Carian

Bedridden lagi

Assalamualaikum

Bulan September dah menjengah masuk. Tak lama lagi Oktober. Maksudnya due date pun dah semakin dekat. Secara jujur, all those mixed up feelings dah datang balik. Aku ingat aku kuat agaknya untuk second time pregnant, tapi tidak~ Masuk fasa trimester ketiga memang menyeramkan bagi aku.

Perjalanan dan pengalaman orang mengandung berbeza-beza. Pengalaman bersalin pun lain-lain. Macam Ummi, dia sendiri kata sembilan bulan dia mengandungkan empat orang anak memang tak ada masalah dan pada dia, dia tak lalui fasa-fasa yang memeritkan. Dia kata untuk go through another nine month of pregnancy memang tak kisah, yang berat bila baby dah lahir dan first two years yang sangat mencabar. Berbeza dengan aku, aku bukanlah trauma mengandung tapi tiga trimester ni tiga jenis perasaan yang aku lalui. First trimester dengan alahan dan sakit-sakit badan, second trimester aku teruja dengan baby gerak-gerak dan third trimester dengan perasaan tak tentu hala almost all the time. Nak bandingkan dengan orang dah beranak empat dengan aku baru nak masuk dua memang susahlah.

Kali ini aku kena bedridden lagi. Sama masa mengandungkan Wildan dulu. Cuma masa Wildan ada dua kali warded dan merasa duduk hospital Russia. Mengandung kali ni, aku terkilan sikit sebab masa buka buku merah kat klinik kerajaan, aku ada sebut pada doktor tentang masalah yang aku lalui masa mengandungkan Wildan, tapi mungkin sebab Wildan lahir cukup bulan, nampak macam tak serius. Bukan setakat doktor kat klinik kerajaan, aku pernah refer pada doktor pakar pun lepas bersalinkan Wildan. Semuanya macam kata tak ada masalah.

Masuk trimester ketiga aku dah mula sibuk cari hospital untuk bersalin. Habis buat research dan bincang dengan suami, akhirnya kami pilih untuk bersalin swasta. Alkisahnya, buatlah appointment untuk rekod dengan hospital dan kenal doktor. First appointment tu aku macam tak nak cerita dah masalah masa mengandungkan Wildan sebab semua doktor yang aku cerita macam tak kisah je, tapi terasa kena cerita sebab nak tahu juga aku masih ada masalah yang sama atau tidak. Dan doktor kali ini ambil serius. Dan lepas second appointment, doktor bagi arahan jelas yang aku kena baring 24/7 kecuali ke tandas. Arahan yang sama aku dapat masa mengandungkan Wildan. Hadap laptop pun dalam keadaan baring je. Hurm...

Aku taklah aktif dan taklah pasif masa mengandung tapi dulu masa bawa Wildan aku degil kot. Suami tak berapa bagi aku main atau jadi coach netball, tapi aku pujuk sampai dia bagi. Aku rasa konon macam gagah perkasa. Aku pergi kelas macam biasa, hadap keadaan macam sardin dalam metro tiap-tiap hari. Naik turun tangga kat universiti sampai tingkat empat. Pergi usrah pun gagahkan diri. Tapi Allah dah tulis, aku mengandung tak macam orang lain yang kuat. Dua bulan terakhir sebelum bersalin aku kena bedridden. Demi kesihatan baby, memang aku kena bedridden, takut preterm labor.

Stress tak stress tak payah cakap, sebab aku sangat diterhadkan pergerakan dan ada masa rasa macam tak berguna je. Tapi yelah, demi anak aku telan juga perasaan tak seronok tu. Lagipun suami banyak tolong. Lagi-lagi dengan melayan kerenah Wildan. Memang tak ingat sangat apa yang kitaorang buat bila aku bedridden masa mengandungkan Wildan sebab masa tu baru nak mula berkeluarga. Sekarang ada Wildan, melayan mood swing dia, melayan perkembangan dia dan tahap kesabaran memang kena tinggi. Aku memang tak sehebat suami dalam bab bersabar ni.

Kalau aku bandingkan pengalaman aku mengandung dengan orang lain yang kuat, memang aku rasa cemburu sebab ada orang sampai minggu terakhir pun masih boleh buat kerja. Tapi, mengandung ni tak sama untuk semua orang. Sebab tu aku terima keadaan aku dengan hati yang terbuka. Bukan aku tak dengar bunyi kata aku manja lah apa lah, tapi hakikatnya tak semua orang sama.

