Carian

#SLMScLife EP3: Persiapan ke alam Pascasiswazah (Research Mode)

Assalamualaikum dan hai!

Asalnya aku tulis entri ini untuk aku publish masa bulan Februari tapi kekangan masa sangat banyak dan sudahnya draft tinggal sepi tak disentuh. Sehinggalah Perdana Menteri kelapan memberikan arahan Kawalan Pergerakan pada 16 Mac yang lalu. Dapatlah aku buka laptop dan siapkan artikel untuk blog. Sebenarnya dah lama nak kongsikan pasal ni sebab masa aku sambung belajar, kebanyakan perkongsian tak berapa selari dengan apa yang aku lalui.

Untuk entri kali ini, aku nak kongsikan persediaan yang perlu ada jika sekiranya ada yang berminat untuk sambung belajar pascasiswazah lagi-lagi dalam mod kajian (research mode)

Aku tahu, dah banyak dah tips kat luar berkaitan persiapan untuk sambung Master ni. Tapi ini aku bagi tips berdasarkan pengalaman aku yang tak seberapa dengan beberapa perkara yang mungkin orang lain tak kongsikan. (mungkinlah kan). Selamat membaca.


Seperti yang aku kongsikan dalam Episode 2 bagi siri SLMScLife, perancangan asalnya nak sambung Master dalam mod kerja kursus (coursework). Salah satu sebabnya aku terasa tak bersedia untuk mod kajian dan terasa tak mampu. Rela ambil coursework dan pergi kelas serta ambil exam. Haha. Tapi Allah lebih mengetahui apa yang bersesuaian dengan aku.

Rezeki aku dapat sambung Master mod kajian dengan topik yang menarik dan somehow aku rasa bagus untuk aku dan masyarakat kelak. InsyaAllah.

So, ini sedikit perkongsian aku untuk sambung Master mod kajian, terutamanya bagi korang yang mahu jadi Graduate Research Assisstant ataupun belajar bawah geran.

1. Topik kajian atau projek yang diiklankan atau dicadangkan oleh pensyarah mestilah liase atau seiring dengan minat serta latar belakang.

Ini sebenarnya penting supaya dua-dua pihak, which is korang sendiri dan pensyarah boleh serasi bila nak bekerjasama nanti. Yelah, pensyarah tu jugalah yang akan jadi penyelia korang. Macam aku, iklan pertama yang aku nampak adalah berkaitan nano-engineering. Projek kajian pula sebenarnya taklah seronok sangat bagi aku. Bak kata Marie Kondo tak ada 'spark joy' bila baca tajuk tu. So, bila dapat iklan kedua, tiga empat perkataan pertama walaupun berbelit lidah aku dah macam 'ini menarik!'. Cepat-cepat siapkan resume, hantar email kepada pensyarah yang iklankan projek tu.

Berbeza dengan korang yang dah ada tajuk, kalau bukan minat janganlah apply juga. Yang sakit korang juga. Unless macam aku, asalnya memang blur tak ada specific topik atau kajian yang nak dibuat, bolehlah cuba. (Tapi agak berisiko ya!)

Dah selesai email, bagi contact number semua, pensyarah tadi contact aku dan ajak bersua muka. Maka bermulalah satu perjalanan baru.

2. Fahamkan asas topik kajian yang dijalankan pensyarah

Aku awalnya memang tak ada benda nak dikaji. Memang zero. Tak ada perancangan pun nak kaji apa. Tapi bila dah decide nak sambung dan dah ada topik ni, aku buatlah sikit pencarian melalui Google. Memang masa tu hanya surface je aku tahu. Tapi hari pertama jumpa dengan pensyarah, banyak juga yang kami bincangkan dari topik kajian sampailah ke kisah peribadi. Hehe. Alhamdulillah kami serasi.

3. Buat persediaan untuk mendaftar

Memandangkan aku tidak ada pengetahuan asas tentang dunia kajian, memang pensyarah banyak tolong. Awal-awal dia dah bagi beberapa literature atau artikel untuk aku baca. Masa tu, aku baca satu artikel mahu 5-6 kali tak faham apa pun. Rasa nak nangis juga mula-mula. Lepas dah dapat faham satu artikel, baru jumpa teknik dan cara yang betul untuk baca artikel supaya kurang stress. Haha. So berdasarkan apa yang aku baca, aku buatlah cadangan kajian untuk mendaftar. Panjang juga cadangan kajian aku sebab aku rasa semua point penting (masa itulah). Kalau baca sekarang, memang aku ketawa sorang-sorang je.

