Carian

4 Cara Kurangkan Sakit Senggugut Tanpa Makan Ubat

Orang perempuan bila datang bulan atau datang haid, sesetengahnya memang biasa akan dapat senggugut. Ada yang sakitnya ringan-ringan, masih boleh buat kerja dan aktiviti harian seperti biasa. Ada juga jenis yang sakitnya sampai terganggu aktiviti harian yang biasa dilakukan. Hatta sampai terpaksa ambil MC. Tahap kesakitan pun sebenarnya berbeza-beza antara orang. Ada orang dia memang biasa tahan sakit, ada juga tak boleh tahan. Dan ianya ni tak semestinya datang setiap bulan. Lain-lain orang, memang lain-lain lah pengalamannya. Malahan ada juga antara orang perempuan yang tak pernah lalui.

kurangkan sakit senggugut tanpa ubat


    Apa itu senggugut?

    Bagi yang tak tahu, senggugut ataupun bahasa inggerinya kita panggil 'period pain' atau 'menstrual cramp' biasanya kesakitan yang dirasakan pada bahagian bawah perut dekat dengan kedudukan rahim, di bahagian pelvis. Sakit yang dirasakan adalah mencucuk pada bahagian tersebut. Seringkali diiringi dengan simptom lain seperti sakit belakang, sakit kepala, cirit birit ataupun muntah. 

    Nama saintifiknya 'dysmenorrhoea'.

    Cara sebutnya begini DIS-ME-NO-RIA

    Kalau susah nak sebut, taip sahaja di Google dan klik pada gambar speaker. Nanti dia sebutkan dengan sebutan yang betul.

    Dysmenorrhoea ini pula ada dua jenis. Primer (primary) dah sekunder (secondary). Dalam ini kita bercakap tentang primary dysmenorrhoea sahaja. Yang mana kebanyakan wanita alami ketika datang haid.

    Kenapa senggugut berlaku?

    Jawapan mudah: kekejangan rahim semasa haid.

    Jawapan susah: ada beberapa faktor yang menjadi punca, antaranya hormon tidak seimbang dan masalah kesihatan berkaitan rahim.

    Tempoh sakit yang dialami adalah berbeza-beza antara wanita. Ada yang sakit cuma sehari. Ada yang sampai berhari-hari. Ada yang sehari dua sebelum datang bulan dah rasa sakit. Ada juga yang selepas dua tiga hari datang bulan baru rasa. Sebab tu, tak boleh bandingkan tahap sakit ke tempoh sakit antara orang. Sebab badan masing-masing berbeza.

    sakit senggugut
    Gambar dari rawpixel.com

    Cara kurangkan sakit senggugut

    Aku pernah rasa sakit yang sampai muntah-muntah dan pitam. Masa tu aku tingkatan tiga, tengah ambil peperiksaan percubaan PMR. Memang masa tu jawab soalan laju-laju dan terus keluar dewan. Tak sempat pun nak semak jawapan. Dalam berjalan ke pintu dewan, aku pitam. Cikgu bawa pergi bilik sakit. Lepas sampai sana, aku muntah pula. Seksa ya masa tu sebab masa tu selera makan pun tak ada. Maka boleh bayanglah bagaimana sakitnya.

    Pernah juga rasa sakit yang sampai tahap guling-guling atas katil tapi sakitnya tak nak juga hilang. Dan pernah juga merasa sakit manja-manja boleh tahan sambil aku buat kerja-kerja rumah macam biasa. Ada banyak cara untuk kurangkan sakit period pain tanpa makan ubat tahan sakit atau panadol pink yang khusus untuk menstrual. Ini adalah empat perkara yang biasa aku buat.

    1. Tuam air suam pada bahagian yang sakit. 

    Ini kaedah paling klasik dan paling mudah. Kalau ada tungku, boleh guna tungku. Kalau tak ada, isi air suam dalam botol air dan letak pada bahagian yang sakit. Perlahan-lahan akan kurang rasa sakit. Kalau tak ada, sekarang ada jual heat pad khusus untuk period pain. Aku pernah beli dan aku puas hati guna. Cuma benda pakai buanglah. Sekali dah pakai tak boleh guna dah. Nak mudah beli sahaja heat pack yang boleh isi air panas atau jenis yang rechargeable. 