Ada lebih kurang 6 minggu lagi aku kena 'manjakan' badan. Macam mana aku lalui tempoh yang lebih kurang sama masa Wildan dulu aku pun kurang ingat. InsyaAllah, hopefully kali ini dapatlah bertahan paling kurang 38 minggu. Kalau abangnya dulu boleh, adiknya pun boleh.


COMMON SENSE

Assalamualaikum

Selamat menyambut HARI KEMERDEKAAN KE-59 buat Malaysia. Sudah setengah abad lebih negara kita diisytiharkan MERDEKA.

Entri pendek kali ni aku cuma nak mencoretkan beberapa buah pandangan dari pemerhatian aku.

Usia aku masih muda, baru suku abad hidup. Mungkin belum pun layak untuk mengutarakan pendapat, bak kata rata-rata orang yang lebih makan garam.  Pada pemerhatian aku, nilai kematangan di Malaysia lebih dilihat pada nilai umur. Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. Bila anak muda remaja mula bersuara, pasti akan ada yang menyebut "kami makan garam dulu dari kamu". Itu satu fakta yang kami tak mampu sangkalkan. Namun, pada aku ramai yang menggunakan alasan 'makan garam dulu' untuk berada di takuk lama dan selesa di zon sedia ada.

Pernah satu saat dulu, aku geram pada sikap junior dan alasan yang aku selalu guna ialah 'takkan tak tahu itu COMMON SENSE'. Bunyinya matang, tetapi sebenarnya tidak. Perkataan COMMON SENSE itu sebenarnya satu alasan buat memuaskan hati kita untuk menjusifikasikan tindak tanduk kita adalah biasa dan dalam persekitaran norma kehidupan.

Kalaulah common sense itu memang betul common, takkan wujud perbezaan budaya dan adat di serata dunia. Cuba perhatikan sekeliling kita. Memang kita akan rasa itu common sense. Tetapi cuba kita keluar dari zon selesa kita, mengembara mengenal budaya dan adat di luar sana. Carilah common sense yang kita banggakan sangat.

Contoh paling mudah ialah memberi tempat duduk kepada yang memerlukan dalam pengangkutan awam di Malaysia dan di Russia. Common sense di Malaysia ialah, siapa dapat duduk dulu, itu tempat dia. Percaya atau tidak, perhatikanlah. Kenapa aku kata itu common sense di Malaysia? Sebab itulah yang dipraktikkan di Malaysia. Sehinggakan hal kemanusiaan sebegini perlu dibuat iklan dan kempen! Kalau di Russia, common sense mereka ialah siapa yang memerlukan tempat duduk akan diberikan tempat duduk. Kau tak bagi kau akan dikutuk secara langsung. Percayalah.

Kenapa aku bandingkan benda seremeh ini? Pada aku wajar kita semua sedar yang ada setengah common sense adalah nonsense. (Maaf kalau bunyinya kasar). Kita rasa common sebab kita membesar dan dididik sebegitu, tetapi dengan ilmu semua ini boleh diperbetulkan. Masalah kita ialah kita terlalu selesa atau terlalu ego untuk mengubahnya. Sebab tu Tuhan suruh mengembara. Mengembara jangan ala-ala dato datin. Mengembara dengan apa yang kita mampu untuk kita merasa kepayahan dan kesusahan mengembara dan mengambil ibrah dari pengembaraan kita. Kalau mengembara gaya dato datin yang kita dapat banyaknya makan sedap, tidur lena, gambar cantik je.

Bila kita merantau, kita akan mula perhatikan kebiasaan atau norma masyarakat setempat. Yang mana baik kita ikut, yang mana tidak kita jadikan pengajaran. Sebab tu bila merantau minda dan fikiran sepatutnya lebih terbuka dan lebih jauh pandangannya. Baru kita nampak baik buruknya adat dan budaya yang kita ada. Tak mampu nak mengembara secara fizikal, mengembaralah dengan minda yang lapang. Bila bertukar pendapat jangan tahu nak menang je, tapi tahu nak mendapat sesuatu yang baru. Kalau nak menang sahaja, hiduplah kita dengan kesombongan yang tak berkesudahan.