Bila dah siap cadangan kajian, aku pun hantar untuk mendaftar. Masa ni bukan setakat cadangan kajian je kena sediakan. Masa ni juga dah mula kumpul duit untuk mendaftar. Yes, sambung belajar semestinya pakai uwang ya.

4. Ikut kata pensyarah a.k.a penyelia

Dari Ummi aku sampailah senior aku, memang pesan ikut apa yang penyelia minta. Selagi mana masih dalam skop dan kerja kajian, buat. Penyelia aku minta aku siapkan satu kajian pustaka, aku buat. Dia suruh hantar ke persidangan aku buat. Dia suruh aku pergi bentang pun aku pergi. Semua tu pengalaman dan satu pengembaraan baru untuk aku. Banyak yang aku dapat belajar secara lansung dan tidak langsung.

5. Mula fikirkan garis masa untuk belajar.

Untuk sambung master mod kajian, tempoh untuk siapkan kajian dan tesis ada 4 semester. Ada lebih kurang 2 tahun. Memandangkan aku sejenis manusia yang suka tulis kalendar dan set tarikh-tarikh penting, memang aku buat dan aku cuba sehabis baik untuk jadual aku. Tahun lepas, aku tak ada bilik di universiti. Memang seratus peratus buat dekat rumah. Masuk hujung tahun anak-anak cuti sekolah, memang jawabnya hanya masa tertentu sahaja aku boleh fokus. Selebihnya memang kena tunggu ada orang boleh layan anak-anak untuk aku dapat menghadap kerja tanpa gangguan.

4 semester ni aku rasa sebenarnya sekejap. Macam aku baru habis satu semester. Aku baru siap satu artikel, untuk kajian, aku masih sangkut. Tesis pun baru sampai bab 3, itu pun lompong-lompong dekat bab 2. Banyak lagi sebenarnya nak buat. Kalau boleh aku nak 4 semester je, tak nak sambung-sambung. Sebab aku ada plan lain selepas dapat ijazah, insyaAllah.

So, sebelum daftar tu, buat dulu garis masa apa yang korang nak capai dalam semester 1, semester 2, semester 3 dan semester 4. Fikir juga apa peluang-peluang yang ada untuk korang kembangkan lagi kajian.

6. Minta tolong dan kerjasama semua orang

Semenjak jadi RA lagi aku dah inform semua orang: suami, anak-anak, keluarga dan keluarga mertua yang aku akan sambung belajar. Alhamdulillah, semua orang sangat sangat memahami, terutamanya suami dan anak-anak. Suami aku tahu yang aku bukan setakat sambung belajar, aku ada juga bisnes kecilan dan juga ambil job blogging. Aku sendiri sebenarnya suka bila banyak kerja nak buat. Lagi-lagi bila anak-anak dah sekolah, aku kena sibukkan diri dengan kerja selain kerja rumah. Hehe.

Hal anak-anak yang paling penting sebenarnya. Aku cuba bahagikan sebaiknya dengan suami. Bila aku sibuk, dia akan ambil alih layan anak-anak. Anak-anak nak makan, nak main. Dia akan jagakan. Anak-anak pun, bila nampak aku menghadap laptop, tahu dah aku akan ada 'kerja'. Paling-paling kalau aku taknak anak-anak lama tengok TV, aku print macam-macam worksheet atau aktiviti untuk diorang buat. Dan sekarang ni, sebelah petang aku suruh diorang main basikal dalam halaman rumah. Biar cerdas dan cergas sikit. Tak dinafikan ada masa hanyut juga, tapi aku kena sentiasa ingatkan diri aku, aku kena kuat.

Sampai sini je rasanya persiapan yang korang perlu siap siagakan sebelum sambung Master mod kajian di bawah tajuk yang sudah ada. Kalau korang dah ada tajuk sendiri yang nak dikaji, rasanya pendekatan akan berbeza sebab korang dah ada asas, dah ada data (mungkin), dah ada banyak input. Aku ni sambung mengejut dengan input yang tak banyak. Aku kena kerja keras untuk serap asas beberapa bulan yang pertama. Hehe.

Harap entri kali ini bermanfaat! Dan, doakan aku supaya mental kuat dan dapat capai target.

Terima kasih sudi baca.
Sesiapa ada tips atau nasihat, boleh komen ya.

1 ulasan

  1. Yes, kalau dah berumahtangga ni, nak sambung blaja macam2 dugaannya

    BalasPadam

Komen