Carian

#SLMScLife EP1: Pengalaman Persidangan Akademik Pertama

Assalamualaikum dan hai

Kali ni aku nak buat satu hashtag baru sebagai kenangan dan sebahagian dokumentasi perjalanan sepanjangan bergelar pelajar sarjana. Secara rasminya, aku mendaftar sebagai pelajar bulan September 2019. Niat nak sambung belajar sejak dari habis degree lagi tapi banyak keutamaan lain yang perlu aku dahulukan sebelum dapat betul-betul mulakan perjalanan dunia sarjana.

Rezeki aku dapat sambung sarjana dalam mod kajian atau master by research. Jauh dari apa yang aku target sebenarnya. Aku target nak sambung mod kursus (coursework) dan bukan bidang kejuruteraan. Tapi, aku percaya rezeki yang dapat sekarang ni Allah yang bagi dan Dia lebih tahu apa yang terbaik. Perjalanan aku berjumpa dengan penyelia dan mendaftar sangat lancar sampailah hari ni. Doakan semuanya berjalan lancar sampailah aku viva nanti! Amin.

InsyaAllah lepas entri ni, aku akan dokumenkan cerita macam mana boleh sambung masuk balik universiti untuk sarjana mod kajian. (Aku sendiri masih tak percaya)

#slmsclif , first conference


Untuk kali ini, nak cerita pengalaman pergi persidangan akademik yang pertama sejak bergelar pelajar sarjana. Aku rasa aku dapat pergi persidangan macam sangat cepat sebab aku mendaftar bulan September dan bulan Oktober artikel yang aku tulis diterima! Masa dapat emel mengatakan artikel aku diterima dan bakal dicetak dalam jurnal yang dipilih, rasa macam gugur kejap jantung. Tak tahu nak react macam mana mula-mula tu. Gementar, rasa macam eh apa ni, risau, gembira. Bercampur baur habis.

Aku masih baru dalam dunia penyelidikan akademik. Sebagai anak kepada seorang pensyarah, aku tahu maksud dapat jemputan ke persidangan biasanya pergi untuk bentangkan kajian kita pada orang-orang yang ada di persidangan. Banyak kali dah kami ikut Ummi pergi ke mana-mana sebab ikut dia hadir persidangan. (Habis persidangan, boleh jalan-jalan. Sehari pun jadi).

Tarikh persidangan dalam sebulan lebih lagi. Penyelia awal-awal dah maklumkan yang aku akan pergi seorang memandangkan dia tengah cuti bersalin. Dan satu lagi nama pengarang utama untuk artikel adalah nama aku. Memang aku yang tulis dari A sampai Z. Serius terkejut sangat bila diterima. Sebab aku memang tersangat newbie dalam menulis artikel akademik, nak pula yang bentuk kajian pustaka.

Seriuslaaaa

Persidangan bakal diadakan di Langkawi, hujung bulan November. Memandangkan penyelia daftarkan aku sekali dengan bilik hotel bawah penaja, aku decide untuk bawa suami dan anak-anak. Alang-alang tu bila dah habis program boleh berjalan-jalan sekitar Langkawi (mana yang sempat lah, kan).

Pada hari nak pergi, anak-anak semua seronoklah dapat naik kapal terbang. Aku pun tumpang teruja sebab dah lama tak berjalan jauh ataupun travel dan teruja nak buatkan aktiviti berkaitan kapal terbang untuk anak-anak. Oh ya, insyaAllah nanti aku akan tuliskan satu ruangan untuk tips bawa anak travel dalam kapal terbang berdasarkan pengalaman (dulu zaman degree rajin naik flight, sekarang dah kurang)

Sedar tak sedar hari persidangan makin dekat. Macam-macam aku tanya Ummi untuk persediaan pergi persidangan. Dari buat slide persentation untuk bentang kajian, cara buat slide. Aku rujuk juga penyelia untuk semak slide presentation dan hal-hal berkait persidangan untuk pelajar. Aku jarang kacau dia sebab dia tengah pantang. Nak biar dia rehat dulu.

Kalau pergi sebagai pelajar, macam di UKM, ada beberapa borang yang perlu diisi terutamanya bila korang merupakan seorang Graduate Research Assistant di bawah mana-mana geran. Supaya segala aktiviti di bawah tujuan kajian dibiaya oleh geran dan korang sendiri. 

Lagi dua minggu nak pergi, aku punya tahap gementar, setiap hari buka slide, buka artikel dan edit selagi boleh. Lepas tu, asyiklah bercakap sorang-sorang record dan set timer. Sebab masa untuk bentang cuma 12 minit termasuklah sesi soal jawab. Aku rasa pendek sangat masa yang diberikan sampaikan berpuluh recording dalam handphone semata-mata nak latih supaya boleh bercakap ringkas dan padat. Dan sebenarnya benda yang paling aku risau adalah sesi soal jawab. Kalau aku tak boleh jawab macam mana. Nak nangis rasa kalau tak boleh jawab. Kalau ingat sekarang rasa macam lawak, tapi untuk persidangan lepas ni aku akan buat lagi habit ni sebab membantu untuk aku tenang dan bersedia. Hehe.

So, sehari sebelum terbang aku baru perasan yang tiket penerbangan yang kami beli untuk ke Langkawi adalah penerbangan petang. Sampai sana dah gelap! Baru ingat nak jalan-jalan sikit dulu sehari sebelum persidangan, kemudian sambung lepas persidangan habis nanti. Sudahnya hari yang sampai tu, malam tu aku terus siap-siap untuk persidangan. Malam tu memang sangat gementar. Risau ada, teruja pun ada! Celaru kan?

Pada hari persidangan, aku tak adalah sampai awal tapi tak lambat sebab persidangan buat dekat bilik seminar yang disediakan oleh hotel yang kami duduk. Nama pun, bayar yuran sekali dengan bilik. Memandangkan aku tak kenal sesiapa di sana, memang aku duduk sorang je. Aku bukan kisah sangat kalau duduk sorang dalam ramai orang. Rasa seronok pun ya. Hehe.

Sebenarnya datang persediangan ni seronok juga. Dapat kenal kawan baru, dapat tengok kajian orang, dapat tengok cara orang bentang. Masa pembukaan dan ucapan dari 'keynote' speakar, aku dapat tengok sebenarnya dunia penyelidikan ni banyak lagi perlu diterokai dan Malaysia tak pernah putus untuk buat penyelidikan baru. Cuma, adalah sedikit kekurangan bila mana ada sesetengah kajian tinggal menjadi tesis di perpustakaan. Isu ini juga diketengahkan oleh keynote speaker. Prof Abd Wahab. Kata beliau, sebagai orang akademik yang diberikan peluang untuk buat penyelidikan sepatutnya kita teruskan penyelidikan walaupun dah graduate nanti. Biar boleh berbakti secara holistik kepada masyarakat.

So setakat itulah cerita pasal persidangan akademik pertama yang aku hadiri. InsyaAllah lepas ni nak join banyak lagi persidangan untuk grab lagi banyak ilmu dan idea. Doakan aku kental semangat untuk habiskan perjalanan sarjana.


1 ulasan

  1. Semoga dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan ya. Semoga berjaya dengan research master !

    BalasPadam

Komen