Aku menulis kali ini lebih kepada aku meluahkan pendapat, kalau tidak setuju silakan untuk membidas. Macam yang aku tulis awal-awal, aku baru suku abad hidup. Masih terlalu jauh perjalanan hidup aku. Apa yang aku coretkan cuma pemerhatian aku atas tindak tanduk sekeliling aku sahaja.

Forever Living

Assalamualaikum


Dua kali mengandung, dua pengalaman yang berbeza.

Masa mengandungkan Wildan dulu, aku mengharaplah muka jadi berseri-seri sebab orang selalu kata bila mengandung ada seri di wajah. Haha. Nope. I did not have clear skin or glowing skin at that year.
Monthly breakouts ada tapi semua versi halus mulus yang boleh diuruskan. Mengandung pula musim sejuk, masalah kulit kering memang ada tapi tak seperti dua tahun sebelumya. Dan aku baru tahu masa mengandung ada sesetengah produk kecantikan; set penjagaan kulit dan alat solek, ada bahan larangan untuk ibu mengandung. Memang aku agak berhati-hati sebab mostly ubat jerawat memang tak boleh digunakan. Aku banyak bergantung pada Bio-Oil.

Mengandung kali ini, aku melalui fasa hormonal inbalance yang sangat tidak selesa. Bukan setakat alahan teruk dari yang dulu, masalah kulit pun teruk dari yang dulu. Nak pakai ubat jerawat memang tak boleh sebab salicylic acid, bahan aktif dalam produk anti-jerawat, adalah BIG NO bila mengandung dan menyusukan anak. Lagipun kulit aku tak sesuai sebab dia akan mengeringkan kulit aku ke tahap maksima. Retinol ke benzoic acid pun tak boleh. So, pada mulanya aku terima je keadaan hormon tidak stabil ni. Masalahnya, jerawat makin bertambah dan pertama kali aku dapat jenis-jenis yang besar tu. Senang kata, rutin biasa tak membantu dalam mengurangkan masalah jerawat.

Ummi sekarang menggunakan produk Forever Living sebagai sebahagian daripada supplement dia. Salah satu produk keluaran Forever Living ialah Aloe Vera Gelly. Rata-rata semua orang tahu kebaikan aloe vera gelly dengan pelbagai guna yang boleh merawat parut, luka dan macam-macam.

Ada satu ni Aloe Propolis Creme. Dia memang suggest aku guna Aloe Vera Gelly untuk macam-macam kegunaan: luka, jerawat, masalah sunburn. Aku pula terjumpa dekat internet yang masalah jerawat boleh dikurangkan dengan gabungan Aloe Vera Gelly dan Aloe Propolis Creme.

Sumber gambar Google

Apa yang aku buat ialah, aku sapu Aloe Propolis Creme kat kawasan jerawat naik, then sapu Aloe Vera Gelly. Adalah pedih-pedih gatal sikit. Sekejap je sebenarnya. Tapi yang bagusnya, pedih-pedih pun produk ni tak menyebabkan kulit jadi merah-merah atau terhakis. Pedih tu cuma reaction kuman dalam jerawat dengan ubat. Kena tahan dalam 10-20 saat lah juga. Even parut pun boleh sebenarnya.

Aku buat dalam dua ke tiga minggu. Setiap kali lepas solat isya, sebelum cuci muka malam. Kalau aku terlepas, aku buat masuk tidur. Tapi susah nak tidur dengan aman sebab aku bergolek-golek dengan Wildan, so aku elakkan dari buat masa tidur. Alhamdulillah, jerawat susut, bukanlah secara magiknya bersih terus. Haha. Tapi tak adalah jerawat yang ada tak nak susut dah naik yang baru. Aku tak pernah lalui proses pertumbuhan jerawat yang macam ni. Dan sampai sekarang kalau aku naik jerawat baru memang aku akan sapu Aloe Vera Gelly. Even kalau jerawat pecah pun, cepat-cepat aku sapu. Kalau aku rajin sangat, aku simpan Aloe Vera Gelly dalam peti ais dan sapu. Sejuk dari Aloe Vera Gelly tu boleh kata mengimbangi pedih yang ada.

Kalau betul-betul disiplin, hasil mungkin lebih baik. Lepas jerawat dah susut aku jarang buat dah. Jerawat pun naik bermusim je. Bila naik jerawat baru memang aku cepat-cepat letak. Jerawat taklah kecut terus, tapi dia tak jadi membesar dan taklah menguning tu. Most of the time, aku guna Aloe Vera Gelly. Satu tube tu tahan setahun. Tak perlu guna banyak-banyak.