    2. Mandi air suam

    Salah satu kaedah yang juga klasik dan paling mudah. Bila datang haid, memang waktu mandi akan jadi lama sikit sebab nak legakan sakit. Air suam ni membantu otot yang kejang tadi relaks. Maka rasa sakit pun kurang. Biasanya dia tak tahan lama, lepas siap mandi beberapa minit lepas tu sakit akan datang balik. Tapi sekurang-kurangnya sakit tadi tidaklah berpanjangan.

    3. Buat senaman khusus untuk kurangkan sakit

    Cara ni aku baru mula buat tahun ini, tahun 2023. Sebabnya tahun ini, azam aku adalah untuk rajin buat senaman. Senaman yang mudah-mudah je. Biasanya aku buat yoga. Bila datang haid, kena pula sakit sekali dengan sakit belakang, period pain lagi, memang jadi tak larat nak buat senaman yang biasa buat. Jadinya, aku cari senaman yang khusus untuk period pain. Cari sahaja di YouTube, baaanyak senaman-senaman untuk kurangkan period pain.

    4. Banyakkan minum air kosong

    Kekurangan oksigen dalam badan, boleh menjadi salah satu punca kekejangan otot rahim menjadi kuat. Jadinya, pastikan air kosong jangan skip. Kadang bila datang haid, dia punya mood nak makan benda-benda manis memang macam menggila tapi untuk kesihatan badan pastikan air kosong minum secukupnya.

    Gambar dari rawpixel.com

    Antara alternatif lain yang ada selain empat di atas adalah dengan mencegah sakit itu daripada datang. Salah satu cara adalah dengan mengamalkan pemakanan maajun atau jus jamu. Benda-benda ni bukan masa sakit baru nak makan, ianya pengamalan yang berterusan untuk kurangkan sakit semasa datang haid nanti. Ala-ala makanan tambahan sambil sihatkan tubuh badan lah. Aku pernah je amalkan jus jamu yang dibuat oleh bibik aku dan memang masa datang bulan, tak rasa sangat sakit. Tapi itulah, kalau dia tak buat, tak ada lah diamalkan.

    Kalau dah buat semua ni, sakit masih ada, aku memang akan telan ubat tahan sakit sama ada paracetamol atau ponstan. Kalau tidak, memang akan jadi terbaring, berguling-guling sakit. Jarang-jarang sebenarnya aku akan telan ubat melainkan aku perlu kekalkan momentum untuk buat kerja-kerja rumah atau uruskan anak-anak sekolah.

    Perlu jumpa doktor tak sakit senggugut?

    Perlu, bila sakit yang datang terlalu kuat dan mengganggu rutin harian. Sakit yang melampau-lampau sampaikan makan ubat tahan sakit juga tak kurang sakitnya, sila pergi jumpa doktor. Ada juga yang bagitahu kalau setiap bulan bila datang haid kena sakit yang teruk sampai muntah, kena ambil MC sehari dua, perlu pergi jumpa doktor untuk buat pemeriksaan yang lebih terperinci. 

    Kemungkinan sakit yang dirasakan adalah sebenarnya 'secondary dysmenorrhoea'. Secondary dysmenorrhea biasanya berpunca daripada penyakit-penyakit yang tak diketahui berkaitan dengan ovari. Antara penyakit biasa berkaitan masalah ini adalah endometriosis atau kanser ovari. Rawatan untuk secondary dysmenorrhoea ni akan bergantung kepada diagnosis doktor selepas pemeriksaan.

    Senggugut mungkin sakit yang datang ketika haid, tapi ianya juga boleh jadi penanda kepada penyakit berkaitan masalah rahim yang tak disedari. Jangan ingat asal boleh tahan, tiada masalah. Memang ada yang sakit datang setiap bulan sampai seharian tak boleh bangun dan buat apa-apa kerja dan bila buat pemeriksaan dengan doktor, tak ada apa-apa masalah. Cuma, kalau tak pernah buat pemeriksaan, silalah buat. Badan orang lain-lain.


    Baca juga: ubat buasir

    Tiada ulasan

    Komen