekolah, ada masanya rehat tak cukup, kerja sekolah sentiasa ada, tenaga habis digunakan sepanjang berkomunikasi dengan kawan-kawan dan cikgu-cikgu. Masa cuti inilah untuk mereka keluar daripada kitaran kesibukan sekolah tadi dan lupakan seketika masalah atau konflik yang ada di sekolah. Ada masanya, waktu beginilah mereka jumpa solusi atau jalan penyelasaian untuk masalah yang ada. Nanti, sekembalinya ke sekolah anak-anak dah ada tenaga dan semangat yang baru, sekaligus membantu untuk mereka serap ilmu dengan lebih baik dan efektif.

    Peluang untuk Perkembangan Peribadi

    Tahu tak, waktu cuti sekolah adalah peluang untuk anak-anak belajar dan kembangkan minat yang mereka ada di luar sekolah?

    Inilah masanya kita sebagai ibu bapa untuk berikan galakkan kepada anak-anak untuk mencuba perkara baru atau meneroka hobi sudah lama mereka ingin lakukan. Contohnya, anak-anak minat untuk belajar tentang komputer. Kita boleh bagi mereka peluang untuk masuk kelas tentang komputer atau ajarkan apa yang kita tahu sendiri di rumah. Bergantung kepada bajet dan ruang masa yang kita ada. Ada banyak hobi-hobi yang boleh kita perkenalkan atau kita kembangkan dari anak-anak. Dengan teknologi sekarang, peluang untuk belajar perkara baru adalah tidak terbatas. Semuanya di hujung jari, tinggal hendak atau tidak sahaja. Ruang untuk kembangkan kemahiran selain daripada kemahiran di sekolah sebenarnya sangat penting untuk membentuk peribadi dan personaliti anak-anak. Anak-anak yang ada kemahiran yang ekstra mampu pergi jauh di masa hadapan.

    program cuti sekolah

    Bukan itu sahaja, zaman sekarang sangat mudah untuk mendapatkan maklumat tentang aktivti-aktiviti sepanjang cuti sekolah. Salah satu tempat mudah untuk mencari aktiviti adalah di Facebook atau Telegram. Banyak iklan ataupun maklumat tentang aktivti diiklankan sebulan ataupun beberapa minggu sebelum cuti bermula untuk mudah ibu bapa membuat keputusan dan merancang. Dengan aktiviti-aktiviti di luar sekolah sebenarnya anak-anak belajar untuk berkomunikasi, bergaul dengan orang baru dan mungkin juga dapat kawan baru selain daripada kawan di sekolah.

    Peluang Masa Berkualiti dengan Keluarga

    Dalam sedar tak sedar, waktu cuti sekolah juga sebenarnya menawarkan peluang kepada kita ibu bapa untuk gunakan bagi mencipta memori dan kukuhkan hubungan dengan anak-anak. Inilah masanya untuk merancang aktiviti yang menyeronokkan. 

    Tidak kira sama ada hanya di rumah ataupun keluar berjalan-jalan melawat tempat baru dengan anak-anak. Antara aktiviti yang tidak perlu keluar rumah adalah memasak bersama anak-anak, main permainan papan seperti Sahibba atau Saidina, ataupun bermain permainan kad seperti Happy Family atau Uno. Tidak perlu keluarkan modal yang banyak tetapi sesuai untuk 'bonding time' dengan anak-anak. Kalau tak tahu sangat nak buat apa, boleh tengok pada idea-idea aktiviti untuk anak-anak yang ada di sini.

    aktiviti cuti sekolah

    Kalau ada bajet, boleh rancang untuk pergi bercuti ke mana-mana negeri atau negara bawa anak-anak berjalan mengenal tempat orang. Mengembara atau 'traveling' adalah salah satu cara untuk habiskan cuti dengan baik. Sebab perkara ini mendedahkan anak-anak kepada kemahiran kehidupan, antaranya kemahiran survival. Selain itu, traveling juga bagus untuk dedahkan kepada anak-anak budaya dan adat yang berbeza supaya anak-anak belajar untuk menerima realiti dengan hormat. 

            Baca: Zoo Negara

    Secara tak langsung, ruang sebegini mampu memberi ruang untuk kita ibu bapa mengenal anak-anak dengan lebih dekat. Sebab apabila anak-anak masuk alam persekolahan, mereka sudah ada dua dunia, satu di rumah dan satu di sekolah. Jika waktu cuti ibu bapa tak manfaatkan dengan baik, ada kemungkinan hubungan dengan anak-anak semakin regang dan akhirnya anak-anak mencipta satu dunia yang favorable kepada mereka dalam diam.

    Membentuk Disiplin dan Jati Diri

    Apabila masuk cuti sekolah, kadang-kadang kita terlalu 'lenient' ataupun kurang beri perhatian dengan disiplin anak-anak. Sedangkan sepanjang sesi persekolahan, kita dah bentuk anak-anak untuk bangun awal pagi, bersiap, isi masa dengan baik. Tapi apabila masuk musim cuti, kita biarkan sahaja anak-anak tanpa sebarang panduan.

    Anak-anak ini sedang membesar dan perlukan bantuan kita sebagai ibu bapa untuk mereka membina diri sendiri sebelum mereka mampu untuk hidup sendiri di kemudian hari. Waktu cutilah untuk kita ajar anak-anak buat jadual dan urus masa lapang sendiri. Dengan cara ini, anak-anak dapat belajar disiplin diri dan pengurusan masa yang baik. Boleh juga galakkan anak-anak untuk merancang aktiviti cuti sendiri untuk meningkatkan kemahiran membuat keputusan dan memberi mereka ruang untuk membuat keputusan secara matang. Ruang sebegini tidak diberikan semasa sesi persekolahan tetapi kemahiran untuk mengurus masa, merancang aktiviti dan membentuk disipilin serba serbi membantu meningkatkan jati diri anak-anak.

    manfaat cuti sekolah
    Sumber gambar: www.rawpixel.com

    Nampak, kan? Cuti pun boleh memberi manfaat kepada anak-anak. Waktu cuti sekolah adalah ruang waktu untuk anak-anak berehat, belajar, berkembang, dan berseronok di luar waktu persekolahan. Sebagai ibu bapa, kita perlu pastikan bahawa anak-anak mampu memanfaatkan cuti dengan baik. Sebenarnya dengan cara kita bantu anak-anak semasa cuti dapat pastikan anak-anak kembali ke sekolah selepas cuti dengan rasa segar, gembira, dan bersedia menghadapi sebarang cabaran akademik yang akan dihadapi.

    Semoga bermanfaat dan selamat bercuti!



    Tiada ulasan

    Komen