Pada aku, lebih selamat guna aloe vera gelly ni sebab bahan semula jadi dan tak ada side effect. Pengalaman aku dengan kebanyakan produk anti-jerawat dari zaman bujang sampai sekarang ni memang mengerikan. Pernah sampai kulit aku kering dan jadi bersisik. Rupanya kulit aku sensitif. Nak tak nak aku memang kena avoid certain ingredients. Bila ada aloe vera gelly ni memang seronok!




Duduk rumah pun haru biru

Assalamualaikum.

Walaupun aku dah setahun duduk kat rumah, kadang-kadang hidup duduk kat rumah pun huru hara sangat.

Bermula dengan aku 24/7 dengan anak. Dua bulan pertama memang aku rasa susah sangat sebab aku seorang diri yang hadap ketawa nangis tantrum anak. Semenjak aku lahirkan Wildan, pertama kali aku seorang 24/7 dengan dia adalah lepas graduate. Sebelum tu, masa belajar boleh bergilir dengan abahnya. Masa cuti musim panas makcik pakcik dia, atuk nenek dia semua nak main dengan dia. Masa ke kelas, ada nanny datang rumah jagakan dia. Bila dapat interview kerja, aku mula berfikir anak nak letak mana. Usia belum dua tahun kena duduk taska. Kalau boleh aku tak nak sebab dia terlalu kecil dan mudah kena pengaruh. Dan adalah beberapa reason lain yang menyebabkan akhirnya aku decide untuk tak terima kerja tu. Sakit juga nak decide sebab aku tak tahu mana satu nak dahulukan.

Lepas dah tiga bulan jadi suri rumah, aku perasan yang Wildan manja lebih dengan abahnya. Padahal 24/7 dengan aku. Aku mula muhasabah diri. Anak belum masuk dua tahun, baru nak belajar tentang perasaan dan kasih sayang, aku pulak jadi mak yang garang. Haha. Tapi aku tak angkat tangan atau cubit dia. Aku cuma garang sebab dia suka buat sepah (budak kan) dan aku terasa susah sangat jadi fulltime housewife. Boleh kata stress juga. Memang ada masa aku serah TV je kat dia. Sungguhlah aku rasa tak berbahaya TV tu sebab pasang channel budak. (Masa tu ada Astro Ceria je, sebab tak subscribe pakej kanak-kanak). Sekarang dia manja lebih pula dengan aku. Aku yang marah bila dia buat salah pun, kat aku juga dia mengadu. Haha.

Bila dapat tahu pregnant, jadi lagi tak tentu arah sebab hormon memang tak stabil. Alahan, muntah-muntah dan yang paling tak tahan ialah pregnant kali ni sakit belakang almost all the time. Tak kuat tapi mengganggu dan ada masa tak boleh bergerak jadi. Kerja kemas rumah ada yang aku terpaksa tutup mata tak buat sebab tak larat. Ummi pun pesan untuk jangan buat kerja berat sebab risaukan baby. Yelah, pengalaman mengandungkan Wildan buat semua orang berjaga-jaga untuk kali ni. Sampailah dah masuk tengah trimseter kedua barulah boleh kembali kepada rutin asal, biarpun sakit belakang masih ada.

Bila dah genap setahun, aku mula rasa sayang nak tinggalkan anak kat orang kalau aku kerja, tambah lagi nanti ada baby baru. Huwaaa... suami tak kisah nak kerja atau tak. Aku je yang masih berbelah bahagi sebabnya kalau boleh aku nak apa yang aku susun untuk anak-anak berjalan seperti yang aku plan. Mak mana tak nak gitu kan? Lagipun aku rasa aku akan kerja bila anak-anak dah besar dan dah boleh jaga diri dari pengaruh tak elok. Bila entah aku pun tak tahu. Aku masih belum mengalah dengan cita-cita aku. Sebab suami support habis dan aku rasa boleh buat!

To me, jadi surirumah ni bukanlah senang. Aku dulu rasa 'alah setakat jadi surirumah, boleh sangat' Haha. Bolehlah sangat..... Stress juga sebulan dua yang pertama sebab baru merasa hadap kerenah anak kecik yang mood swing kalah orang period. Akulah memory card untuk rancangan TV dan karakter TV dia. Aku jugalah yang kena tukar lampin, mandikan dia. Aku jugalah yang kena pastikan perkembangan dia sesuai dengan usia. Itu baru bab anak. Belum masuk bab jaga rumah. Rutin kemas rumah, memasak, baju-baju kotor lagi. Memang penat. Aku pun tak pasti kalau aku kerja berdaya ke tak untuk aku buat semua yang aku buat sekarang ni. Sebab kerja pun penat, nak pastikan rumah dalam keadaan kemas dan teratur setiap hari pun penat. Kalau gabung dua tu, habislah aku. Alhamdulillah suami faham dan dia banyak tolong sana sini untuk aku.

Kepada yang tak kerja walaupun ada degree sebab jaga anak dan rumah, jangan bersedih hati sebab korang belajar banyak benda dari anak-anak sebenarnya. Dan kepada yang bekerja jangan sedih juga sebab tak dapat merasa pengalaman 24/7 dengan anak sebab korang mak yang hebat sebab mampu berbakti pada masyarakat di samping ada anak di rumah. To me, masing-masing dah timbang tara sehabis baik keputusan yang dibuat. Tak perlulah nak kondem pihak sana atau sini. Bersyukurlah dengan kedudukan dan kebahagian masing-masing. Lagipun timeline orang lain-lain, ada orang sekarang, ada orang tahun depan. So, keep calm and have faith in Allah.





Bumi Soviet itu

Assalamualaikum

Entri kali ini berbaur sentimental sikit. Kenapa? Sebab ada benda-benda yang aku rindukan masa aku duduk di Moscow dulu.

Dah setahun sebulan aku tinggalkan Moscow dalam tak sedar. Dan dah setahun aku secara official adalah SAHM. Fasa-fasa menjadi surirumah ni tak mudah. Memang aku salute orang yang jadi surirumah sepenuh masa sejak kahwin. Aku tiga tahun kahwin, baru setahun merasa. Itu pun struggle juga.

Back to the topic, I missed some parts of Moscow (as a student).

Beberapa bulan sebelum balik Malaysia, aku pernah tanya suami "Kalau kita stay je dalam Moscow untuk beberapa tahun aci tak?" Dengan selamba dia tanya balik "Nak makan ayam je ke sepanjang masa?" Haha. Sebabnya, ayam je yang murah. Ayam halal harga dua kali ganda mahal dari ayam tak halal, tapi itulah lauk paling murah. Ikan dahlah mahal walaupun tak segar mana. Daging mahal dan susah sikit nak dapat. Lagipun, as foreigner duduk Russia kena ada visa. Ada visa leceh, kena ada host yang boleh support untuk keep renew visa.

Kos sara hidup kat Moscow boleh kata tiga kali ganda mahal dari Malaysia. Air mineral saja RM5. Tapi kami duduk hostel universiti, dah cut cost kat duit sewa sebab murah. Bil letrik, bil air pun dan termasuk bayar hostel. Students yang duduk apartment sewa mahal walaupun dan bahagi samarata. Diaorang sewa satu rumah duduk 5-6 orang. Taklah terbeban mana, tapi masih mahal dari kami yang duduk hostel (student engineering je murah).

Aku rindu Moscow sebab aku rindu public transport dia. Haha. Jimat duit minyak dengan duit kereta. Duduk sana pakai public je pun cukup dah sebab memang sangat sangat efficient. On time, boleh bajet masa, better than roadway. Crowded tu tak perlu cakaplah. Dah nama sangat efficient, memang ramailah yang guna. Kat sana, guna public transport sangat jimat sebab ada kad transport untuk golongan-golongan tertentu dan ada kad bulanan lagi. Kami student memang dapat student card untuk transportation. Yang aku perasan, transport card ni boleh juga link dengan bank card. Golongan pencen dan tua-tua pun ada card diaorang.

Benda lain yang aku rindu kat Moscow ialah medical services dia. Haha. Universiti wajibkan medical check up kat klinik universiti every year untuk lepas PE, tak ambil kira tak lepas. Check up bukan check setakat ambil x-ray je, siap ada check ECG, ada ambil darah, ada ambil air kencing, kena jumpa doktor yang ketuk-ketuk lutut (lupa namanya apa), check gigi, yang perempuan kena jumpa gynaecologist, ada juga jumpa doktor yang check body posture. Ada orang kena buat semua, ada yang tak perlu sampai check darah, bergantung pada arahan yang makcik kat meja kaunter tu bagi.

Kalau klinik swasta, mahal memang mahal, tapi sangat bagus. Rata-rata semua orang kena ada insurans. Macam masa aku nak bersalin, nak sign contract dengan hospital, dia tanya juga ada family insurans ke (untuk cover pregnancy). Aku ada insurans yang universiti bagi je. Yang ni memang tak cover aku bersalin. Aku tengok semua ibu-ibu mengandung ada kad insurans untuk bersalin. Even register pun dia minta nombor insurans. Aku tak ada, diaorang ambil je yang universiti punya sebab nak key in data tak boleh tak masukkan nombor insurans.

Insurans diaorang bukan yang jenis bertahun-tahun. Bergantung pada jenis. Macam yang universiti selalu provide kat kami, renew every year. Masa Wildan pun sign contract dengan klinik keluarga untuk dapatkan insurans tu sebab kalau ada kes emergency susah bila call ambulans. Dan biasanya kalau dah sign contract dengan klinik tu boleh call ambulans dia je. Lagipun, dapat service lain selain cucuk vaksin ikut jadual.

Aku belajar kenal nama ubat. Sebab tu aku rindu medical services kat Moscow. Pergi check up dengan doktor, dia bagi list ubat apa kena beli kat farmasi sekali dengan dia explain kenapa dia bagi ubat tu (ada je yang dia tak explain, most of the time dia explain). Datang check up yang kemudian, bila doktor tanya ubat apa, tergagau nak menjawab. Mula-mula aku pelik, tapi lama-lama aku belajar. Sampai ke content ubat pun aku ambil tahu.

Satu lagi yang aku rindu ialah orang Russia yang tak lokek ilmu dan baik hati. Memang orang Russia terkenal dengan kebengisan dan susahnya nak senyum tapi ada manusia yang jenis tak lokek ilmu dan baik hati. Pernah sekali beli cendawan, tengah pilih-pilih tu ada makcik tu tegur, dia kata aku salah cara pilih cendawan. Dia bagitahu tips nak pilih cendawan. Masa tu aku terkejut. Makcik tu bukan kenal aku pun, dahlah aku bertudung pula. Tapi dia baik hati untuk ajar basic skills. Banyak sangat cerita best-best orang Russia ni sebenarnya.

Last sekali yang aku paling rindu kat Moscow ialah budaya memuliakan orang perempuan. Adab orang lelaki dengan perempuan sangat bagus. Sebelum sampai Russia, cikgu bahasa kami awal-awal dah pesan kat budak lelaki yang budaya mereka lelaki tak hulur tangan dulu untuk berjabat tangan. Tunggu orang perempuan yang hulur, kalau tak hulur maknanya tak nak bersalam. Sama juga kalau dengan orang tua dan kanak-kanak. Tunggu diaorang hulur dulu. Sebagai tanda hormat.

Dalam metro atau bas atau tramvai tempat duduk diutamakan untuk orang tua, perempuan, ibu mengandung, kanak-kanak dan orang OKU. Biasanya kalau nampak senarai orang ni, mesti ada yang offer. Kami yang perempuan seronokla. Tapi bila sesak sangat orang, kami yang muda gagah boleh berdiri mengalah pada yang selayaknya duduk. Pernah sekali ada ibu mengandung ni berdiri, nampak dia dah sarat ada lima orang offer duduk tapi dia tak nak. Mungkin dia takut terlepas stesen, tapi nak tunjuk yang budaya begini bukan paksaan memang kebiasaan.

Sepanjang duduk Moscow banyak benda yang aku belajar; dari segi ilmu dalam kelas, pengalaman hidup dan skil untuk terus hidup (survival skill). Sebab tu dalam Islam kita digalakkan untuk travel supaya kenal budaya luar, ambil pengajaran mana yang buruk dan ambil teladan mana yang baik. Travel bukan dengan kemewahan sahaja, travel dengan hati yang terbuka untuk segala kemungkinan. Aku sempat travel dengan kawan-kawan sekali je sebelum kahwin. Selebihnya travel dengan suami dan dengan anak terus. I do love travelling and exploring new places. Aku pasang cita-cita nak kerja oversea. Haha. Doakan tercapai.